Sunday, 4 March 2012

KEJAYAAN PERIBADI

Gambar yang terpilih memenangi kategori 'I AM BEAUTY'
Salam perkhabaran kepada seluruh pengikut blog Sebijak Minda Berfikir yang tidak seberapa ini. Hampir dua bulan penulis tidak menukilkan sebarang coretan dan penulisan artikel. Bagi mengaktifkan semula blog ini, penulis ingin berkongsi satu kejayaan peribadi dengan pembaca sekalian yang bukan tujuan untuk membanggakan diri atau berasa sombong tetapi ianya lebih kepada satu rasa gembira diatas pencapaian peribadi yang dicapai melalui hobi baru yang pernah penulis tulis di dalam penulisan sebelum ini.

Hadiah T-Shirt dan Topi Nikon
Setelah hampir satu tahun setengah penulis bergiat aktif dalam dunia fotografi, akhirnya usaha itu memberi anjakan motivasi dan semangat baru kepada penulis setelah salah satu gambar yang dihasilkan berjaya memenangi peraduan 'I AM THEME' anjuran Nikon Club Malaysia bermula awal tahun ini. Walaupun kemenangan dan hadiah yang diterima tidaklah seberapa tetapi dengan kejayaan ini setidak-tidaknya menjadi titik permulaan untuk penulis berusaha dengan gigih lagi. Dengan harapan penulis akan menjadi salah seorang 'photographer' yang hebat setanding dengan mereka yang telah mencipta nama dalam bidang ini.

Terima kasih tidak terhingga kepada Nikon Club Malaysia, tidak lupa kepada isteri tercinta yang memberi sokongan dan dorongan padu, kawan-kawan di dalam 'Group KONCA' dan seluruh pencinta fotografi. Semoga dengan kejayaan ini akan memberi satu impak positif untuk kita sama-sama memartabatkan dunia fotografi mengikut acuan kita sendiri selagi mana ia tidak menyalahi undang-undang, batas syariat dan bebas daripada unsur-unsur negatif.

Thursday, 19 January 2012

BENARKAH SENATOR EZAM 'SPY' PKR?



Terkedu seketika penulis bilamana seorang sahabat penulis menyatakan bahawa penyertaan Ezam Mohd Nor ke dalam UMNO hanyalah sebagai 'SPY' atau pengintip kepada Anwar Ibrahim. Penulis berkali-kali bertanya apakah buktinya sehinggalah beliau menerangkan satu-persatu yang bagi penulis ada kemungkinan benarnya. Umum mengetahui bahawa Ezam merupakan salah seorang yang sangat lantang memperjuangkan agenda reformasi bagi mempertahankan Anwar Ibrahim di zaman gegak-gempita era reformasi tidak lama dahulu. Sehinggakan Ezam disumbat ke dalam ISA gara-gara begitu komited dengan perjuangannya. Siapa tidak kenal Ezam pada ketika itu yang mana segala percakapan, lenggokan serta perlakuannya mirip Anwar Ibrahim.

Setelah sekian lama menyepi dan dikatakan mempunyai krisis dalam PKR, beliau tiba-tiba tampil menyatakan penyertaannya dalam UMNO kerana telah hilang keyakinan terhadap Anwar Ibrahim. Cemuhan dan kejian tidak henti-henti dilemparkan kepada beliau. Lebih teruk lagi beliau digelar sebagai makhluk sesumpah kerana pernah satu masa dulu dengan begitu angkuhnya bersumpah akan terus berjuang bersama-sama Anwar Ibrahim walau apa pun terjadi.

Namun setelah menyertai UMNO, perwatakan Ezam mula berubah. Media sering kali menonjolkan watak baru beliau iaitu sebagai musuh No 1 kepada Anwar Ibrahim. Penulis merasakan BN mengambil peluang untuk mencari keuntungan politik melalui apa sahaja luahan kebencian Ezam terhadap PKR terutamanya Anwar Ibrahim. Habuan sangat besar kerana hasil daripada kemasukan Ezam ke dalam UMNO, beliau dilantik sebagai senator.

Persoalannya, benarkah Ezam benar-benar ikhlas menyertai UMNO? Persoalan lain juga mulai bermain dibenak penulis mengapa Anwar Ibrahim tidak pernah menjawab setiap tuduhan yang dilemparkan oleh Ezam? Malah pemimpin-pemimpin PKR yang lain juga tidak banyak memberi reaksi terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau. Mungkinkah ada suatu perancangan atau agenda tersembunyi diantara Ezam dan Anwar Ibrahim?

Penulis sangat optimis diatas perlantikan Ezam sebagai senator. Banyak juga suara-suara didalam BN yang tidak berpuas hati dengan tindakan pucuk pimpinan tertinggi BN melantik mantan 'orang kuat'  Anwar Ibrahim. Bagi penulis pula, perlantikan Ezam senator dilihat suatu tindakan yang kurang tepat tanpa kajian yang menyeluruh.

Sumber-sumber yang boleh dipercayai menyatakan bahawa kemasukan Ezam ke dalam UMNO dan BN akan memberikan keuntungan yang sangat besar kepada PKR. Kenapa? Kerana kemungkinan pertalian atau perhubungan diantara Ezam dan PKR akan dilakukan secara tersembunyi tanpa dapat dikesan.

Jika diteliti berkaitan skandal NFC, dari manakah maklumat mengenai NFC dapat diperolehi? Sedangkan yang membuat pendedahan adalah YB Zuraidah dari PKR. Mungkinkah ada orang dalam yang menyampaikan maklumat kepada Zuraidah? Skandal NFC telah menjadi isu yang sangat kontroversi kerana melibatkan orang kesayangan Perdana Menteri iaitu Dato’ Seri Shahrizat Jalil. Dengan terdedahnya isu ini, kelibat omongan Ezam tidak pula kedengaran. Bukankah Ezam merupakan pejuang anti rasuah dan penyelewengan yang sangat lantang satu masa dulu? Inilah yang menjadi tanda tanya penulis hingga ke hari ini. Mungkinkah Ezam yang bertindak sebagai orang perantaraan bagi membongkarkan segala kepincangan yang wujud di dalam BN. Jika benar, maka BN perlu melakukan sesuatu kerana dikhuatiri sebelum PR13, banyak lagi pendedahan 'penyelewengan jerung' akan terbongkar.

Bagi penulis sebagai kesimpulannya, tidak menjadi kesalahan sekiranya pendedahan yang dilakukan adalah demi untuk memastikan bahawa semua pelaku yang terlibat didalam kancah penyelwengan yang jijik akan terus didedahkan kepada umum supaya masyarakat dapat membuka mata, menilai dan mengetahui setiap kebobrokan serta ketirisan yang berlaku dalam pengurusan negara kita.  

Tuesday, 13 December 2011

TAHNIAH UNTUK DIRI SENDIRI


Sungguh lama penulis tidak meng'update' blog kerana kesibukan dan juga oleh kerana ketiadaan idea untuk menulis. Kali ini penulis ingin menulis artikel bagi mengucapkan tahniah kepada diri sendiri. Dalam pada kita tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada orang lain, tidak menjadi kesalahan untuk meletakkan penghormatan terhadap pencapaian diri sendiri. Bukanlah penulis berniat untuk merasa bongkak atau apa sahaja sifat negatif yang tercela tetapi hanya sekadar ucapan bagi menaikkan semangat untuk lebih bermotivasi, berkeyakinan untuk lebih maju ke hadapan.

Hari ini penulis mendapat dua berita gembira. Pertama, baru-baru ini penulis, isteri dan juga anak tersayang telah menyertai program NikonClub Walkabout yang diadakan di sekitar Kampung Cina, Pasar Payang Terengganu. Aktiviti fotografi secara santai yang sangat seronok bukan hanya sekadar aktiviti biasa sahaja malah ianya memberi manfaat yang sangat berguna kerana dapat bertemu dengan kenalan baru yang sama-sama meminati bidang fotografi, diselang-seli dengan pelbagai aktiviti yang menarik disamping dapat berkongsi idea, ilmu berkaitan bidang tersebut. Kegembiraan penulis bermula apabila hari ini terlihat salah satu 'post' di dalam Facebook iaitu keratan akhbar Sinar Harian Edisi Terengganu yang memuatkan gambar aktiviti pada 03 Dec yang lalu (lihat gambar di atas penulis, isteri & anak berada di tengah-tengah).


Kedua, penulis telah lama tidak menjengok laman Nikon Club Malaysia. Hari ini barulah terfikir untuk melihat-lihat laman tersebut. Sekali lagi penulis merasa gembira setelah melihat carta 'NCM  Top Ten Photographers Leaderboard' untuk bulan November. Penulis berada di 'ranking' yang kelima. Setelah lama bersusah-payah untuk menempatkan diri dalam carta tersebut, akhirnya membuahkan hasil juga. Alhamdulillah...

Maka dikesempatan inilah penulis mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah untuk diri sendiri di atas dua khabar gembira yang tidaklah seberapa itu. Tetapi bagi penulis, pengiktirafan itu sangat bermakna kerana satu lagi coretan sejarah peribadi yang tidak sesiapa pun boleh menidakkannya. Terima kasih juga kepada isteri tercinta yang sangat menyokong 'hobi' penulis. Isterilah orang pertama yang menjadi sifu kepada penulis di dalam bidang DSLR ini yang akhirnya membuatkan penulis sentiasa bekerja keras untuk terus belajar, mendalami dan memahami bidang ini secara lebih serius.

Akhir coretan daripada penulis, jika kita ingin menjadi manusia yang hebat maka kita jangan hanya sekadar berdiri sahaja. Kita perlulah mengorak langkah satu demi satu ke arah yang lebih maju. Jangan cepat sangat untuk berlari kerana dibimbangi akan jatuh dan rebah tersungkur dan terus mati. Biarlah kita mulakan dengan berjalan perlahan, berlari anak-anak dan akhirnya berlari laju. Insyaallah jika diizinkan Allah kita boleh melakukan apa sahaja, boleh menjadi siapa sahaja, asalkan kita jangan lupa bahawa walau apa pun kita buat, walau kemana pun kita pergi, Allah jualah tempat naungan kita.

Kepada kawan-kawan, pelawat blog dan sesiapa sahaja yang mempunyai kelapangan bolehlah melawat hasil karya penulis yang tidak seberapa di:

Friday, 4 November 2011

BANGSA KITA MEMANG GILA NAK JADI ARTIS!



Daripada usia kanak-kanak sehingga kepada golongan tua bangka semuanya dah jadi gila. Gila apa??? Gila nak jadi artis! Gila nk jadi glamour! Kini wujud pula satu lagi lembaran baru dalam dunia pencarian artis...cuma yang bezanya, 'target market' terbaru disasarkan kepada golongan yang buruk rupa paras, berkulit gelap, berbadan gempal dan pelbagai jenis yang buruk-buruk lagi. 'Vokal Bukan Sekadar Rupa' terus menjadi satu kegilaan baru. Gelombang gila glamour ini bakal meruntuhkan identiti masyarakat kita. Sangat menghairankan kenapa masyarakat kita semakin taksub dengan rancangan realiti hiburan yang terang-terangan tidak melambangkan kehidupan sebagai bangsa melayu dan umat Islam sebenar.

Pentas 'Kilauan Emas' yang mensasarkan golongan tua bangka juga begitu digilai oleh masyarakat kita. Istilah 'rumah kata pergi kubur kata mari' seperti tidak sedikit pun dipedulikan. Apa yang penting hanya hiburan dunia semata-mata. Pasti ramai yang akan marah dengan artikel penulis kali ini. Realitinya memang penulis 100% anti dengan rancangan realiti hiburan tanah air. Kenapa? Kerana ia tidak sedikit pun memberi faedah kepada orang ramai tetapi hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja. Lebih parah lagi, rancangan tersebut begitu banyak menyimpang daripada agama dan budaya masyarakat kita. Cuba kita bayangkan, seorang anak perempuan yang terkinja-kinja menyanyi dan menari di atas pentas tanpa menutup aurat sedangkan ibu dan ayah di bawah pentas dengan imej berkopiah dan bertudung litup sanggup melihat anak mereka dipertontonkan kepada orang ramai. Inilah yang dikatakan golongan manusia yang jahil!

Bagaimana pula dengan mereka yang menyokong rancangan tersebut? Pada pandangan penulis, mereka pun turut sama jahil! Penulis sanggup menerima cemuhan daripada sesiapa sahaja diatas penyataan ini kerana sejak penularan rancangan realiti hiburan, masyarakat kita semakin bebal dan ada yang sangat fanatik terhadap rancangan tersebut bahkan ada yang sanggup memuja artis kesayangan mereka lebih daripada segala-galanya.

Pada perkiraan penulis, pendekatan masyarakat barat melalui rancangan 'sial' tersebut telah berjaya mempengaruhi masyarakat Islam di seluruh dunia. Akhirnya, yang bodohnya kita! Yang bangangnya kita! Kerana mencedok 100% rancangan dari barat untuk merosakkan pemikiran anak bangsa kita secara halus. Fikir-fikirkanlah...  

Sunday, 25 September 2011

SAMPAI SATU PERINGKAT...



Nukilan yang penulis cuba sampaikan kali ini adalah berkaitan manusia yang sering kali menjadi bongkak samada secara sedar, tanpa sedar atau buat-buat tidak sedar. Kita kadang-kadang berada dalam situasi bercelaru minda apabila memikirkan mengapa manusia begitu mudah menggadaikan identiti diri mereka akhibat terpengaruh dengan fahaman dari barat. Apa yang tidak kenanya dengan agama, budaya dan bahasa kita sehingga kita sanggup mengagungkan budaya dari barat itu?

Masa kecil dahulu kita diajar untuk berpakaian sopan dan menutup aurat kerana ia sebahagian daripada tuntutan dalam agama. Tapi kini masyarakat seolah-olah megah dengan pakaian moden yang rata-ratanya jauh menyimpang daripada tuntutan syara'.

Kita diajar Bahasa Ibunda kita dengan baik tetapi kini kita berlagak apabila boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris sehinggakan dalam kehidupan seharian, kita merasakan Bahasa Inggeris merupakan satu bahasa yang menunjukkan kita ni 'educated' kononnya.

Hingga ke satu peringkat kita lupa jasa ibu bapa, jasa guru dan jasa mereka yang pernah membantu kita di dalam menempuhi hidup sebagai manusia. Apabila kita berjaya maka dengan bangganya kita menyebut 'inilah usaha gigihku selama ini'. Lenyap terus kata-kata berupa ucapan terima kasih kepada mereka yang menabur ilmu kepada kita. Ingatlah bahawa sekecil-kecil ilmu itu sekiranya ia berkat maka akan bergunalah ilmu itu sepanjang hayat manakala sebesar-besar ilmu itu sekiranya jauh daripada keberkatan maka tidak sedikit pun berguna ilmu itu.

Hingga ke satu tahap, kita sangat berbangga kerana berjaya melangkah ke menara gading untuk menyambung pelajaran. Sangat mengecewakan apabila di sana kita tidak menjadi manusia yang baik kerana bergelumang dengan pelbagai perkara-perkara bodoh yang langsung tidak memberi apa-apa kebaikan kepada kita. Manusia berpelajaran dan memiliki minda yang bijak dalam pelajaran tidak menjamin mereka adalah manusia terbaik.

Sebenarnya hanya satu perkara sahaja yang perlu dilakukan oleh manusia yang bergelar muslimin dan muslimat untuk mengubah dunia ini menjadi unggul dalam semua aspek. Apakah perkara tersebut? Taatilah Perintah Allah Dengan Sebenar-benarnya...

Saturday, 24 September 2011

SAINS SUKAN: KEMAHIRAN MOTOR


Tajuk Konsep

Kemahiran motor merupakan satu perkara yang berkait-rapat dengan kebolehan motor individu. Ianya meliputi kemahiran kemahiran motor kasar, kemahiran motor halus, kemahiran motor diskrit dan sebagainya yang akan dihuraikan secara terperinci di bawah. Begitu juga dengan kebolehan motor individu yang mana ianya juga mempunyai aspek-aspek tertentu seperti kebolehan motor fizikal dan kebolehan motor persepsi yang juga akan diulas di bawah huraian konsep dalam tugasan ini. Kedua-dua aspek ini iaitu kemahiran motor dan kebolehan motor individu akan menentukan samada seseorang jurulatih itu berupaya menggunakan pendekatan ini kepada atlet-atlet yang dilatih serta sejauh mana pendekatan tersebut dapat membantu meningkatkan satu-satu kemahiran yang dipelajari.

Huraian Konsep

Kemahiran motor merujuk kepada kajian sains tentang bagaimana individu memperolehi kemahiran dalam pergerakan akhibat daripada latihan dan menyebabkan perubahan tingkahlaku dlam prestasi kemahiran atau dalam domain psikomotor. Konsep kemahiran motor pula adalah merupakan sebarang tugasan motor atau sukan yang melibatkan pergerakan tubuh badan dan mesti dipelajari supaya ia dapat dilakukan dengan cekap dan berkesan. Terdapat beberapa ciri kemahiran motor iaitu:

a) Bermatlamat pergerakan menepati situasi.
b) Mencapai matlamat dengan penuh keyakinan.
c) Tepat antisipasi.
d) Mempunyai masa untuk bertindak.
e) Pergerakan berkualiti.
f) Jimat tenaga.
g) Kecekapan tinggi.
h) Menggunakan kiu-kiu penting dengan berkesan.
i) Mudah adaptasi pergerakan dengan situasi.
j) Prestasi konsisten.

Secara teorinya, kemahiran motor juga mempunyai beberapa klasifikasi umum yang terdiri daripada tiga klasifikasi yang utama iaitu:

1) Kejituan Pergerakan
    a) Kemahiran motor kasar (Gross Motor Skills)
    b) Kemahiran motor halus (Fine Motor Skills)
2) Kejelasan Titik Permulaan dan Akhiran Pergerakan
    a) Kemahiran motor diskrit (Discrete Motor Skills)
    b) Kemahiran motor serial (Serial Motor Skills)
    c) Kemahiran motor berterusan (Continuous Motor Skills)
3) Kestabilan Persekitaran
    a) Kemahiran terbuka (Open Skills)
    b) Kemahiran tertutup (Close Skills)

Kebolehan adalah satu tret atau kapasiti umum individu yang menjadi penentu kepada potensi pencapaian prestasi kemahiran motor khusus. Pada hakikatnya, kebolehan individu adalah berlainan dan berbeza-beza. Definisi perbezaaan individu adalah merujuk kepada satu perbezaaan yang stabil dan bertahan agak lama dikalangan manusia berhubung dengan prestasi sesuatu tugasan motor.

Kebolehan motor pula adalah satu kebolehan yang khusus berkaitan dengan prestasi kemahiran motor. Kebolehan motor individu terbahagi kepada dua aspek yang utama iaitu:

1) Kebolehan Motor Fizikal
    a) Kekuatan statik (static strength)
    b) Kekuatan dinamik (dynamic strength)
    c) Kekuatan eksplosif (explosive strength)
    d) Kekuatan batang badan (trunk strength)
    e) Kelembutan mengembang (extent flexibility)
    f) Koordinasi lintang badan (cross body coordination)
    g) Keseimbangan lintang badan (cross body equilibrium)
    h) Tenaga (energy/stamina)

2) Kebolehan Motor Persepsi (Teksonomi Fleishman)
    a) Koordinasi kaki tangan (multilimb coordination)
    b) Kawalan ketepatan (control precion)
    c) Orientasi tindak balas (response orientation)
    d) Masa reaksi (reaction time)
    e) Kelajuan pergerakan tangan (speed of arm movement)
    f) Kawalan kadar kepantasan (rate control)
    g) Kawalan gerak tangan (manual dexterity)
    h) Kawalan gerak jejari (finger dexterity)
    i) Ketetapan tangan lengan (arm hand steadiness)
    j) Kelajuan pergelangan dan jejari (wrist finger speed)
    k) Mensasar (aiming)

Kajian Berkaitan

In an effort to account for the changing relations among abilities and task performance , re-analyzed data (including Complex Coordination, Discrimination Reaction Time and Rotary Pursuit) and their correspondence with ability factors across practice. Ackerman (1987)

One of the ways that the skill acquisition process has been defined is in terms of changes in information processing demands as a function of increasing skill. Learning has been thought to progress from a more cognitive, declarative or verbal stage to a final automatic, procedural or non-verbal stage. Adams (1971)

Aplikasi Konsep Dalam Sains Kejurulatihan Sukan

Didalam sains kejururulatihan sukan, jurulatih merupakan salah seorang yang berperanan bagi mengaplikasikan kemahiran dan kebolehan motor atlet-atlet yang dilatih oleh mereka. Bukan itu sahaja, ilmu-ilmu yang berkaitan dengan perkembangan motor, kawalan motor dan sebagainya haruslah dipelajari serta diaplikasikan kepada atlet yang dilatih bagi menghasilkan seseorang atlet yang berkualiti.

Dalam tugasan ini, saya menggunakan sukan sepak takraw untuk membuat ulasan perkaitan dengan aplikasinya dengan kemahiran motor dan kebolehan motor individu. Kemahiran motor bagi atlet sepak takraw ini agak berbeza dengan sukan-sukan yang lain. Selain daripada bakat yang perlu ada pada seseorang itu, latihan yang bersesuaian serta praktikal perlu dirancang dan disusun supaya objektif utama dapat dicapai. Sebagai contoh yang lebih ‘detail’, kemahiran servis dalam sepak takraw misalnya.

Seseorang yang bergelar tekong perlulah terlebih dahulu mengetahui teknik-teknik untuk melakukan servis. Latihan yang dirancang dan diperaktikkan perlulah dilakukan secara berterusan bagi memperolehi seterusnya menguasai teknik yang terbaik untuk melakukannya. Kebolehan motor individu pula lebih menjurus ke arah bagaimana tekong tersebut menggunakan kebolehan motor fizikal serta kebolehan motor persepsi mereka. Jurulatih perlulah menyesuaikan latihan yang bertepatan agar tidak berlaku sebarang masalah.

Jurulatih perlu menerangkan kepada tekong tersebut bagaimana kedudukan ketika hendak melakukan servis. Elemen-elemen seperti ‘stance, ball toss, ball contact dan follow through’ perlu diterangkan dengan jelas untuk mengelakkan kekeliruan. Dari aspek kebolehan motor fizikal, unsur-unsur seperti kekuatan statik (ketika stance), kekutan eksplosif, tenaga (ketika ball contact), kekuatan batang badan, kelembutan mengembang (ketika hendak mengangkat kaki untu melakukan servis), keseimbangan lintang badan (ketika follow through) dan kekuatan-kekuatan yang lain yang dirasakan sesuai untuk digunakan.

Dari aspek kebolehan motor persepsi pula, jurulatih perlu menerangkan kepada atlet/tekong berkaitan unsur-unsur yang perlu ada ketika melakukan servis. Unsur-unsur seperti koordinasi kaki tangan, kawalan ketepatan (ketika hendak melakukan servis dan selepas servis dilakukan), masa reaksi, mensasar (ketika berlakunya ball contact) dan kebolehan motor persepsi yang lain yang dirasakan sesuai. Selepas kebolehan motor individu ini dikuasai, secara tidak langsung kemahiran untuk melakukan servis bagi atlet/tekong terbabit akan menghasilkan prestasi yang terbaik selepas ianya diperaktikkan secara cekap dan berkesan.

Kebolehan motor individu sangat berkait rapat dengan kemahiran motor. Ini kerana, kemahiran motor seseorang itu bermula daripada kebolehan motor yang ada pada mereka yang akan memberikan impak yang positif didalam perlaksanaan sesuatu kemahiran.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, kita dapati bahawa kebolehan motor individu adalah merupakan perkara asas yang perlu ada bagi meningkatkan kemahiran motor yang sedia ada pada mereka. Bagi melahirkan atlet yang berprestasi tinggi, aspek kemahiran motor dan kebolehan motor perlulah ada dan aplikasi yang berkaitan dengannya dilaksanakan dengan tersusun dan rapi. Menurut Schmidt, R.A. (1982), pembelajaran motor merupakan satu proses gabungan latihan dan pengalaman yang menjana perubahan tindakan atau pergerakkan yang kekal. Pembelajaran telah berlaku berdasarkan maklum balas mengikut prestasi pengetahuan (knowledge performance) dan pencapaian keputusan (knowledge result). Tahap pembelajaran dibahagikan kepada lima peringkat iaitu pencapaian ketika praktikal, melalui ingatan jangka pendek, melalui ingatan tetapi jangka panjang, kemahiran membuat generalisasi dan kemahiran membuat pengubahsuaian mengikut keadaan. Kefahaman tentang tahap-tahap pembelajaran kemahiran motor ini dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran



Rujukan

1. Guilford, J.P. (1967), The nature of Human Intelligence. McGraw-Hill, New York.

2. Schmidt, R.A. (1982), Motor Control and Learning: A Behavioral Emphasis. Human Kinetics, Champaign.

3. Simpson, E.J. (1972). The Classification of Educational of Objective in the Psychomotor domain. The Psychomotor Domain, Gryphorn House, Washington.

4. Goldberger, Michel, Moyer dan Steve (1982). A Schema For Classifying Educational Objectives In The Psychomotor Domain, Quest, 34(2), 134 - 142.

5. Ibrahim Mamat (1996). Reka Bentuk Dan pengurusan Latihan: Konsep dan Amalan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Friday, 19 August 2011

SAINS SUKAN: IDENTIFIKASI BAKAT (TID) - BAHAGIAN AKHIR



Perbezaan Kaedah Ujian Identifikasi Bakat Di Malaysia dan Rusia

Jika diteliti mengenai ulasan di atas, persamaan TID di Malaysia dan Rusia tidaklah begitu ketara. Mungkin setelah melalui pelbagai penyelidikan dan pemerhatian, kita tidak dapat lari daripada meniru atau dalam erti kata yang sebenar, mengambil ilmu-ilmu berkaitan TID Rusia. Namun, ianya tidaklah salah kerana kita mempelajari satu ilmu untuk kebaikan dan lama-kelamaan kita sendiri dapat mempraktikkan serta menokok-tambah ilmu yang sedia ada mengikut acuan kita sendiri demi memperkukuhkan lagi sistem TID di negara kita. Dalam pada itu terdapat juga perbezaan pendekatan dalam sistem TID kedua-dua negara inni iaitu:

1. Kaedah Genetik

Kaedah ini adalah bergantung kepada identifikasi bakat berdasarkan latarbelakang keluarga yang mempunyai pencapaian sukan yang tinggi sebelum ini. Ia melibatkan proses sainstifik berkaitan ujian identiti atau kromosom dominan dan ia boleh menyebabkan ketidaktepatan penilaian kerana bukan semua yang dipilih melalui kaedah genetik ini tepat. Salah satu kaedah genetik yang terkini digunakan adalah dikenali ACTN3 yang dapat menentukan abiliti atlet atau bakat semulajadi atlet dalam sukan seperti acara pecut yang banyak menggunakan sistem tenaga anaerobik atau acara yang melibatkan daya tahan dan banyak menggunakan sistem tenaga anaerobik.

2. Kaedah DNA

Kaedah ini dilakukan di Rusia yang menggunakan teknologi aerospace untuk mengenalpasti kualiti individu untuk menjadi atlet yang baik. Ia adalah ujian yang sangat sainstifik dan melibatkan perbelanjaan yang sangat besar. Ia dapat menentukan keupayaan atlet pada peringkat awal dan risiko kesilapan adalah kurang. Ia juga disusuli dengan program latihan jangka masa panjang untuk membentuk atlet berkualiti.

Kesimpulan dan Cadangan Untuk Memperbaiki TID Di Malaysia

Pada dasarnya memang masih lagi terdapat banyak kekurangan dan kelemahan dalam sistem TID di Malaysia namun, kita haruslah melihat kekurangan dan kelemahan yang wujud sebagai pemangkin ke arah membentuk satu sistem yang lebih efisyen. Dengan menjadikan sistem TID dari negara lain seperti Jepun, China dan kebanyakan negara yang telah berjaya melahirkan ramai atlet yang berkaliber sebagai rujukan, kita juga mampu malah mungkin akan lebih berjaya pada masa akan datang. Pihak yang bertanggungjawab perlu juga mengambil inisiatif tertentu yang dirasakan berfaedah seperti melakukan lebih banyak penyelidikan serta berusaha memberi pendedahan di peringkat antarabangsa kepada pengamal sains sukan misalnya untuk terus mempelajari seterusnya mempraktikkan ilmu yang dipelajari oleh mereka untuk memantapkan lagi sistem TID yang sedia ada.

Program-program pengkajian dan penyelidikan berkaitan genetik, DNA dan sebagainya perlu dijadikan asas dimana setidak-tidaknya kita berupaya melahirkan pakar-pakar dalam bidang ini. Kita tidak perlulah terlalu banyak bergantung kepada penyelidik luar semata-mata kerana penyelidik tempatan juga mampu melakukan penyelidikan dalam bidang-bidang yang selama ini kita ketandusan dan sukar diperolehi. Selepas setiap penyelidikan dilakukan, pencarian bakat perlulah juga dijalankan secara berterusan untuk mengelak daripada usaha tersebut terhenti begitu sahaja. Program TID secara berterusan inilah sedikit-sebanyak dapat membantu melahirkan sesuatu yang bermanfaat pada masa akan datang.

Kita sepatutnya tidak perlu bimbang tentang siapakah yang akan dipertanggungjawabkan bagi merealisasikan impian melahirkan pakar-pakar dalam bidang pencarian bakat ini. Ini kerana, kita telah lama mempunyai pengamal sains sukan melalui kursus-kursus tertentu yang dijalankan dan juga kursus-kursus sains sukan yang ditawarkan diperingkat universiti. Sehingga kini, telah ramai graduan dalam bidang berkenaan yang mendalami ilmu sains sukan serta ada juga diantara mereka yang telah pun diserap kedalam badan-badan sukan di negara kita seperti MSN, ISN, sekolah sukan dan sebagainya. Mereka inilah yang akan membantu meningkatkan pencapaian sukan di negara kita satu masa kelak.

Dari sudut yang lain pula, perlantikan atau tangggungjawab yang berkaitan dengan apa sahaja program sukan haruslah diberikan kepada mereka yang benar-benar mempunyai latar belakang sukan dan tidak seharusnya dipolitikkan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak yang berkepentingan yang mana ianya akan merosakkan organisasi itu sendiri. Akhibat daripada wujudnya simptom-simptom kepentingan politik inilah yang telah menjatuhkan martabat sukan di negara kita dan nyata sekali kita seolah-olah lupa bahawa pembangunan sukan pada dasarnya adalah demi mempertingkatkan jati negara seterusnya bagi mengelak daripada kita terus jauh tercicir ke belakang dalam arena sukan satu masa nanti.



Rujukan

1. Talent identification and fitness testing. (1998). Kuala Lumpur: Institusi Sukan Negara, Majlis Sukan Negara.

2. Hoare. D. (2000). Talent identification, selection and development plan. Diperolehi 29 March 2006 dari http://www.sasc.org.za/ ClientFiles/SISA% 20generic.doc

4. Nota-nota kuliah Identifikasi Bakat.

Thursday, 18 August 2011

SAINS SUKAN: IDENTIFIKASI BAKAT (TID) - BAHAGIAN 4


Persamaan Kaedah Ujian TID Malaysia dan Rusia

Terdapat pelbagai jenis kaedah ujian identifkasi bakat yang digunakan untuk mengenalpasti bakat atau potensi yang ada pada seseorang kanak-kanak, remaja mahupun atlet-atlet. Di Malaysia hanya beberapa jenis kaedah yang digunakan untuk tujuan identifikasi bakat manakala kaedah identifikasi bakat di Rusia adalah lebih banyak berbanding dengan Malaysia. Huraian di bawah merujuk kepada persamaan kaedah ujian identifikasi bakat yang digunakan di Malaysia dan Rusia.

1. Ujian Fisiologi
Fisiologikal adalah salah satu faktor yang mempengaruhi pencapaian sukan. Ia melibatkan 3 komponen seperti ukuran penghasilan daya melalui knee, arm, extension dan flexion, trunk rotation, crunches dan back extension. Contoh, peralatan yang biasa digunakan untuk mengukur kekuatan otot dan kuasa adalah Cybex Isokinetic Dynamometer yang melibatkan otot-otot quadriceps, hamstrings, biceps, triceps, abdominal deltoid dan lower back.

Komponen kedua adalah ukuran 1 minit maximal effort dengan mengatasi rintangan tertentu yang ditetapkan, seperti penggunaan rowing ergometer, treadmill, weight machines, free weight dan cycling ergometer untuk menentukan penghasilan kuasa dan purata akan diambilkira.
Komponen ketiga adalah ujian simulasi perlumbaan menggunakan treadmill, rowing ergometer dan cycling ergometer. Ujian ini mengambil masa tertentu yang ditetapkan mengikut keperluan sukan dan menggunakan rintangan yang sama dengan 1 max effort. Pencapaian dari segi ulangan, jarak larian dan bilangan kayuhan diukur.

Di samping itu, ukuran pengambilan O² dan VO² max , keupayaan aerobik dan anaerobik (fisiologi atlet), ukuran kandungan asiditi dalam darah, ukuran recovery rate kepada normal dan ukuran stabiliti (dari segi fizikal dan psikologikal) selepas ujian. Pengambilan muscle biopsies menentukan jenis sukan yang sesuai bagi individu mengikut muscle fiber yang ada padanya.


2. Ujian Fizikal dan Anthropometrical


Kaedah ujian fizikal dan anthropometrical merupakan satu kaedah yang paling biasa digunakan untuk mengenalpasti dan proses identifikasi bakat kanak-kanak, individu-individu dan atlet. Kaedah ini melibatkan bentuk tubuh badan dan kecergasan yang juga merangkumi struktur badan, kekuatan, kuasa, kelajuan, agility, daya tahan otot, fleksibiliti dan keseimbangan. Ujian-ujian fizikal yang biasa dijalankan adalah seperti ujian vertical jump, standing broad jump, pecut 40 meter, sit and reach, dan sebagainya.

Kaedah ujian anthropometrical adalah lebih kepada pengukuran struktur badan seperti mengukur ketinggian, sitting height, body mass, skinfold measures for determine body fat dan arm span. Contohnya, pengukuran ketinggian individu bagi sukan bola keranjang. Kaedah ujian ini juga melibatkan hand plates dan teknik x-ray bagi menentukan kadar pertumbuhan kanak-kanak.

3. Ujian Sukan Spesifik

Ujian sukan spesifik ini dijalankan berdasarkan kepada kumpulan atlet yang mengambil bahagian dalam sukan tertentu tanpa mengira pencapaian sukan dan ia biasanya dilakukan di peringkat-peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan. Pemilihan ke atas kumpulan atlet yang tidak mempunyai laterbelakang sukan tertentu melalui ujian fizikal dan fisiologi yang sesuai mengikut sukan. Ujian bagi kemahiran sukan juga akan digunakan dalam ujian ini. Contohnya, program bola sepak bawah 23 tahun yang baru dijalankan di Malaysia adalah salah satu kaedah ujian sukan spesifik yang menggunakan ujian fizikal bola sepak terhadap atlet yang mengambil bahagian untuk mengenalpasti dan identifikasi bakat.

Russia juga ada melakukan pencarian bakat, antaranya ialah Moscow Athletics Talent Search dan National TID Programe 1999. Di Russia, kebanyakan sukan menggunakan kaedah ujian sukan spesifik, iaitu salah satu kaedah continuos cycle sebagai tujuan identifikasi bakat. Ia melibatkan proses berikut seperti pertandingan, identifikasi, pemilihan, penilaian, pemilihan dan pemilihan semula. Dalam proses pertandingan, atlet akan diperhati dengan keadaan persekitaran biasa seperti mewakili pasukan, kelab dan lain-lain. Proses identifkasi bakat akan dijalankan untuk menentukan atlet yang berpotensi pada tahap tersebut. Pemilihan akan dijalankan dengan atlet menyertai satu-satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi seperti pools, kem latihan, percubaan dan lain-lain.

Penilaian pencapaian atlet akan dibuat semasa sesi latihan dan pertandingan, ia memberi penumpuan terhadap aspek teknikal, taktikal, psikologikal, usaha, disiplin, sumbangan atau konflik terhadap pasukan. Akhir sekali, pemilihan semula dijalankan semasa sesi latihan dan pertandingan, penilaian atlet di padang atau di luar padang dengan menjalankan ujian terakhir menilai abiliti dan tahap persaingan untuk memastikan mereka diserap dalam satu-satu pasukan.

4. Ujian Padang

Kebanyakan sukan menggunakan kaedah ujian padang (field tests) untuk mengenalpasti dan proses identifikasi bakat. Kaedah ini biasanya dilakukan di peringkat-peringkat sekolah rendah, menengah dan juga dalam kejohanan sukan mengikut peringkat umur. Ujian fizikal dan ujian fisiologi akan djalankan selepas pemilihan atlet dibuat, ia adalah kurang sainstifik dan tidak sistematik kerana tidak menggunakan pengetahuan sukan yang spesifik. Contohnya, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) mengadakan kejohanan sukan bawah 18 tahun peringkat kebangsaan, guru-guru atau jurulatih-jurulatih akan membuat pemilihan atlet berdasarkan tanggapan kemampuan dan pencapaian atlet di padang. Atlet akan menjalankan ujian fizikal dan ujian fisiologi berkaitan sukan tersebut selepas dipilih dan ia adalah kurang berkesan kerana atlet yang dipilih kemungkinan tidak sesuai.

Sunday, 14 August 2011

SAINS SUKAN: IDENTIFIKASI BAKAT (TID) - BAHAGIAN 3



Identifikasi Bakat Di Rusia

TID Soviet Union tidak berdasarkan sistem ketenteraan seperti yang difikirkan. Seperti lain-lain negara soliasis TID Russia telah lama digunakan untuk memilih atlet. Prosedur TID yang digunakan selama ini tidak sempurna dan tidak mempunyai keesahan dan kebolehpercayaan. Walaubagaimanapun, TID Russia tidak dilakukan secara sembarangan, ia dirancangkan dengan teliti dalam satu sistem pemilihan dan penyingkiran atlet selama bertahun-tahun.

Sistem kenalpasti atlet adalah berdasarkan kejayaan atlet Russia yang lalu atau atlet-atlet dunia yang berjaya dalam sukan-sukan tertentu. Performans atlet-atlet itu pada beberapa tahap umur mereka, dijadikan parameter untuk TID atlet-atlet baru. Secara biologi umur dan potensi atlet akan dibuat andaian tentang prestasi mereka pada masa akan datang. Parameter yang diambilkira dalam kaedah model ini termasuklah:

1. Ukuran antropometrik – tinggi; berat; jangkauan.
2. Keupayaan performans fizikal umum – kelajuan, kekuatan, kuasa, daya tahan, mobiliti.
3. Tahap performans untuk sukan spesifik – pecutan lompat jauh, peluru, mengelecek dan lain-lain.
4. Keupayaan acara/ posisi spesifik – daya tahan pecutan 100/200m daya tahap aerobik/anaerobik 400-1500m, daya tahan aerobik 3000-10,000m; pecutan, daya tahan pecutan, mobiliti, agiliti untuk lompatan; kuasa dan kekuatan untuk lontaran.
5. Kadar peningkatan prestasi mengikut parameter di atas diambilkira.

Sistem Pemilihan TID

Setelah atlet dikenalpasti melalui kaedah model, ukuran peningkatan prestasi dinilai dalam 3 peringkat utama untuk mendapatkan atlet berpotensi. Prosedur bermula dengan kanak-kanak berumur 8-10 tahun dengan pemilihan terakhir mengikut sukan spesifik setelah lebih 4 tahun dalam sistem latihan ini, iaitu:

Pemilihan asas (Basic Selection)

TID Russia dilakukan di sekolah-sekolah rendah untuk pelajar-pelajar berumur 8-10 tahun. Pemilihan yang dibuat secara mass (ramai) melibatkan beribu-ribu kanak-kanak dilakukan oleh guru-guru PJ yang melibatkan potensi mereka. Guru-guru PJ di Russia adalah terlatih dan mereka menggunakan ujian-ujian yang mudah untuk mengenalpasti bakat. Kemudian kanak-kanak itu dimasukkan ke sekolah/kelab sukan. Ujian yang digunakan merangkumi:

• Tinggi dan berat badan (BMI).
• Speed – 30m dengan standing start.
• Daya tahan – larian 12 atau 15 minit.
• Keupayaan latihan – Harvard step tests.
• Power – standing long jump.
• Ujian sukan spesifik – teknik semasa berlari, melompat, lontar dan lain-lain.

Pemilihan saringan (Preminalary Selection)

Pada fasa ini, pemilihan dilakukan ke atas kanak-kanak 10-12 tahun atau pun lebih kurang 18 bulan selepas pemilihan asas. Penilaian diperingkat ini berdasarkan kepada:

• Perkembangan keupayaan fizikal kanak-kanak.
• Ujian sukan spesifik.
• Kadar pertumbuhan kanak-kanak.
• Umur biologikal diukur dengan x-ray tulang.
• Keputusan dari ujian psikologi.

Kanak-kanak yang telah lulus dalam penilaian ini tidak terus diasingkan mengikut jenis-jenis sukan atau jenis-jenis acara olahraga tetapi terus dilatih kecergasan mereka dalam pelbagai sukan. Mereka diserap untuk latihan skuad elit sehingga pemilihan akhir. Kanak-kanak yang gagal melepasi tahap penilaian yang ditetapkan akan dikeluarkan dari program tetapi mereka diberi peluang untuk menjalani ujian penilaian semula selepas 1 tahun. Penilaian selepas 1 tahun ini dilakukan kerana pada umur 10-12 tahun keupayaan mereka adalah berbeza dan tidak dapat ditentukan dengan tepat.

Pemilihan akhir (Final Selection)

Dalam pemilihan akhir ini, penilaian dilakukan ke atas kanak-kanak yang berumur 13-14 tahun. Pada masa ini kanak-kanak dianggap sesuai untuk memulakan latihan secara lebih khusus mengikut sukan atau acara tertentu. Pakar sukan Rusia berpendapat bahawa, penilaian pada tahap kanak-kanak lelaki yang berumur 12-14 tahun dan kanak-kanak perempuan yang berumur 11-13 tahun merupakan peringkat yang terbaik untuk melakukan pemilihan mengikut sukan atau acara tertentu yang disertai oleh mereka. Penilaian ini juga berasaskan kepada parameter dimana model atlet yang telah berjaya dijadikan ikutan atau idola kepada mereka dalam sukan atau acara-acara tertentu. Aspek- aspek yang dinilai adalah:

• Tahap pencapaian dalam sukan atau acara tertentu masa dan jarak larian, lompatan, lontaran
dan kemahiran.
• Kadar peningkatan sukan atau acara spesifik.
• Konsistensi melakukan prestasi yang terbaik.
• Keputusan keupayaan fizikal spesifik, termasuk ujian di makmal.
• Keputusan ujian psikologi.
• Ujian antropometrik untuk melihat kesesuaian jenis sukan atau acara.
• Ujian kekuatan – back dynometer, barbell squats dan bench press.
• Power – vertical jump, standing long jump, standing triple jump, medicine ball throw paras dada, standing 5 hops.
• Daya tahan otot – pull ups, tekan tubi dan bangkit tubi.
• Speed – 30m standing start dan 30m flying start.
• Daya tahan kardiovaskular – larian 12 minit, 15 minit, 2000m dan mass O² uptake (treadmill atau bicycle ergometer).
• Daya tahan speed – larian 300m dan 600m.
• Keupayaan latihan – Harvard step tests.
• Ujian koordinasi – mengikut keperluan sukan.
• Ujian mobiliti – mengikut keperluan sukan/ acara.
• Ujian psikologi.

Kelebihan TID Russia

TID dimasukkan dalam sistem pendidikan yang fleksibel untuk kenalpasti dan memperkembangkan potensi sukan kanak-kanak. Kaedah pemilihan bakat telah bermula pada sekolah rendah dan ini memberi lebih peluang kepada pembentukan atlet elit. Kejayaan TID Russia disebabkan guru-guru PJ yang benar-benar layak dan kurikulum PJ yang menekankan aktiviti-aktiviti sukan. Faktor ini sangat membantu TID pada peringkat awal. Perkembangan potensi asas kanak-kanak lebih cepat kerana kurikulum PJ menekankan sukan gimnastik, renang dan olahraga sebagai asas sukan permulaan kanak-kanak tersebut. Selepas fasa pemilihan asas, kanak-kanak dilatih oleh jurulatih-jurulatih berkelayakan dan berpengalaman yang mana, kebanyakan jurulatih adalah lulusan kursus Ijazah Kejurulatihan Sukan yang bekerja sambilan dengan Jabatan Pendidikan. Kelab-kelab sukan pula menyediakan kemudahan dan kepakaran kepada sekolah-sekolah sukan dan kanak-kanak yang terpilih diberi keistimewaan:

• Memilih sekolah sukan yang hampir dengan rumah mereka.
• Makan tengahari percuma dan panduan nutrisi makan di rumah.
• Semua kos kem latihan, kem musim panas dan kem musim sejuk dibiayai sepenuhnya.
• Jangkamasa pendidikan yang dipanjangkan untuk atlet menamatkan pendidikan seberapa tinggi.

Kelemahan TID Russia

Kelemahan yang paling ketara dalam TID Rusia adalah kurangnya informasi yang terkini untuk mengasingkan atlet berpotensi kerana ujian yang dijalankan gagal untuk mendapatkan andaian prestasi yang tepat. Stastitik 50% dari peningkatan awal TID dan seterusnya dimasukkan ke sekolah dan kelas sukan tidak dapat mencapai tahap prestasi yang dijangka. Fasa-fasa pemilihan terpaksa dipanjangkan untuk penilaian semula secara berulang-ulang yang mana ianya memungkinkan kadar peningkatan prestasi fizikal yang pelbagai mengikut kebolehan dan peringkat umur adalah berbeza. Terdapat kes-kes tertentu seperti kanak-kanak yang memiliki tahap peningkatan yang cepat dan juga lambat yang secara tidak langsung memberi kesan terhadap kaedah yang tepat serta reliable untuk mengenalpasti perkembangan potensi kanak-kanak. Kesannya:

• Masalah bagi menetapkan permulaan latihan sukan spesifik.
• Kanak-kanak pada umur 10 – 12 tahun menunjukkan kebolehan all-rounder dan sukar untuk menentukan jenis sukan yang paling sesuai untuk mereka.
• Terdapat percanggahan pendapat berkaitan umur yang sesuai untuk memulakan latihan sukan spesifik di kalangan pakar-pakar sukan Rusia.

Rusia tidak menggunakan kaedah-kaedah TID yang canggih dan jurulatih yang membuat pemilihan lebih berkuasa untuk menentukannya. Kebolehpercayaan TID Russia hanya 30% untuk fasa pemilihan asas dan 77% dalam fasa pemilihan saringan dan akhir.