Dreamstime

Royalty Free Images

Wednesday 6 May 2009

3R: RAGUT, ROGOL, REMPIT


PETIKAN 1: Remaja ragut wanita dihantar ke Henry Gurney
SHAH ALAM: Seorang pesalah juvana yang mengaku bersalah atas tuduhan merompak beg tangan seorang wanita pada sambutan Krismas pada tahun lalu diperintahkan menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam. Hakim Hasbi Hasan berkata, keputusan itu dibuat supaya remaja berumur 17 tahun itu dapat membaiki diri dan menjadi pengajaran terhadapnya. “Saya akan buat perintah dan dalam tempoh tiga tahun kamu perlu menggunakan peluang itu sebaiknya dengan belajar bidang kemahiran,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latiff memberitahu perbuatan tertuduh adalah serius kerana ketika kejadian mangsa mengalami kecederaan. “Mahkamah perlu berperanan mendidik golongan muda supaya menanam sifat serik untuk mengajar mereka. “Keputusan ini supaya tertuduh sedar kerana kesenangan bukan berpunca daripada orang lain, tetapi perlu berusaha sendiri,” katanya. Suzana berharap mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya dengan mengambil kira kepentingan awam. Bagaimanapun, remaja berkenaan tidak diwakili peguam meminta mahkamah menjatuhkan hukuman minimum kerana dia sudah insaf dan menyesal bagi perbuatannya.

PETIKAN 2: 3 pelajar nodai budak 5 tahun
KUANTAN: Akibat tidak dapat menahan gelora nafsu, tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Raub ditahan polis selepas disyaki mencabul dan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, kelmarin. Dalam kejadian antara jam 1 tengah hari hingga 5 petang di Kampung Sempalit, dekat Raub, tiga sahabat terbabit bergurau dengan kanak-kanak perempuan berkenaan sebelum mula bertindak liar dengan memasukkan jari dalam kemaluan mangsa dan merogolnya.

Sebelum itu, tiga sahabat terbabit berusia 13 hingga 15 tahun terbabit bertandang ke rumah mangsa untuk bertemu abangnya, bagaimanapun dia tiada di rumah. Difahamkan, perbuatan tidak bermoral mereka berlaku apabila mangsa diajak masuk ke dalam bilik sebelum seorang daripadanya membuka seluar mangsa. Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri, tetapi gagal apabila tiga remaja lelaki terbabit bertindak ganas memegang tangan dan kaki mangsa sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu. Remaja terbabit kemudian meninggalkan mangsa dalam bilik bersendirian dan pulang ke rumah masing-masing.Kejadian hanya disedari ibu mangsa berusia 45 tahun ketika mahu memandikan kanak-kanak itu kira-kira jam 6 petang.

Mangsa anak bongsu daripada tiga beradik mengadu kepada ibunya selepas berasa sakit serta pedih di kemaluan sebelum menceritakan kejadian sebenar.Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit. Menurutnya, hasil pemeriksaan di Hospital Raub mendapati kemaluan mangsa koyak dipercayai akibat kemasukan objek tumpul. Katanya, susulan laporan ibu mangsa, polis menahan tiga remaja terbabit sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk siasatan lanjut.

PETIKAN 3: Filem galak gejala rempit
KUALA LUMPUR: Aksi liar dipaparkan filem tempatan disifatkan pihak polis bukan saja ‘panas’ di pawagam, malah kini melarat ke jalan raya apabila semakin ramai golongan Mat Rempit dilihat beraksi ganas dan gila sehingga berani sengaja mencabar pasukan keselamatan. Walaupun ada yang menganggap ia satu kebetulan, pihak polis kini seolah-olah dilanda wabak penularan gejala negatif Mat Rempit yang dilihat semakin melarat di seluruh negara. Perkara ini diakui Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Superintendan Hambazi Abdul Rahman yang memberitahu kes tangkapan membabitkan golongan remaja Mat Rempit itu meningkat beberapa kali ganda berbanding bulan sebelum ini. Menurutnya, golongan remaja liar terbabit seolah-olah tidak takut dengan polis dan undang-undang malahan kewujudan mereka bagaikan satu wabak baru dalam masyarakat.

“Saya tidak pasti sama ada ia berpunca daripada pengaruh filem atau drama aksi berkaitan lumba haram di televisyen, namun saya percaya ia sedikit sebanyak mempengaruhi golongan remaja untuk menyertai aktiviti tidak sihat ini. “Apabila mereka menonton filem seperti bohsia dan aksi panas membabitkan lumba haram, mereka cenderung meniru aksi berbahaya yang ditonton itu untuk membuktikan kehebatan masing-masing tanpa mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ketika diminta mengulas jumlah Mat Rempit semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, Hambazi berkata, ia disebabkan tanggapan salah orang ramai yang membuat kesimpulan penunggang motosikal adalah Mat Rempit. “Segelintir menganggap individu yang menunggang motosikal adalah Mat Rempit dan hal ini sekali gus memberi kesan seolah-olah gejala itu semakin berleluasa,” katanya. Katanya, untuk membanteras gejala itu daripada menjadi semakin serius, operasi menangani aktiviti lumba haram akan dijalankan secara berterusan supaya golongan itu tahu pihak berkuasa sentiasa memantau kegiatan itu.

Sementara itu, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof, berkata pihaknya memandang serius golongan belia terutama remaja bawah umur terbabit dalam aktiviti lumba haram. Beliau turut memberi amaran operasi besar-besaran menangani lumba haram akan diteruskan dari semasa ke semasa, selain mempertingkat kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain. “Malah sehingga kini, seramai 235 remaja bawah umur yang menjadi Mat Rempit ditahan dalam operasi besar-besaran polis di seluruh negara sejak Sabtu lalu,” katanya. Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar dilaporkan berkata kerjasama ibu bapa memantau pergerakan anak diperlukan bagi mengelak terbabit dalam kegiatan Mat Rempit.

Petikan artikel daripada harian Metro Online pada 6 Mei 2009
Saban hari inilah sajian berita yang kerap kita baca di dada-dada akhbar atau pun mendengar melalui media massa yang lain. Penulis sering kali mengeluh panjang apabila memikirkan betapa sadisnya masyarakat kita pada hari ini. Semakin hari semakin 'bangsat' perlakuan sesetengah masyarakat kita disebabkan gejolak nafsu rakus mereka. Salah siapa? Salah ibu mengandung?

Sudah sampai masanya kerajaan perlu mengkaji semula akta-akta tertentu untuk 'mengajar' mereka melalui undang-undang dengan mengenakan hukuman yang lebih berat dan menyakitkan bagi menyedarkan mereka-mereka yang berhati 'syaitan'! Lagi baik sekiranya Hukum Hudud dilaksanakan!

Kita gah dengan pesatnya pembangunan! Kita hebat dengan gelaran Pusat Kebudayaan Islam! Kita tersenyum lebar dengan masjid yang indah-indah! Tetapi pada hakikatnya masyarakat kita semakin hanyut! Masyarakat kita semakin jahil! Masyarakat kita semakin buta hati menjadi lebih hina daripada seekor 'babi'!

Sampai bila hendak dibiarkan begini? Jika kita hanya membutakan mata, memekakkan telinga, membisu seribu bahasa maka sedarlah bahawa kita sebenarnya tidak layak berada diatas muka bumi ini dan tempat yang paling layak untuk kita hanya dalam lubang NAJIS!

No comments:

Powered By Blogger