Dreamstime

Royalty Free Images

Wednesday, 16 March 2011

APA PENTINGNYA KEPUTUSAN A+?


Keputusan SPM bakal diumumkan tidak lama lagi. Sudah pasti pelbagai perasaan menghantui pemikiran pelajar. Ada yang merasa tidak sabar, risau malah ada yang mungkin sudah dapat menjangkakan keputusan yang bakal diperolehi. Walau apa pun, kita seharusnya berlapang dada sekiranya keputusan yang diterima itu nanti jauh daripada jangkaan sebenar. Umum mengetahui bahawa semua pelajar yang benar-benar menjiwai pembelajaran mereka mungkin meletakkan sasaran semua subjek dengan keputusan cemerlang iaitu A+. Ada juga segelintir daripada para pelajar yang tidak peduli sedikit pun apa keputusan mereka. Namun persoalannya adakah keputusan A+ itu penting?

Bagi penulis memanglah keputusan A+ itu merupakan satu keputusan yang mewakili kecemerlangan, kepintaran dan usaha berbaloi para pelajar setelah berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran mereka. Ibu bapa, guru, rakan-rakan dan seluruh masyarakat turut sama berbangga kerana saban tahun peratusan cemerlang keputusan SPM tampak meningkat. Namun tanpa kita sedari ramai dikalangan ibu bapa dan masyarakat hari ini sangat menggalakkan anak-anak mereka hanya untuk mengejar A+ dalam akademik semata-mata. Sedangkan dalam SAHSIAH anak-anak mereka bolehlah dilabelkan dalam kategori mereka yang mendapat keputusan F atau gagal. Kenapa?

Lihat sahaja bukti-buktinya kini samada di dalam media cetak dan elektronik, terpampang berita mengenai gejala sosial yang melibatkan pelajar sekolah sehinggalah kepada mereka yang bergelar mahasiswa. Tidakkah mereka terdiri daripada golongan cerdik-pandai? Jika benar mereka cerdik, pandai, pintar atau lain-lain istilah, mengapa mereka tidak dapat memikirkan mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang harus dipilih dan mana yang harus diketepikan? Harus diingat bahawa keputusan A+ dalam akademik bukan bermakna mereka cemerlang dalam SAHSIAH! Mereka mungkin bijak dalam menjawab peperiksaan tetapi mereka mungkin BODOH dalam hal-hal AKHLAK!

Apa yang dimaksudkan dengan BODOH dalam hal-hal AKHLAK? Soal akhlak merupakan perkara yang sangat remeh dipandang kini. Semuanya berpaksikan kepada KEBEBASAN! Para remaja kini yang terdiri daripada pelajar-pelajar sangat tidak menyukai perkataan 'KONGKONG'. Mereka mahukan kebebasan yang maksimum. Mereka sangat tidak menyukai kawalan ibu bapa dan sesiapa sahaja. Mereka akan buat apa yang mereka suka. Mereka ingin hidup bebas sebebas-bebasnya. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menegur mereka. Tidak hairanlah banyak kes berlaku membabitkan salah-laku pelajar seperti ponteng sekolah, mencuri, dan merokok bahkan kesalahan lain yang lebih besar seperti merogol, memukul guru, menagih dadah serta berzina seolah-olah menjadi 'trend' yang biasa di kalangan pelajar.

Tidak sesekali penulis menyalahkan ibu bapa, masyarakat dan para pelajar 100%. Apa yang penulis cuba sampaikan adalah mengenai kealpaan kita yang tidak lagi memikirkan secara serius bagaimana untuk mewujudkan golongan remaja yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan A+ yang sama rata di antara pencapaian dalam bidang akademik dan juga pencapaian dalan pembentukan SAHSIAH. Tidak dinafikan bahawa perubahan kitaran arus kemodenan dunia telah memberi impak dan pelbagai cabaran kepada generasi muda hari ini. Namun kita sebagai manusia cuma perlu membuat 2 pilihan sahaja samada untuk memilih untuk menjadi manusia yang baik atau pun memilih yang sebaliknya. Samalah juga didalam tuntutan agama yang dijanjikan oleh Allah iaitu amalan hidup kita didunia akan menempatkan diri kita samada di Syurga atau pun di dalam Neraka. Pilihan terletak pada kita...

No comments:

Powered By Blogger