16 April 2011 menyaksikan satu lagi detik baru dalam kancah politik negara. Rakyat Sarawak sekali lagi memberi mandat penuh kepada Kerajaan Barisan Nasional dibawah pimpinan Dato' Seri Najib untuk menerajui halatuju pentadbiran di Bumi Kenyalang itu. Walaupun diasak dengan begitu kuat oleh Barisan Pakatan Rakyat, ternyata Rakyat Sarawak masih lagi berdiri teguh bersama kepimpinan Taib Mahmud selaku Ketua Menteri yang mempunyai pengalaman cukup luas. Dakyah pembangkang yang menyatakan Rakyat Sarawak sudah tidak mahukan lagi Taib Mahmud ternyata hanyalah polemik politik dan retorik semata-mata.
Keputusan secara keseluruhannya, BN memenangi 55 kerusi, Pakatan Rakyat 15 kerusi yang mana masing-masing 12 dan 3 kerusi milik DAP dan PKR manakala bebas mendapat 1 kerusi. PAS pula kalah disemua 5 kawasan yang ditandingi. Keputusan itu menunjukkan BN kehilangan lapan kerusi, berbanding 63 kerusi yang dimenanginya pada 2006 tetapi masih mengekalkan majoriti 2/3.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, BN mendapat undi terbanyak dengan 372,379 undi, diikuti DAP (134,847), Snap (15,663), PKR (117,100), PAS (9,719), PCM (2,895) dan Bebas (20,064). Jika mengikut perkiraan matematik, jumlah undi Barisan Nasional untuk 55 kerusi yang dimenangi adalah sebanyak 372,379 manakala jumlah undi Pakatan Rakyat (PAS, DAP, PKR) untuk 15 kerusi adalah sebanyak 261,666. Harus diingat juga bahawa undi popular Barisan Nasional telah menurun sebanyak 8% jika dibandingkan dengan keputusan pilihanraya negeri pada tahun 2006. Oleh itu langkah-langkah segera perlu diambil bagi memastikan Barisan Nasional akan terus relevan di Sarawak.
Penulis dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Barisan Nasional kerana telah sekali berjaya membentuk kerajaan di Negeri Sarawak. Maka selepas ini, diharapkan segala janji dan manifesto sebelum pilihanraya dapat direalisasikan sepenuhnya demi kepentingan dan kebajikan Rakyat di Sarawak.
No comments:
Post a Comment