Dreamstime

Royalty Free Images

Wednesday, 6 April 2011

TUDUHAN FANATIK DAN EKSTRIMIS


Tersentak di minda penulis apabila segelintir pembaca mengutuskan email yang menuduh penulis merupakan seorang yang bersikap fanatik dan terlalu ekstrim memihak kepada pembangkang. Sudah semestinya pembaca tersebut merujuk kepada penulisan berkaitan 'bicara politik'. Setahu penulis, keseluruhan penulisan dalam blog ini tidaklak 100% menyokong mana-mana parti politik malahan kesemua artikel yang dikeluarkan lebih kepada artikel berkaitan perihal global, umum, artikel berbentuk ilmiah dan sedikit artikel mengenai luahan rasa hati yang berfakta. Tidak ada niat penulis untuk mengutuk sesuatu perkara secara membabi-buta.

Jika penulisan yang di 'published' oleh penulis dibaca dengan pemikiran yang penuh dengan rasa prejudis dan emosional maka akan terlihat seolah-olah penulis berat sebelah. Satu perkara yang perlu kita ketahui, setiap manusia yang memiliki fikiran waras sudah semestinya mempunyai ideologi mereka yang tersendiri terasuklah diri penulis. Kita tidak boleh menyekat atau melabelkan seseorang itu dengan tuduhan melampau, fanatik dan ekstrim sekiranya ideologi mereka tidak sehaluan dengan kita. Menghormati ideologi orang lain dan bertukar-tukar pendapat merupakan salah satu kaedah yang sangat baik untuk menambah pengetahuan dan menajamkan pemikiran kira. Kebijaksanaan akan menjadi senjata yang paling bahaya!

Apakah tafsiran sebenar fanatik dan ekstrim? Mengikut takrifan yang penulis fahami, fanatik atau ekstrim merujuk kepada sesuatu yang dilakukan dengan begitu agresif. Sebagai contoh, pengebom berani mati yang sanggup meletupkan diri mereka dengan tujuan membunuh orang lain. Contoh lain, seseorang yang putus cinta sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan. Itu barulah dikatakan fanatik dan ekstrim. Pendek kata, fanatik dan ekstrim lebih kepada perlakuan di luar batasan yang sama sekali tidak menghiraukan kepentingan diri hinggalah kepada terpaksa berkorban nyawa. Jika setakat penulisan artikel belum cukup untuk mengatakan seseorang itu fanatik dan ekstrim.

Penulisan di dalam blog merupakan cetusan idea yang mungkin tidak semua akan menyukainya dan tidak pula semua yang tidak menyukainya. Itulah realiti pro dan kontra dalam kehidupan kita. Terpulanglah kepada penerimaan masing-masing. Ingin sekali lagi penulis tegaskan bahawa setiap penulisan di dalam blog ini tidak ada kena-mengena dengan sebarang agenda tersembunyi dan ianya bersifat 'transparent'.Sesiapa sahaja boleh membaca dan menilainya sendiri. Jika tidak bersetuju dengan artikel penulis, tinggal sahaja komen atau cadangan. Penulis sangat terbuka untuk menerima sebarang komen dan kritikan yang berilmiah. Matlamat penulis bukanlah untuk mencari publisiti murahan tetapi lebih kepada cetusan idea dan pemikiran mengenai sesuatu perkara yang dirasakan perlu diterjemahkan melalui sebuah tulisan.

No comments:

Powered By Blogger