Dreamstime

Royalty Free Images

Thursday, 25 December 2008

MEDIA SEMAKIN MENGGILA


Tanggal 17 Januari 2008, akan bermulalah proses pengundian bagi memilih Ahli Parlimen yang baru bagi kawasan (P36 Kuala Terengganu). Semakin hari semakin hampir penantian bagi mereka khususnya 'pencinta' politik seantero Malaysia. Bukanlah masanya lagi untuk berlenggang-lenggang tetapi inilah masanya untuk bekerja keras dan inilah juga masanya untuk menunjukkan 'kejaguhan' sebelum pertempuran sebenar berlaku. Maka kita akan menyaksikan 'hulubalang-hulubalang' daripada parti masing-masing akan mula menunjukkan aksi 'anak jantan' yang sebenar. Pelbagai isu akan mula dimainkan, pelbagai tuduhan akan dilemparkan dan lebih buruk lagi akan timbul satu budaya 'fitnah' yang sememangnya sudah sinonim dengan dunia politik.

Tidak terhenti di situ, keseluruhan media massa akan juga turut menyertai 'pesta' pilihanraya kecil tersebut. Tanpa kita paksa dan tanpa kita rela, RTM dan TV3 umpamanya akan mula 'menggila'. Umum mengetahui kedua-dua stesen televisyen tesebut akan mula dimainkan oleh pihak tertentu di dalam melancarkan kempen-kempen serta propaganda-propaganda untuk dijadikan 'halwa' dan disajikan kepada 'mata dan telinga' masyarakat khususnya bagi pengundi-pengundi di Kuala Terengganu. Pelbagai polemik baru dan isu-isu lapuk akan mula diulang-tayang kembali yang menyaksikan akan timbul rasa 'muak' dikalangan mereka yang memahami erti sebenar 'ketidakadilan' media tersebut.

Semalam dan hari ini, penulis sempat menonton siaran berita pagi dan di dalam slot 'Petikan Akhbar Hari Ini' di RTM. Di dalam slot tersebut diadakan analisis mengenai isu semasa yang timbul. Analisis pertama (24/12/2008) bertajuk 'Hudud: Pas Ibarat Tin Kosong' manakala analisis kedua (25/12/2008) bertajuk 'Tanah Politik?'. Penulis tidak mahu mengulas secara lanjut mengenai analisis yang telah disampaikan kerana penulis merasakan analisis yang dilakukan itu merupakan satu analisis 'berat-sebelah' yang menampakkan ketidak-telusan RTM di dalam menjalankan tanggungjawab kepada agama dan masyarakat.

Di dalam analisis pertama, penyampai RTM tersebut seolah-olah memperlekehkan kesungguhan PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud yang telah lama diperjuangkan oleh parti itu. Di dalam analisis yang sama ditimbulkan persoalan mengapa PAS tidak terlebih dahulu melaksanakan hukum itu di Kelantan setelah lama memerintah di sana. Umum telah mengetahui bahawa perlaksanaan hukum tersebut memerlukan persetujuan dan kelulusan kerajaan persekutuan terlebih dahulu dan sekiranya kerajaan persekutuan tidak meluluskannya maka kerajaan negeri perlu mematuhinya. Inilah diantara sebab mengapa Kerajaan PAS masih lagi gagal melaksanakan Hudud di Kelantan. Siapa yang menghalang pelaksanaan Hukum Hudud di Kelantan jika bukan kerajaan persekutuan di bawah pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional?

Sepatutnya analisis seumpama itu perlu terlebih dahulu dirujuk dengan lebih teliti dan tidak sewenang-wenangnya diperkata dan dipertontonkan seolah-olah ianya untuk menakut-nakutkan mereka yang tidak memahami apakah pngertian sebenar hukum tersebut. RTM dan juga stesen TV yang lain perlu mengambil insiatif-inisiatif tertentu untuk mendedahkan kepada masyarakat mengenai kesucian Hukum Hudud itu supaya masyarakat terutamanya mereka yang bukan beragama Islam akan lebih memahaminya. Tidak timbul sebenarnya isu politik mengenai Hukum Hudud sekiranya media massa bersikap lebih adil kepada semua pihak.

Analisis kedua pula mengenai hasrat Kerajaan Perak memberikan hak milik tanah secara kekal kepada penduduk Kampung Baru dan Kampung Tersusun. Kenyataan TPM yang menyatakan bahawa Kerajaan Perak perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Tanah Negara (MTN), telah dibantah oleh Menteri Besar Perak (YAB Dato’ Seri Ir. Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin) yang sebaliknya menyatakan bahawa peranan MTN hanyalah sebagai penasihat kepada kerajaan negeri. Di dalam analisis selama lebih kurang lima minit itu, tidak ada sedikit pun peranan 'check and balance' yang mana penyampai RTM tersebut hampir 100% 'menghentam' Menteri Besar Perak dalam isu tersebut. Inilah salah satu 'karisma berat-sebelah' yang sangat jelas yang sepatutnya tidak berlaku lebih-lebih lagi kepada kepada stesen TV yang membawa suara kepada segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Penulis merasa amat terkilan sekiranya kerakusan media massa yang terus-menerus 'menggila' dan berat sebelah akan menyebabkan masyarakat akan menjadi lebih 'pasif'. Perlakuan ketidakadilan oleh mana-mana media massa akan mencetuskan 'kecelaruan identiti' masyarakat yang lama-kelamaan boleh 'menjumudkan' pemikiran mereka sehingga ke tahap yang lebih parah lagi. Stesen TV seharusnya memainkan peranan yang lebih adil dan bijak supaya masyarakat boleh menilai baik-buruk setiap isu yang berlaku. Stesen TV tidak perlulah menjadi 'alat' kepada pihak-pihak tertentu. Kewujudan stesen TV perlu melalui serta berada dalam skop yang lebih penting dan global tanpa ada sebarang unsur-unsur propaganda berat-sebelah yang boleh menghakis kepercayaan masyarakat. Sekiranya situasi 'ketidakadilan' media massa terus-menerus berlaku pada masa akan datang, maka jangan salahkan masyarakat apabila pembentukan 'Modal Insan' tidak membuahkan hasil untuk selama-lamanya.

1 comment:

Anonymous said...

bagus

Powered By Blogger