Dreamstime

Royalty Free Images

Wednesday, 25 November 2009

LIGA BOLA SEPAK MALYSIA BAKAL JADI LIGA CAP AYAM


Kali ini penulis bermonolog agak panjang sambil mengenangkan kisah silam arena bola sepak negara yang dulunya begitu gah sekali. Stadium-stadium sentiasa dipenuhi oleh ribuan ‘kaki bola’ di setiap pelusuk tanah air tidak kira samada kanak-kanak, remaja, dewasa, kaum ibu dan bapa serta seluruh pencinta bola sepak masing-masing memainkan peranan dalam setiap sorakan pasukan yang mereka minati. Penulis juga sentiasa mengambil peluang untuk masuk secara percuma ke stadium bersama dengan ‘geng-geng’ cilik yang lain kerana pada ketika itu kanak-kanak tidak dikenakan bayaran tiket. Ada yang terpekik-terlolong sebelum memasuki pintu stadium dengan melaungkan sorakan semangat pasukan masing-masing. Tidak ketinggalan juga yang menconteng muka, membawa kompang, berpakaian badut dan sebagainya demi untuk menarik perhatian dan sebagai serangan berbentuk ‘psikologi’ awal bagi memeriahkan suasana.

Kini segala-galanya berubah menjadi agak lesu dek kerana pelbagai aspek ‘kurang cerdik’ pengurusan bola sepak negara. Penulis tertanya-tanya sendirian apakah punca sebenar kelesuan bola sepak negara yang saban hari semakin kurang diminati oleh masyarakat kita sendiri. Masyarakat kita lebih menunjukkan minat terhadap liga-liga bola sepak di eropah berbanding dengan liga tempatan. Bagaimana dan mengapa senario sedemikian berlaku adalah kerana beberapa faktor dan antaranya adalah:-

1. Kelemahan pengurusan badan induk bola sepak iaitu FAM bagi menarik minat penaja-penaja.
2. Pentadbiran di peringkat Kementerian Belia dan Sukan dipimpin oleh mereka yang tidak mempunyai sebarang kelulusan dalam bidang sukan dan agak sukar untuk mereka fahami pelbagai aspek berkaitan sukan terutamanya bola sepak.
3. Publisiti liga bola sepak tempatan sangat kurang berbanding dengan liga-liga lain di eropah.
4. Sistem jadual perlawanan sering kali berlaku pertindihan dengan jadual perlawanan di peringkat asia dan juga antarabangsa.
5. Mutu permainan rata-rata pemain masih lagi berada pada tahap amatur.
6. Urusan pentadbiran dilaksanakan oleh golongan yang tidak mempunyai kepakaran yang tinggi.
7. Penyertaan pasukan yang bertaraf kelab telah mengurangkan jumlah penonton ke stadium.
8. Peraturan dan penambahan peraturan sering berubah-ubah umpamanya sistem dua pengadil, isu pemain import dan pelaksanaan hukuman-hukuman tertentu yang menampakkan kepincangan dari pelbagai aspek.
9. Pengurusan di peringkat negeri/kelab yang lemah sehingga mengakhibatkan krisis kewangan yang serius melibatkan isu gaji pemain.
10. Terlalu banyak campurtangan politik yang mementingkan kuasa dan wang ringgit melebihi semangat kesukanan itu sendiri.
11. Kekurangan kepakaran dari segi psikologi sukan, fisioterapi, kejurulatihan.
12. Kita terlalu bergantung kepada kepakaran dari luar berbanding melatih kepakaran dalam negara sendiri.
13. Kurangnya semangat kesukanan dan semangat partriotisme di kalangan jurulatih, pemain, peminat dan juga masyarakat keseluruhannya.

Kita sebenarnya terlalu ‘syok sendiri’ dengan mendabik dada mangatakan bahawa kita boleh memartabatkan semula mutu bola sepak negara. Realitinya, kita tidak akan kemana selagi usaha ke arah itu masih lagi dibelengu oleh faktor-faktor seperti yang penulis nyatakan di atas. Namun setiap permasalahan ada jalan penyelesaiannya yang mana kita patut renung, congak dan fikirkan jalan yang terbaik untuk menyelesaikannya. Penulis mempunyai cadangan dan saranan secara peribadi bagaimana kita boleh mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negara seperti suatu ketika dahulu:-

1. Perubahan secara menyeluruh terhadap pengurusan badan induk bola sepak negara dengan mengambil mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang Sains Sukan yang mana di universiti-universiti tempatan telah ramai lulusan dalam bidang berkenaan tidak diberi ruang yang sepatutnya.
2. Pentadbiran di peringkat nasional khususnya Kementerian Belia dan Sukan perlulah dipimpin oleh mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang sukan bagi memudahkan dan melancarkan setiap pengurusan secara lebih terancang.
3. Pihak pengurusan di peringkat tertinggi sehinggalah yang terbawah perlu rajin dan bijak mencari lebih banyak peluang penajaan bagi membantu perjalanan pengurusan mereka dan seterusnya dapat mengelak daripada mengalami krisis kewangan misalnya.
4. Sistem jadual perlawanan yang agak ‘kelam-kabut’ perlu diperhalusi semula supaya ianya tidak mengalami pertindihan jadual di peringkat asia dan antarabangsa manakala badan induk sepatutnya merancang dengan lebih teliti setiap kemungkinan yang akan berlaku yang melibatkan perubahan jadual setiap perlawanan.
5. Mutu permainan rata-rata pemain yang agak tenggelam timbul perlu diberi perhatian sewajarnya oleh jurulatih supaya para pemain dapat mengekalkan prestasi mereka ditahap yang maksimum.
6. Penyertaan pasukan bertaraf kelab perlu dimansuhkan dan digantikan semula secara total dengan pasukan negeri kerana bola sepak negara kita masih belum mencapai tahap yang benar-benar ‘profesional’ bagi menarik minat serta sokongan kepada pasukan yang bertaraf kelab. Oleh kerana itulah perlawanan yang membabitkan pasukan kelab gagal menarik penonton ke stadium yang akhirnya menyebabkan berlaku krisis kewangan serius seperti yang kita ketahui sebelum ini.
7. FAM sepatutnya meneliti dengan penuh bijak setiap penambahan peraturan atau perkara-perkara lain yang berbangkit untuk mengelak daripada dilihat pincang oleh masyarakat umpamanya hukuman yang dijatuhkan kepada pasukan Kelantan berikutan diberi kemenangan percuma kepada pasukan KL PLUS tempoh hari dan akhirnya keputusan tersebut ditarik semula.
8. Terapkan nilai patriotisme yang mendalam kepada seluruh masyarakat kita tentang pripentingnya memartabatkan semula mutu bola sepak negara.

Kita sebenarnya semakin ditinggalkan dan telah ketinggalan terlalu jauh jika dibandingkan dengan kebanyakan negara kejiranan kita khususnya dalam menaikkan semula imej bola sepak negara. Sokongan semua pihak sangat perlu supaya usaha kearah memperbaiki segala kelemahan dapat dilakukan tanpa mengambil masa yang terlalu lama. Saranan penulis agar ‘sampah-sampah’ di dalam pengurusan bola sepak negara dapat dibersihkan serta-merta kerana selagi ‘sampah-sampah’ ini tidak dibuang, dikhuatiri satu masa nanti kita bakal menyaksikan perlawanan LIGA BOLA SEPAK CAP AYAM MALAYSIA.

1 comment:

asyiqeen FAR 09 said...

salam cikgu..
ni syiqeen..
cikgu,mcam mane dgan result final kami semua cikgu,
tolongla bgtahu sya.
saya tidak berada di muadzam selame sebulan.
jadi saya tidak dpt megetahui result saya melalui pos.
ckgu britahu sya ea.
amoy_comey18@yahoo.com

Powered By Blogger