Dreamstime

Royalty Free Images

Tuesday, 5 January 2010

HARGA GULA NAIK: KERAJAAN BAGI AMARAN PENIAGA NAIKKAN HARGA MAKANAN?


Belum lagi reda dengan isu minyak RON 95 yang boleh dikatakan bagi menutup mata berkaitan kenaikan harga minyak RON 97, ramai yang tidak mengetahui bahawa penggunaan RON 95 boleh menjejaskan kualiti enjin kereta dalam jangka masa panjang timbul pula isu penggunaan kad kredit dicaj dengan caj perkhidmatan tahunan iaitu sebanyak RM 50.00 setahun bermula tahun ini kononnya untuk mengurangkan penggunaan kad kredit oleh rakyat Malaysia. Kita diwar-warkan bahawa ekonomi negara berada pada tahap pemulihan yang baik tetapi dalam masa yang sama samada kita sedar atau pun tidak, terdapat usaha-usaha halus pihak kerajaan mengaburi mata rakyat dengan mengeluarkan kenyataan yang kadang-kala mengelirukan. Mengikut beberapa sumber yang boleh dipercayai, kerajaan kini berdepan dengan krisis kewangan yang sangat kritikal sehingga memaksa mereka melakukan tindakan drastik walau dengan apa cara sekalipun.

Tidak terhenti di situ, sekali lagi kita digempar dengan isu kenaikan harga gula sebanyak 20 sen. Kenaikan harga gula tersebut kononnya adalah bertujuan bagi mengurangkan penghidap diabetes di negara kita. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, orang ramai mesti menggunakan kuasa mereka untuk menentukan harga barangan dengan memulaukan kedai atau restoran yang menaikkan harga sesuka hati. Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan, harga makanan dan minuman tidak sepatutnya dinaikkan seiring dengan peningkatan harga gula sebanyak 20 sen di pasaran tempatan. Kedua2 kenyataan di atas dipetik daripada Akhbar Utusan Malaysia (5/1/2010).

Beginilah setiap kali berlaku kenaikan harga sesuatu barang maka kerajaan akan mengeluarkan kenyataan susulan yang jelas tidak menampakkan keadaan 'win-win situation'. Tidakkah dengan kenaikan gula misalnya akan menyebabkan kos untuk mengeluarkan makanan umpamanya akan meningkat? Sebagai contoh, kos bagi membuat kuih donat sebelum ini bersamaan dengan 1kg gula=50 biji kuih donat dalam lingkungan harga gula pada masa itu RM 1.45. Selepas kenaikan harga gula maka kos untuk membuat kuih donat dalam kuantiti yang sama sudah pasti akan meningkat. Keadaan ini seterusnya akan memberi kesan kepada peniaga donat yang memungkinkan mereka menaikkan harga jualan donat mereka untuk tidak menjejaskan kos-kos perbelanjaan lain seperti sewa premis atau apa sahaja kos lain yang terlibat. Itu merupakan contoh kecil sahaja. Bagaimana pula sekiranya keadaan tersebut melibatkan kilang-kilang besar dan sudah pasti dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu boleh memberi kesan yang sangat besar kepada mereka.

Sangat senang untuk kita mengeluarkan kenyataan kepada masyarakat dengan saranan boikot dan sebagainya. Pernahkah kita terfikir bahawa kebergantungan masyarakat kita terhadap penggunaan gula tidak boleh dinyahkan begitu sahaja. Boleh dikatakan hampir keseluruhan makanan dan minuman kita memerlukan gula. Pak-pak menteri mungkin tidak perlu risau dengan kenaikan harga gula kerana mereka semua bergaji besar dan makanan pula disajikan mengikut citarasa mereka dalam majlis-majlis meriah anjuran puak-puak mereka. Bagaimana dengan nasib rakyat bawahan? Bagaimana dengan nasib peniaga dan penjaja kecil-kecilan di tepi jalan yang sentiasa dikacau oleh 'geng-geng' dewan bandaraya sial? Penulis pasti ramai diantara mereka yang mengeluh panjang merenung nasib yang tidak pernah menyebelahi mereka setiap kali berlaku pertukaran perdana menteri.

Kita sebenarnya bukannya buta tetapi kita sering kali dibutakan oleh pak-pak menteri kita sendiri. Kita sebenarnya bukan tidak tahu setiap apa yang berlaku tetapi kita sering kali dipujuk dengan kata-kata manis habuan palsu. Kita tahu bahawa kita ditindas tetapi kita merelakan diri kita sentiasa ditindas. Akhirnya kita hanya sekadar menumpang bangga dengan ketinggian bangunan KLCC, kemegahan Masjid Putrajaya dan berbagai lagi sedang kita terus berada dalam dunia sendiri yang penuh dengan fantasi sambil menjual suara lunak kita 'nasi lemak! nasik lemak! satu seringgit! satu seringgit!' Esoknya gerai kita diroboh...

No comments:

Powered By Blogger