Kecoh satu dunia dek kerana Perhimpunan Bersih 2.0 (PB 2.0) yang akan diadakan pada 9 Julai ini. Nama Dato' Ambiga tidak semena-mena menjadi begitu popular dan digeruni sehingga ada yang mengugut untuk membunuh beliau. Apa yang pasti, pengahantar sms ugutan bunuh terhadap Dato' Ambiga sudah tentu berperwatakan bacul dan pengecut kerana tidak berani ke depan menonjolkan diri bertanggungjawab berkaitan sms yang tidak bertanggungjawab itu. Tak usahlah penulis mengulas panjang lebar mengenai perkara itu kerana ianya masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Penulis sangat yakin bahawa tidak ramai yang mengetahui apa itu PB 2.0 dan mengapa ia bersungguh-sungguh mahu dianjurkan oleh NGO-NGO dan juga beberapa parti politik. Perhimpunan tersebut bukan hanya sekadar demonstrasi semata-mata tetapi ianya lebih kepada tuntutan kepada beberapa pihak supaya pilihanraya ke-13 yang akan diadakan nanti dijalankan mengikut keadilan yang sebenar-benar. Media arus perdana yang dikuasai kerajaan tidak pernah menyiarkan tuntutan yang dimahukan oleh sebilangan besar rakyat.
Persoalannya adakah pilihanraya yang telah berlalu sebelum ini tidak adil? Jika benar tidak adil, bagaimana pula pembangkang dapat menguasai 5 negeri dalam pilihanraya lepas? Telahan itu ada juga benarnya. Walau apa pun, dalam artikel kali ini, penulis senaraikan tuntutan BERSIH 2.0 yang mungkin kita boleh sama-sama fikirkan samada tuntutan tersebut relevan atau sebaliknya.
1.0 Bersihkan senarai undi
1.1 Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.
1.2 Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.
2.0 Mereformasikan undi pos
2.1 SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.
2.2 Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.
2.3 Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.
3.0 Gunakan dakwat kekal
3.1 Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.
4.0 Masa kempen minima 21 hari
4.1 Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.
4.2 Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.
5.0 Akses media yang bebas dan adil
5.1 RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.
5.2 Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.
5.3 Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.
6.0 Kukuhkan institusi awam
6.1 Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya : Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.
6.2 Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.
6.3 Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.
6.4 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.
6.5 Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
7.0 Hentikan rasuah
7.1 Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.
7.2 Pembelian undi harus dihentikan!
7.3 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.
8.0 Hentikan politik kotor
8.1 BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.
No comments:
Post a Comment