Menutup aurat merupakan tuntutan agama yang sudahpun diketahui umum khususnya masyarakat yang mengaku dirinya Islam. Tuntutan menutup aurat telah pun termaktub berdasarkan dalil-dalil di dalam Al-Quran, Hadith dan juga melalui kesepakatan ulama. Akan tetapi masih ramai lagi golongan manusia yang sombong, bongkak serta tidak merasa gentar dengan azab yang Allah janjikan kepada sesiapa yang engkar setiap suruhanNya. Golongan ini bolehlah ditakrifkan sebagai golongan yang berani menentang Allah!
Apa yang menyedihkan ialah cara atau tren berpakaian masyarakat Islam kini khususnya golongan wanita, tidak menepati dengan apa yang digariskan oleh syara‘. Pakaian yang mereka pakai bukan untuk menutup aurat, sebaliknya hanya sebagai tempelan perhiasan semata-mata agar dipandang cantik dan bergaya. Lebih mengecewakan lagi, anggapan sesetengah individu bahawa memadai apabila dia memakai tudung sahaja, maka sudah bermakna dia menutup aurat. Sedangkan pakaian yang dipakai nyata masih tidak menepati tuntutan menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, seperti memakai seluar yang ketat atau pakaian pendek, nipis (jarang) dan kain berbelah, sama ada mereka sedari ataupun tidak bahawa pakaian yang mereka pakai itu adalah mengghairahkan. Bahkan cara bertudung pun masih menampakkan anggota aurat yang wajib ditutup atau disembunyikan.
Bila ditegur kenapa tidak menutup aurat? Jawapan bersahaja dan sinis akan terpacul bagi mereka yang kurang berpegang kepada akhidah yang sebenar-benar menurut Islam. Ada juga dikalangan manusia 'sial' yang akan mengatakan bahawa 'apa yang penting adalah perkara di dalam iaitu hati dan bukannya perkara yang dilihat secara luaran'. Ini menunjukkan bahawa didikan awal ke arah pemahaman di dalam tuntutan agama tidak mencapai tahap yang sepatutnya. Jika benar hati itu bersih mana mungkin mereka berani melanggar perintah Allah!
Maksud Hadith:
“Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).” (Hadits riwayat Muslim)
Ada sesetengah wanita yang sentiasa membandingkan sesuatu perkara dengan saudara, rakan serta orang lain. Sebagai contoh, mereka yang tidak bertudung akan membandingkan dengan mereka yang bertudung tetapi melakukan maksiat. Salahkah perbandingan itu? Jawapannya adalah YA, perbandingan itu adalah perbandingan yang 100% salah! Kenapa? Kerana kita sebagai manusia yang juga Umat Muhammad dan lebih hebat lagi mengaku bahawa diri kita Islam tidak boleh sesekali membandingkan sesuatu perkara berdasarkan akhlak manusia semata-mata seterusnya membuat kesimpulan yang memihak kepada kita. Manusia dan Islam adalah dua perkara yang sangat jauh perbezaannya. Manusia ialah makhluk manakala Islam itu Agama, Addin iaitu anutan oleh manusia.
No comments:
Post a Comment