Dreamstime

Royalty Free Images

Tuesday, 17 June 2008

KENAIKAN HARGA MINYAK…PAK MENTERI KITA YANG TIDAK KONSISTEN


Tidakkah kita merasa hairan tiga orang menteri termasuk orang nombor satu dan dua Negara kita memberi kenyataan yang berbeza mengenai kenaikan harga minyak ini. Yang pertama, TPM kita yang menegaskan bahawa minyak tidak akan dinaikkan dalam masa terdekat selepas pilihanraya. Itu takpalah sebab masa tu harga minyak dunia masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda kenaikan. Kedua, Menteri Dalam Negeri dan HEP mengatakan bahawa, harga minyak hanya akan dinaikkan kemungkinan dalam bulan Ogos 2008. Maka rakyat pun masih lagi boleh menarik nafas lega kerana masih lagi boleh bersiap-sedia walaupun sekian banyak antara kita mula merasa gundah-gulana dek perkhabaran yang bakal menggugat kantong duit mereka selepas minyak dinaikkan.

Selepas perang khabar angin bertiup kencang dan pelbagai jangkaan karut dilakukan, ternyata semuanya indah khabar dari rupa. Orang nombor satu Negara telah menggunakan kuasa veto yang ada pada beliau untuk menamatkan spekulasi berkaitan harga minyak ini. Maka, tanggal 4 Jun beliau bertitah bahawa harga minyak dinaikkan mengikut harga pasaran berkuatkuasa 5 Jun 2008. Harapan rakyat punah…yang miskin terus miskin. Yang kaya mungkin tidak begitu terasa dengan kenaikan ini.

Pelbagai saranan dilakukan agar rakyat menerima keputusan ini, rakyat harus bersabar, rakyat perlu terima hakikat…rakyat itu dan rakyat ini. Rakyat pun mula pening. Menggelabah pada malam sebelum penguatkuatkuasaan harga baru minyak bermula. Stesen minyak bagaikan seketul najis yang tidak putus-putus dihurungi oleh lalat-lalat! Aku? Aku pun sama terpaksa beratur panjang untuk penuhkan tangki minyak pada malam tu. Sedih aku tengok ramai masyarakat tak kira Melayu, Cina dan India sama-sama beratur panjang menantikan giliran untuk mengisi minyak. Memek muka mereka jelas membayangkan kekecewaan yang maha dasyat…tapi apa boleh buat…kerana ‘tangan yang yang memangkah, padah kepada diri-sendiri’ Duit belanja bulan ni terpaksa dikurangkan semata-semata untuk penuhkan tangki minyak motor, kereta, lori dan lain2.

Yang aku marah sangat, kenapa dalam hal kenaikan harga minyak ni kenyataan Pak Menteri kita tidak konsisten dan keputusan dilakukan secara tiba-tiba. Rakyat terus terbangun, tersentak dengan keputusan yang terlalu drastik. Kenapa tidak diberi kenyataan supaya rakyat bersiap-sedia terlebih dahulu. Jangan cuba nak memperbodohkan rakyat dengan kempen jimat-cermat! Kalau yang mempunyai pendapatan tetap, boleh la berjimat-cermat, merancang perbelanjaan harian, bulanan dan sebagainya. Tapi bagaimana dengan mereka yang hanya bergantung kepada pendapatan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?

Pak Menteri kita senang untuk mengatakan kita harus berjimat-jimat, senang untuk menyuruh rakyat jangan membazir, senang untuk kata itu, kata ini. Jangan pulak kita nak salahkan rakyat sebab tak nak usaha untuk majukan diri! Jangan pulak salahkan rakyat sebab tak boleh berjimat cermat! Jangan macam-macam! Nak berjimat macamana lagi kalau semua barang naik harga? Nak berjimat macamana lagi kalau harga itu dan harga ini melambung tinggi? Pak Menteri kita takpa la, makan pun ditanggung! Melancong pun ditanggung! Apa-apa pun semua ditanggung!
Tak guna langsung ada barisan Pak Menteri yang tidak konsisten! Tak guna satu sen pun ada Pak Menteri yang membelakangkan kebajikan rakyat! Sekurang-kurangnya, bagilah siren awal sekiranya berlaku sesuatu yang diluar kawalan…jangan ikutkan sangat kuasa yang ada. Sekelip mata saja Tuhan boleh mengubah kedudukan barisan Pak Menteri yang paling tinggi menjadi orang yang paling hina dan terkebawah sekali. Ambillah iktibar daripada kisah 5 Menteri Besar yang bercakap seoalah-olah bumi ini mereka yang punya dan akhirnya menyebabkan mereka tersungkur dan dimalukan oleh tangan-tangan pengundi yang mengundi pada pilihanraya yang lalu. Aku ingat lagi salah seorang mantan menteri besar di sebuah negeri yang kaya raya. Antara kenyataan jahat yang dikeluarkan oleh beliau adalah ‘Orang Kelantan yang ada di Selangor lah yang meningkatkan graf kemiskinan tegar di negeri yang diperintah beliau pada ketika itu’. Satu lagi kenyataan yang akhirnya memakan diri beliau sendiri adalah ‘kita akan memastikan negeri Selangor sifar pembangkang’. Sekarang apa dah jadi?

Tak payahlah aku nak komen panjang-panjang lagi. Kita sebagai rakyat, berfikirlah secara matang…mulai dari saat ini, kita nilailah setiap pemimpin yang ada samada mereka benar-benar boleh memperjuangkan dan menjaga kebajikan rakyat atau pun mereka ini sekadar menjadikan kuasa yang ada pada mereka sebagai landasan hanya untuk kesenangan mereka dan suku-sakat mereka sahaja. Akhir kata…jadilah masyarakat yang sentiasa peka terhadap setiap apa yang berlaku dalam Negara yang kita cintai ini dan janganlah kita hanya sentiasa bersikap ‘tak kisah’ yang akhirnya nanti akan menyebabkan kita menjadi golongan yang akan sentiasa ditindas tanpa kita sedari.

No comments:

Powered By Blogger