Dreamstime

Royalty Free Images

Sunday, 7 September 2008

PILIHANRAYA KAMPUS: BUDAYA UGUT-MENGUGUT BERMULA



Sudah pasti kita masih belum melupai episod pilihanraya kecil Permatang Pauh yang telah mengundang pelbagai senario, omongan serta persepsi samada sebelum,semasa dan selepas ianya berlangsung. Tidak terhenti di situ sahaja, spekulasi mengenai perubahan yang besar dalam negara yang bakal berlaku pada 16 September masih lagi menghantui setiap kotak fikiran rakyat Malaysia yang berada dalam keadaan yang penuh dengan seribu persoalan. Apakah benar atau sebaliknya apa yang dikatakan kerajaan baru akan ditubuhkan pada tarikh tersebut sama-samalah kita nantikan saat dan tikanya nanti. Yang pasti, walau apa pun yang berlaku, kita sebagai rakyat terbanyak perlulah menggunakan rasional akal fikiran kita untuk tidak terlalu menjadikan persoalan tersebut sebagai satu tekanan yang seterusnya akan mengganggu kehidupan normal seharian kita.


Di dalam kita membicarakan tentang politik negara, kita sebenarnya akan berhadapan dengan satu lagi episod pilihanraya yang tidak kurang hangatnya iaitu pilihanraya kampus. Apa yang berbeza di antara pilihanraya negara dan pilihanraya kampus adalah dari segi populasinya yang mana hanya golongan mahasiswa sahaja yang terlibat tetapi soal mengenai adanya campurtangan politik luar merupakan satu persoalan lain yang sedikit-sebanyak ‘menghangatkan’ suasana politik kampus itu sendiri.


Namun kebanyakan masyarakat kita pada hari ini khususnya mereka yang tidak pernah merasai kehidupan di universiti, langsung tidak tahu-menahu tentang selok-belok mengenai sejauh mana perkembangan dan perjalanan politik kampus itu. Dalam ruangan pada kali ini, penulis akan membincangkan dan mendedahkan kepada umum mengenai ‘kebobrokan’ yang telah lama berlaku yang juga secara langsung telah merosakkan pemikiran mahasiswa akhibat daripada campurtangan jahat serta kerakusan kuasa pihak-pihak tertentu. Antara sedar dan tidak, mahasiswa kita pada kini telah mengalami satu sindrom ‘takut’ yang keterlaluan dan juga sindrom ‘tak kisah’ terhadap apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka. Sebab itu tidak hairanlah mengapa pada hari ini kita semakin ketandusan ‘wira’ bijak-pandai di kalangan mahasiswa yang benar-benar boleh mewarisi tampok pemerintahan negara kelak. Penulis sendiri selaku ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di sebuah universiti IPTA untuk dua penggal berturut-turut telah melalui pelbagai pengalaman pahit-manis sepanjang bergelar MPP.

Persoalannya, benarkah wujudnya budaya ugut-mengugut dalam politik kampus? Jika benar mengapa dan bagaimanakah ianya berlaku? Secara zahirnya masyarakat di luar sana tidak nampak kemaslahatan dan kecacatan yang berlaku menjelang pilihanraya kampus. Sebab itu, tanggapan mengenai pilihanraya kampus hanya merupakan satu pilihanraya biasa dan hanya sekadar pilihanraya bagi memilih pemimpin pelajar adalah satu tanggapan yang kurang tepat memandangkan situasi sebenar yang berlaku menunjukkan sebaliknya. Komplot daripada pihak-pihak tertentu dalam universiti yang mewujudkan budaya ugut-mengugut sememangnya telah lama berlaku tanpa mahasiswa itu sedari.


Sebagai contoh, menjelang pilihanraya kampus nanti, para pelajar khususnya yang tinggal di kolej-kolej kediaman akan diberi taklimat khas oleh pengetua kolej kediaman berkenaan yang mana taklimat tersebut akan menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan pilihanraya kampus. Para mahasiswa akan didedahkan mengenai peri-pentingnya menyokong dan seterusnya mengundi calon-calon Pro-aspirasi (Pro-kerajaan) sebagai syarat atau merit untuk mereka boleh dan terus tinggal serta menetap di kolej kediaman tanpa ada sebarang sekatan. Walau pun taklimat yang seakan-akan berbentuk ‘arahan’ itu disampaikan dengan cara yang agak sopan, namun apa yang tersirat disebaliknya jelas memperlihatkan bahawa unsur-unsur ugutan dan pencabulan terhadap demokrasi kampus sememangnya wujud.


Sikap ‘double standard’ yang ditunjukkan oleh pihak atasan universiti telah menyebabkan ketidakpuashatian sebahagian mahasiswa yang mempunyai ideologi yang sedikit berlainan daripada apa yang dikehendaki mengikut acuan orang atasan universiti. Dapat juga disimpulkan bahawa, campurtangan politik luar dan juga perbedaan fahaman politik yang berasaskan kepartian memungkinkan budaya ugut-mengugut, budaya menakut-nakutkan serta pelbagai budaya ‘kurang waras’ yang lain terus menular dan berlegar di seluruh institusi yang terbabit.


Budaya ugutan dan budaya menanam rasa takut di kalangan mahasiswa biasanya lebih menjurus kepada mahasiswa yang baru melangkah ke alam universiti. Ini kerana rata-rata mahasiswa yang baru hendak mengenali dunia kampus tidak begitu memahami erti sebenar politik kampus. Mereka dijadikan sasaran awal oleh pihak-pihak yang berkepentingan bagi merealisasikan apa yang dikehendaki oleh atasan universiti. Kenyataan ini bukanlah satu tuduhan liar atau fitnah sama sekali tetapi ianya lebih kepada satu kenyataan yang ikhlas dan penuh rasa tanggungjawab oleh penulis bagi menyedarkan pihak-pihak yang terlibat untuk menghentikan segala bentuk pencabulan terhadap demokrasi kampus yang nyata sekali telah merosakkan institusi ilmu itu sendiri. Lebih memburukkan keadaan lagi, daya kretiviti berfikir mahasiswa akan mengalami satu krisis yang amat parah apabila pemikiran mereka terus disekat yang mana ianya akan mengakhibatkan kepupusan generasi mahasiswa berkualiti kelas pertama yang seterusnya akan menyebabkan negara kita berhadapan dengan satu krisis kepimpinan yang serius jika perkara ini tidak dibendung dengan sewajarnya.


Atas dasar apa sekali pun, politik kampus tidak seharusnya terus-menerus dicemari dengan propaganda jahat akhibat daripada kerakusan kuasa pihak-pihak tertentu. Politik kampus mestilah dibiarkan berdiri di atas landasan yang bersih bagi menjamin ketelusan yang berpanjangan. Ini kerana, politik kampus merupakan pentas percubaan bagi golongan mahasiswa untuk membiasakan diri ‘berpolitik’ sebelum mereka melangkah ke alam realiti politik yang sebenar. Melalui penglibatan politik mereka secara aktif dan bersih semasa berada di kampus setidak-tidaknya akan melahirkan ‘saf-saf’ pemimpin ‘intelektual’ yang berwibawa untuk mengemudi tampok kepimpinan negara kelak.


Oleh itu, budaya negatif seperti ugutan, sekatan, serta budaya menakut-nakutkan mahasiswa hendaklah diketepikan sejauh-jauhnya. Campurtangan politik luar perlulah mengikut lunas-lunas demokrasi yang baik dan bukan disebabkan perbedaan fahaman politik serta kepentingan-kepentingan pihak tertentu. Sekiranya kita berjaya mengubah situasi yang ada sekarang kepada situasi yang lebih baik, mungkin suatu hari nanti kita akan mengucapkan ‘selamat tinggal kepada era mahasiswa yang berfikiran bebal’.

2 comments:

mohad said...

salam... apa khabar...

Anonymous said...

salam..camne results pilihanraya??menang lg ke utk tahun 2008/2009??

Powered By Blogger