Dreamstime

Royalty Free Images

Saturday, 1 November 2008

MASALAH KETIADAAN AIR DI UNIVERSITI MALAYA


Baru-baru ini penulis sempat bertemu dan melawat kawan-kawan yang masih lagi belajar di Universiti Malaya. Setelah tamat belajar kira-kira 2 bulan yang lalu inilah kali pertama penulis menjejakkan kaki ke Universiti Malaya. Saya melawat beberapa orang kawan yang masih lagi menginap di Kolej Kediaman Ke-5. Penulis juga sempat bertanyakan mengenai perkembangan terkini di kampus. Penulis merasa amat terkejut kerana rata-rata antara mereka merungut mengenai masalah ketiadaan air yang telah sekian lama tidak 'selesai-selesai'.

Penulis menjangkakan masalah air di kampus UM telah pun selesai kerana pada ketika penulis masih lagi bergelar ahli MPP perkara tersebut telah pun diadukan kepada pihak atasan universiti dan juga beberapa orang dikalangan MPP telah pun membuat tindakan susulan selepas itu. Ditambah pula Menteri Pengajian Tinggi pada ketika itu telah pun berjanji akan melakukan sesuatu bagi menangani masalah tersebut yang telah sekian lama membelenggu pelajar-pelajar terlibat. Ini kerana masalah ketiadaan air bukan sahaja berlaku di Kolej ke-5 sahaja tetapi beberapa kolej lain juga menghadapi masalah yang sama malah ada kolej yang pernah mengalami masalah ini sehingga berminggu-minggu lamanya.

Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku memandangkan kampus UM terletak ditengah-tengah bandar. Apa dan kenapa masalah tersebut tidak dapat diselesaikan sehingga ke hari ini tidak pula penulis ketahui. Amat menghairankan kerana projek-projek pembangunan serta kenaikan taraf begitu 'galak' dijalankan di sekitar kampus UM namun masalah yang menghantui pelajar seolah-olah dipandang remeh oleh pihak universiti. Sebahagian pelajar yang terlibat dengan masalah ini hanyalah terpaksa merelakan masalah tersebut terus menghantui mereka serta bertindak membiasakan diri dengan keadaan sedemikian.

Penulis juga menerima rungutan mengenai presiden-presiden kolej yang tidak pernah menyuarakan perkara tersebut kepada pihak atasan kolej. Mereka hanya tahu menghadiri mesyuarat-mesyuarat mengenai projek-projek kolej dan 'berlagak' seolah-olah mereka ini setaraf dengan pihak atasan kolej.

Sekiranya perkara ini terus dibiarkan berlarutan, dibimbangi suatu hari nanti UM akan menerima pelbagai implikasi dan tanggapan negatif daripada masyarakat luar. Oleh itu penulis berharap agar pihak atasan universiti sekali lagi mengambil perhatian secara serius mengenai masalah ketiadaan air ini agar para pelajar dapat menginap dengan selesa yang mana mereka telah pun terbeban dengan kos penempatan yang begitu tinggi untuk meneruskan pengajian mereka di sebuah menara gading yang bernama Universiti Malaya.

1 comment:

Anonymous said...

Mujur la saudara dah tak duduk di Kolej, senang sikit saudara nak main air. Masih banyak lagi paip air yang sumbat, secara akademiknya paip-paip ini harus dikaji aliran, tekanan, keperluan diadakan tangki yang lebih besar dan seharusnya menggantikan mana-mana yang bocor.

Powered By Blogger