Dreamstime

Royalty Free Images

Sunday, 23 November 2008

SUKAN UNIVERSITI ASIAN: BENARKAH BERLAKU PENIPUAN PEMILIHAN ATLET?


Kira-kira awal Disember nanti sukan antara universiti di asia (Sukan Universiti Asean) akan berlangsung di ibu kota. Sukan tersebut bakal menyaksikan penyertaan daripada universiti-universiti yang mewakili negara di sekitar asia seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan lain-lain lagi. Serentak dengan penganjuran tersebut, pelbagai program serta perancangan jadual telah dirangka oleh Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan beberapa organisasi terlibat bagi menjayakan temasya sukan itu nanti. Entah kenapa temasya sukan yang tidak kurang hebatnya itu agak 'sepi' daripada publisiti malah promosi mengenainya juga seolah-olah tiada.

MASUM yang dibantu oleh beberapa badan sukan daripada universiti-universiti telah lama memulakan sesi pemilihan pemain bagi mengenalpasti serta memilih pemain untuk mewakili Universiti Malaysia. Saya juga difahamkan peruntukan yang agak besar telah dilaburkan pada temasya sukan antara universiti kali ini kerana setiap pasukan diberikan 'peruntukan khas untuk ke luar negara' sebagai ganjaran bagi mereka yang terpilih mewakili sukan masing-masing. Namun peruntukan ke luar itu samada untuk menjalankan latihan atau hanya sekadar lawatan 'makan angin' tidak pula diketahui.

Benarkah berlakunya penipuan pemilihan atlet? Satu persoalan yang perlu sama-sama kita rungkaikan bagi mencari kepastiannya dan apakah pula penipuan tersebut? Menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, sesi pemilihan atlet telah lama dilakukan. Walau bagaimanapun sesi pemilihan tersebut hanyalah sebagai syarat awal sahaja bagi menampakkan pihak MASUM benar-benar menjalankan tanggungjawab mereka. Apa yang mengejutkan, peruntukan besar yang diberikan dilihat seolah-olah dibelanjakan secara membazir kerana setiap kali sesi pemilihan pemain diadakan, peserta diberikan elaun sepanjang pemilihan tersebut diadakan.

Berdasarkan maklumat yang diberitahu kepada saya, pihak MASUM terpaksa mencari atlet-atlet yang 'berstatus atlet negara' bagi mengisi barisan atlet yang bakal menyertai temasya sukan itu nanti. Apa yang mengelirukan rata-rata atlet negara yang diserapkan di dalam skuad yang mewakili Universiti Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang bukan pelajar universiti malah ada juga dikalangan mereka yang belum pun mencapai tahap umur untuk memasuki universiti. Pihak MASUM terpaksa menggunakan 'taktik kotor' dengan mendaftarkan mereka sebagai pelajar universiti dan seterusnya bagi membolehkan mereka mewakili Universiti Malaysia. Alasan mereka adalah kerana ingin menjaga nama baik negara. Jika perkara sedemikian benar-benar berlaku, maka dapatlah kita simpulkan bahawa kita telah 'mengalah sebelum kita kalah'. Dan sekiranya kita menang pun, maka kita tidaklah boleh mendabik dada mengatakan bahawa atlet universiti negara kita adalah atlet universiti yang hebat.

Saya tidak bertujuan menuduh atau pun mengeluarkan kenyataan yang bersifat pasif serta menjatuhkan maruah negara. Ianya lebih kepada satu persoalan yang saya sendiri tidak mengethui kesahihannya. Namun pihak MASUM khususnya, perlulah memberikan penjelasan yang sewajarnya mengenai persoalan ini untuk menerangkan keadaan yang sebenar. Ini kerana rata-rata atlet yang pernah mewakili universiti mengetahui sedikit-sebanyak perihal 'kebobrokan' yang berlaku dalam 'dunia sukan di universiti'.

Pada hakikatnya kita tidak perlu takut dengan 'bayang-bayang' sendiri seperti seekor anjing. Kita tidak perlu merendahkan 'martabat' atlet yang benar-benar berdarah 'pelajar universiti' dan kita perlu berjuang dengan ikhlas walaupun kuderat kita terbatas. Sukan itu sendiri bukan bertujuan untuk menang semata-mata tetapi ianya melebihi daripada itu iaitu demi menjalinkan persahabatan yang sentiasa erat dikalangan warga universiti negara kita dengan warga universiti di seluruh pelosok dunia.

No comments:

Powered By Blogger