Dreamstime

Royalty Free Images

Wednesday, 10 December 2008

PENJAGA GOL MALAYSIA BODOH?


Tidak menghairankan kita apabila kritikan demi kritikan terus-menerus dilemparkan ke atas penjaga gol negara yang dikatakan hampir meranapkan impian malaysia melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki. Apa yang menyedihkan, kritikan-kritikan yang dilemparkan itu lebih kepada kritikan 'menghina' dan bukan kritikan 'membina'. Bagi penulis, kritikan berupa penghinaan adalah kritikan yang datang daripada golongan yang 'bebal' dengan ilmu-ilmu berkaitan sukan. Baik daripada pemerhati sukan tanah air, peminat-peminat bola sepak itu sendiri bahkan kolumnis-kolumnis dalam akhbar yang secara terang-terangan 'menelanjangkan' maruah penjaga gol kebangsaan itu yang pernah dikagumi satu ketika dahulu.

Penulis tertarik dengan artikel dalam akhbar Harian Metro oleh Sufian Thauri Muhammed (9/12/08 hlmn belakang) dengan tajuk 'Perabis Beras Aje!'. Petikan artikel tersebut adalah 'B. sathianathan menyifatkan Mohd Helmi Eliza Elias sebagai yang terbaik di Malaysia tetapi boleh percayakah kata-kata jurulatih skuad negara itu? apa yang jelas, penjaga gol itu paling bodoh di Malaysia ketika memberikan gol percuma dan kemenangan 3-2 Vietnam, sekaligus menjejaskan peluang ke separuh akhir Piala AFF suzuki, semalam.'


Apa yang menjadi persoalan penulis, apakah seorang penulis akhbar berhak melabelkan perkataan 'bodoh' terhadap seorang pemain hanya kerana beliau telah melakukan kesilapan yang tidak disengajakan dan dalam masa yang sama seolah-olah penulis tersebut membelakangkan jurulatih pasukan kebangsaan itu sendiri? Terlalu drastik untuk kita terus menghukum seseorang itu tanpa mengetahui punca sebenar ianya berlaku. Bukan masanya untuk kita menyalahkan beliau dalam situasi yang beliau sendiri tidak jangka. Dengan melabelkan seseorang itu sebagai 'bodoh' dan sebagainya adalah sesuatu yang amat mudah untuk diluahkan oleh seseorang yang bertindak mengikut emosi. Namun untuk menjadi seorang penulis yang memiliki kewibawaan yang tinggi, mereka tidak seharusnya mengeluarkan penulisan yang menampakkan sikap 'emotional' dan 'ketidakadilan' di dalam penulisan mereka. Ini kerana ianya sedikit-sebanyak akan memberikan impak yang negatif terhadap pemain itu sendiri dan secara relatifnya akan membawa kepada satu 'persepsi negatif' oleh masyarakat luar khususnya bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan semasa bola sepak negara. Tidak terhenti disitu, dibimbangi keadaan ini akan mengeruhkan lagi suasana yang sedia ada.

Kita baru sahaja ingin memulakan langkah baru bagi melakukan 'revolusi' ke arah mengangkat semula martabat bola sepak negara yang telah sekian lama dirundung 'virus hambar'. Usaha tersebut bukan hanya memerlukan satu pasukan yang memiliki pengurus, jurulatih dan pemain sahaja bahkan ianya memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuklah masyarakat, peminat serta pemerhati-pemerhati sukan bola sepak tanah air. Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab kita semua! Jangan hanya kerana sedikit kesilapan yang dilakukan itu, kita secara 'mendabik dada' terus membuat keputusan mengatakan orang itu salah, orang ini bodoh dan sebagainya tanpa berlandaskan ilmu-ilmu atau hujah-hujah bagi menyokong apa yang kita perkatakan itu.

Pada pandangan penulis, kekurangan pendedahan mengenai ilmu 'psikologi sukan' merupakan antara faktor yang mendorong ke arah seseorang itu dengan mudah untuk membuat persepsi dan seterusnya 'menjatuhkan hukuman' terhadap orang lain dengan cara yang agak keterlaluan tanpa memikirkan kesan terhadap orang yang dikritik itu serta juga penerimaan daripada segenap pencinta bola sepak negara. Sejauh mana ilmu yang dimiliki oleh penulis Harian Metro (Sufian Thauri Muhammed) itu tidak pula diketahui. Melalui komen beliau, ianya menampakkan beliau seperti seorang yang mudah melatah dan terlalu didorongi dengan sikap 'emosional' yang tinggi. Sikap seperti inilah yang akan meranapkan impian bola sepak negara sekiranya tidak ada pihak yang 'menyedarkan' beliau.

Bagi penulis terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya situasi yang menyebabkan Helmi melakukan kesilapan tersebut,:
1) Tekanan daripada penonton/penyokong.
2) Tekanan daripada rakan-sepasukan setelah beliau melepaskan gol mudah (gol pertama).
3) Tekanan daripada jurulatih.
4) Kekeliruan mengenai posisi kedudukan (Mazlan Wahid mendedahkan mengenai kedudukan posisi yang baru (Metro 9/12/08 hlmn 43).
5) Faktor padang pada ketika itu yang kemungkinan menyebabkan lantunan bola menjadi terlalu kuat dan berlaku keadaan diluar jangkaan penjaga gol tersebut.
6) Kebimbangan yang terlalu tinggi yang mengakhibatkan penjaga gol tersebut hilang tumpuan.

Faktor-faktor yang dinyatakan di atas boleh berlaku kepada sesiapa sahaja bahkan kepada mereka yang bergelar pemain bertaraf 'profesional' sekali pun. Sila rujuk Goalkeeping Nightmares: (http://www.youtube.com/watch?v=HyG7iMyz7Rg).

Oleh sebab itu bagi penulis, kita tidak seharusnya terlalu mengikut emosi apabila berdepan dengan situasi yang agak sukar untuk diterima. Kita perlu berfikir secara bijak apakah punca sebenar ianya berlaku, mengapa ianya boleh berlaku dan bagaimana untuk mengelakkan perkara yang sama daripada berulang kembali. Kesemuanya itu bergantung kepada kebijaksanaan semua pihak untuk sama-sama melakukan pemerhatian secara serius, membuat kajian secara menyeluruh, merangka perancangan yang rapi, mengambil tindakan yang tepat dan akhirnya akan 'membuahkan' keputusan yang positif yang mungkin bakal merubah 'senario' bola sepak negara. Pemantapan ilmu-ilmu berkaitan sukan seperti sains sukan, psikologi sukan dan sebagainya adalah amat perlu supaya dengan adanya pengetahuan berkaitan ilmu-ilmu tersebut sekurang-kurangnya seseorang itu akan lebih memahami pengertian yang sebenar tentang sukan dan tidak hanya mengharapkan atau menginginkan 'kemenangan' semata-mata. Kemenangan itu hanyalah merupakan kemegahan semata-mata. Apa yang lebih penting adalah maruah kerana maruahlah yang menjadi benteng terakhir peribadi seseorang itu. Jangan sesekali kita cuba 'memperkosa' maruah orang lain hanya kerana ianya tidak memuaskan kehendak 'serakah' kita. Sama-samalah kita fikirkan...

2 comments:

Namie said...

steady arr bro.. caya sama lu..

Hilmi Bin Ahmad @ Ayub said...

time kasih bro..

Powered By Blogger