Penulis sangat terkejut apabila membaca satu artikel dalam Akhbar Harian Metro (28/3/09) di bawah tajuk 'Genting Berhad sumbang RM1j' kepada Fakulti Perniagaan dan Akaun, Universiti Malaya (UM) menerusi pembiayaan biasiswa penyelidikan dan program pendidikan yang dijalankan. Pengerusinya iaitu Tun Mohammed Hanif Omar dilaporkan sebagai berkata, mendiang Lim ketika hayatnya dikenali seorang banyak menabur bakti, sering memberi sumbangan kepada masyarakat selain mengharumkan nama Malaysia sebagai tokoh perniagaan yang harus dicontohi.
Persoalannya kemanakah dan kepada siapakah biasiswa itu disalurkan? Kita sangat arif mengenai sumber kewangan yang diperolehi oleh Genting Berhad yang mana salah satu sumber itu adalah melalui hasil perjudian dan perniagaan berbentuk casino. Penulis amat khuatir dan merasa cukup bimbang sekiranya biasiswa itu diberikan kepada mahasiswa/i yang berbangsa melayu lebih-lebih lagi mereka yang beragama Islam. Ini kerana Islam sangat melarang umatnya menggunakan rezeki dari punca yang haram untuk melakukan kerja-kerja kebaikan ditambah pula kesemua mahasiswa/i merupakan golongan yang sedang menuntut ilmu. Penulis percaya bukan hanya Agama Islam yang menyuruh umatnya menggunakan rezeki daripada sumber yang halal bahkan agama lain juga menegah dalam perkara-perkara yang menyentuh soal punca rezeki dan sebagainya.
Penulis dengan penuh rasa tanggungjawab merasa terpanggil untuk memberi kesedaran kepada diri penulis serta seluruh masyarakat terutamanya mereka yang seagama dengan penulis iaitu Islam untuk menentang segala bentuk bantuan atau biasiswa yang secara terang-terangan kita ketahui bahawa puncanya adalah daripada sumber yang haram walau pun ianya boleh membantu mengurangkan beban kewangan kita. Ingatlah bahawa genggaman ilmu yang kita perolehi tidak akan diberkati di sisi Allah selagi hasil kewangan kita bukannya datang dari sumber yang benar-benar halal dan di redhaiNya.
No comments:
Post a Comment