Insiden rusuhan bola sepak ketika Pasukan Kelantan melawan Negeri Sembilan pada Sabtu (4/4/09) lalu mencetuskan satu lagi episod baru dunia bola sepak di negara kita. Persepsi pertama kebanyakan masyarakat akan mengatakan bahawa inilah wajah penyokong Kelantan yang terdiri daripada mereka yang 'gedebe', ganas dan sebagainya. Namun patutkah kita secara 'membabi-buta' mengatakan bahawa keseluruhan penyokong Kelantan itu bersikap sedemikian?
Penulis cuba menceritakan situasi sebenar yang berlaku di Kota Bharu berdasarkan maklumat yang diterima. Mengikut beberapa sumber yang penulis perolehi, kekecohan yang berlaku membabitkan anggota polis dan juga salah seorang penyokong ketika tamat perlawanan dan orang ramai mula beredar meninggalkan stadium. Semasa melalui pintu keluar, berlakulah sorakan, teriakan dan sindiran para penyokong yang kurang berpuas hati dengan kekalahan pasukan kesayangan mereka. Anggota polis yang kebetulan bertugas disitu mula naik berang berikutan sindiran oleh salah seorang penyokong lalu bertindak menampar penyokong tersebut. Difahamkan, mangsa yang ditampar itu berusia dalam lingkungan awal 20-an.
Oleh kerana ramai para penyokong yang melalui pintu keluar itu ternampak insiden tersebut maka berlakulah kekecohan sehingga mengakhibatkan pergaduhan tercetus antara beberapa orang anggota polis dan juga para penyokong. Tindakan anggota polis itulah yang menyebabkan bermulanya rusuhan sehingga mengakhibatkan keadaan semakin tidak terkawal dan membawa kepada suasana yang cukup tragis. Pergelutan yang berlaku itu memaksa pihak polis yang dibantu oleh skuad FRU mula menembak gas pemedih mata ke arah para penyokong dan mengakhibatkan berlaku kemalangan kepada salah seorang penyokong yang terkena serpihan peluru gas pemedih mata sehingga menjadi buta.
Pengurus KAFA, Anuar Musa meminta supaya insiden yang berlaku itu disiasat sedalam-dalamnya supaya keputusan yang adil dapat dicapai. Ditambah pula keputusan FAM telah dengan secara drastik menghukum KAFA untuk tidak membenarkan lagi perlawanan yang membabitkan Kelantan diadakan di Stadium Muhammad IV. Persoalannya bagaimanakah KAFA akan 'survive' berikutan kantung hasil kutipan tiket tidak akan mereka peroleh lagi bagi selepas ini.
Keputusan FAM itu jelas menunjukkan sekali lagi mereka 'bengap' dalam membuat keputusan sedangkan siasatan mengenai insiden tersebut masih belum bermula. Jika kita masih ingat, keputusan memberi kemenangan percuma kepada KL PLUS merupakan keputusan paling bodoh FAM yang dilakukan secara melulu walaupun kini keputusan tersebut telah ditarik semula. Adalah sesuatu yang agak 'bebal' bila mana setiap kali berlaku sesuatu perkara maka ianya tidak disiasat terlebih dahulu sebaliknya membuat keputusan yang sangat drastik. Kebobrokan dan kebebalan barisan kepimpinan FAM menampakkan ketidakcekapan dalam pengurusan mereka.
Di manakah sebenarnya kredibiliti pengurusan FAM? Di manakah sebenarnya kewibawaan mereka? Jika inilah ukuran sebenar tahap pengurusan badan induk bola sepak negara, usahlah kita bermimpi untuk meletakkan status pasukan bola sepak negara di persada dunia. Kepada barisan kepimpinan pengurusan FAM, penulis menyarankan agar mereka semua melepaskan jawatan dengan sukarela sebelum berlaku lebih banyak lagi keputusan dan tindakan bengap yang bakal mereka lakukan. Siapa tahu...
No comments:
Post a Comment