Senario politik di negara semakin panas! Itulah situasi yang berlaku di 3 DUN iaitu Batang Air, Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Walaupun pada awalnya begitu sukar sekali untuk kita mengagak siapakah calon yang menjadi pilihan rakyat di ketiga-tiga DUN tersebut, akhirnya rakyat begitu komited memilih calon pilihan mereka. Berdasarkan ramalan awal beberapa orang penganalisis politik tempatan, pilihanraya kecil kali ini bakal menyaksikan saingan yang paling sengit dan ternyata ramalan itu ada benarnya. Tahniah diucapkan kepada ketiga-tiga calon yang telah berjaya. Kedudukan pilihanraya kecil terkini adalah PR 2 dan BN 1 tetapi secara agregatnya PR 4 manakala BN 1 termasuk pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.
Kekalahan BN di dua 'bukit' menunjukkan bahawa starategi dan pendekatan parti itu masih tidak mampu mengalih perhatian dan minat masyarakat di situ selepas kekalahan besar pada pilihanraya ke-12 yang lalu. Bagi PR, sudah tentulah kemenangan pilihanraya kecil itu dianggap kemenangan yang sangat berharga setelah dilanda dengan pelbagai dugaan khususnya oleh jentera media yang dikuasai oleh kerajaan yang secara 'menggila' melakukan kempen 'berat sebelah'.
Apa yang menghairankan, strategi yang digunapakai oleh BN tidak pernah berubah selepas 51 tahun negara mencapai kemerdekaan. Inilah sebenarnya yang perlu disedari oleh semua kepimpinan BN khususnya dibawah barisan kepimpinan yang baru yang akan dibentuk oleh Dato' Seri Najib. Mungkinkah ini merupakan petanda bahawa Dato' Seri Najib tidak diterima oleh masyarakat khususnya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang? Sesiapa pun boleh membuat persepsi tersendiri. Kemasukan semula Tun Mahathir ke dalam UMNO yang juga turut sama berkempen dalam pilihanraya kecil itu juga tidak banyak membantu. Namun timbul satu persoalan di benak penulis, kemanakah kelibat Ezam Mohd Nor? Jika pada pilihanraya kecil yang lalu di Permatang Pauh dan juga Kuala Terengganu, Ezam merupakan salah seorang watak utama yang diberi peranan di pentas-pentas ceramah BN tapi penulis tidak langsung nampak akan kelibat mantan Ketua Angkatan Muda Keadiln itu dalam pilihanraya kecil kali ini.
Walau apa pun, kesimpulannya BN masih lagi tidak berjaya malakukan sebarang transformasi samada dalam bentuk reformasi minda, strategi dan sebagainya yang dipacakkan bersama-sama 'keris' jantannya. Jika strategi dan taktik menguasai media, menyekat kebebasan pihak lain dan taktik-taktik lapok yang lain terus digunakan, nescaya pilihanraya ke-13 nanti akan menzahirkan mimpi yang lebih buruk kepada UMNO dan Kerajaan BN.
No comments:
Post a Comment