Perkhabaran gembira rentetan pemansuhan PPSMI sedikit-sebanyak membuatkan ramai di kalangan masyarakat menerimanya dengan hati yang tenang dan penuh keterbukaan. Penulis sendiri yang juga tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI sedari awal lagi merasakan inilah penantian keputusan yang bukan bersifat siapa menang atau siapa kalah tetapi ianya lebih tepat sekiranya diistilah demi untuk anak bangsa kita dan juga demi perjuangan Bahasa Melayu itu sendiri.
Namun terdetik seketika di benak penulis mengapa dan atas alasan apa pemansuhan tersebut hanya bermula pada tahun 2012 sedangkan kita telah mengetahui bantahan mengenai PPSMI telah bermula sejak 2003. Bantahan yang bukan sahaja oleh masyarakat banyak tetapi juga turut disuarakan oleh cerdik-pandai dan pejuang Bahasa Melayu perlu diberi fokus dan diambil secara serius kerana mereka semua sudah tentu mempunyai alasan yang sangat kukuh kenapa perlu dimansuhkan PPSMI.
Walaupun Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) melalui presidennya Datin Noor Azimah Abdul Karim mengatakan bahawa 95 peratus daripada ibu bapa menyokong agar pelaksanaan PPSMI diteruskan berdasarkan kajian yang dibuatnya (Utusan Malaysia 9/7/09) namun, terlalu banyak kesangsian mengenai kajian tersebut iaitu apakah kajian tersebut benar-benar dilakukan atau hanya sekadar retorik untuk mendapatkan publisiti murahan semata-mata. Ini kerana hasil penelitian penulis, penubuhan PAGE adalah secara ad-hoc dan mungkin kajian yang dilakukan tidak menyeluruh serta melibatkan hanya beberapa buah sekolah sahaja tidak termasuk sekolah-sekolah di luar bandar.
Berbeza pula dengan Pemegang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling yang mengatakan dasar itu perlu dimansuhkan dengan segera kerana PPSMI terbukti satu kesilapan dan Tidak timbul soal penganiayaan kepada pelajar dan guru yang telah melalui proses pembelajaran dan pengajaran dalam PPSMI kerana ilmu itu adalah kelebihan bagi mereka (Utusan Malaysia 9/7/09). Manakala Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin menyatakan pelaksanaan dasar PPSMI adalah satu kesilapan besar kerajaan kerana membuat keputusan tanpa menimbang pandangan rakyat terlebih dahulu apatah lagi PPSMI mempunyai kaitan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga menegaskan bahawa menguatkuasakan PPSMI dalam tempoh tiga tahun lagi adalah sesuatu yang merugikan pelajar Melayu terutamanya di kawasan luar bandar (Utusan Malaysia 9/7/09).
Penulis pula sememangnya bersetuju dengan pandangan kedua-dua tokoh tersebut berdasarkan rasional di mana pelajar-pelajar di luar bandar lebih merasakan impak yang besar berbanding pelajar-pelajar di bandar. Kita sepatutnya lebih adil dalam situasi kita melaungkan berbagai-bagai slogan perpaduan dan kesamarataan pendidikan sedangkan dalam masa yang sama kita meminggirkan pelajar-pelajar dil luar bandar tanpa kita sedari.
Apa pun, penulis memuji sikap kerajaan yang akhirnya memberi pertimbangan sewajarnya dan memberi keputusan yang baik bagi memansuhkan PPSMI ini untuk kepentingan anak bangsa kita. Tindakan ini boleh mewujudkan semula kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan dan menepis segala sikap 'ego politik yang membatu' selama ini. Syabas diucapkan.
No comments:
Post a Comment