Jika diteliti, kesemua pilihanraya yang telah berlalu menyaksikan BN muncul sebagai pemenang hanya di dalam pilihanraya kecil di Sarawak sahaja baru-baru ini. Penulis sedari awal-awal lagi menjangkakan bahawa BN tidak akan berjaya menawan kubu kuat PAS di Permatang Pasir dan ternyata telahan penulis sememangnya tepat sekali. Ini dikuatkan dengan beberapa faktor yang penulis sendiri pernah tegaskan di dalam tulisan penulis sebelum ini. Antara faktor utama kekalahan BN adalah:
1. Media Massa khususnya RTM, TV3, dan beberapa akhbar harian terlalu ekstrim memainkan isu-isu menghentam pembangkang. Isu-isu yang dibangkitkan tidak sedikit pun mempengaruhi para pengundi yang mana mereka merasakan bahawa itu adalah sebahagian daripada taktik terdesak oleh pihak kerajaan yang memanipulasi isu tertentu melalui media massa. Acap kali kita dapat lihat bahawa media massa khususnya melalui medium televisyen begitu 'menggila' apabila dengan sengaja melaporkan sesuatu isu atau perkara dalam konteks yang agak keterlaluan sehingga menyebabkan masyarakat menjadi muak dan hilang kepercayaan mengenai kesahihan sesuatu berita yang disampaikan.
2. Walaupun pada dasarnya PAS sememangnya boleh mengekalkan kerusi DUN Permatang Pasir berdasarkan faktor Anwar Ibrahim dan juga faktor kawasan yang telah lama menjadi kubu kuat mereka namun harus diingat bahawa, sepatutnya penggunaan media massa boleh memberi gambaran yang jelas mengenai perjuangan BN untuk memenangi semula hati rakyat khususnya pengundi-pengundi di DUN berkenaan. Tetapi oleh kerana 'kebodohan' dan 'kebebalan' isu yang dimainkan oleh media massa telah mengakhibatkan BN sekali lagi berputih mata.
3. Janji-janji seperti ingin menjadikan DUN Permatang Pasir sebagai DUN 'anak emas' juga dilihat satu janji yang kurang bijak memandangkan tidak semena-mena pada setiap kali pilihanraya kecil berlangsung, setiap kali itulah DUN berkenaan akan dijadikan kawasan 'anak emas'. Ini merupakan satu janji yang tidak rasional yang mana ia menampakkan seakan-akan masyarakat kini terlalu bodoh dan begitu senang 'digula-gulakan' dengan sewenang-wenangnya.
Sebagai kesimpulannya, penulis menyarankan agar BN tidak lagi bersikap terlalu 'desprate' dengan membiar atau menggunakan media massa secara 'menggila' kerana masyarakat kini lebih bijak untuk menilai sesuatu perkara itu melalui kajian mereka sendiri dan tidak sesekali akan termakan lagi janji-janji manis pada setiap kali pilihanraya berlangsung.
BN seharusnya menggunakan cara yang lebih bijak dan berhemah dengan mengutarakan isu-isu tertentu yang boleh mengembalikan semula kepercayaan rakyat. Pendekatan serangan yang terlalu ekstrim terhadap pihak lawan bukan lagi satu pendekatan yang baik kerana serangan tersebut boleh menyebabkan rakyat semakin tidak percaya dan semakin membenci sebuah kerajaan yang bernama Kerajaan Barisan Nasional akhibat daripada pemikiran para pemimpin yang disanjungi mereka masih tidak berubah dan masih berada di takok lama.
No comments:
Post a Comment