Inilah bahana apabila bukan 'orang sukan' memegang amanah sebagai 'orang besar sukan'. Laporan Harian Metro hari ini (23/12/2009) berkaitan kenyataan Dato' Zulkples Embong yang membayangkan mereka enggan lagi menghulurkan bantuan kepada PSM telah menyebabkan orang kanan badan tersebut 'naik angin' dan mencadangkan pembubaran PSM serta-merta.
Penulis yang juga di antara jutaan peminat sepak takraw merasa sangat terkilan dengan kenyataan tersebut yang boleh disifatkan sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab serta boleh menjatuhkan maruah pengurusan PSM itu sendiri. Bagi penulis kenyataan tersebut tidak sepatutnya diutarakan sewenang-wenangnya dan perlu terlebih dahulu berbincang dengan pihak pengurusan PSM supaya tidak ada mana-mana pihak akan merasa tersinggung.
Sebab itulah penulis sedari awal-awal lagi sangat tidak bersutuju sekiranya 'orang-orang' politik yang tidak mempunyai kelulusan dalam bidang sukan dilantik menjadi 'orang kuat' dalam pentadbiran sukan negara sehinggalah kepada perlantikan Menteri Belia dan Sukan. Ini kerana semangat cintakan sukan mungkin tidak dapat dihayati sepenuhnya oleh mereka yang kurang arif dalam bidang sukan yang akhirnya hanya menggunakan logik akal serta mengambil tindakan yang tidak melambangkan profesionalisme yang setara dengan perlantikan mereka.
Jika berterusan begini, penulis dapat membayangkan lama-kelamaan arena sukan di negara kita akan terus dirundung malang akhibat daripada hasil kerja 'mereka' yang hanya sekadar 'berlagak' bijak dalam sistem pengurusan sukan walhal mereka hanyalah golongan yang bercakap tanpa sebarang ilmu sukan. Pada masa itu, janganlah kita terkejut apabila dunia sukan negara akan menjadi sepi daripada pekikan, teriakan dan laungan sokongan padu segenap lapisan masyarakat. Lebih baik kita 'persetankan' mereka daripada kita 'persetankan' sepak takraw.
No comments:
Post a Comment