Dreamstime

Royalty Free Images

Tuesday 2 March 2010

JAGUH TAIK AYAM!




Setelah hampir sebulan penulis menyepi daripada menulis sebarang artikel dek kerana kecemburuan masa dan sibuk dengan pelbagai aktiviti, terdetik di benak penulis untuk menukilkan sebuah hikayat 'jaguh taik ayam'. Dengan secebis rasa mual, geram dan sedikit emosional tetapi masih rasional maka ternukillah ceritera tiga orang tokoh yang penulis gelarkan sebagai 'jaguh taik ayam!'.

Kisah 1 (Ibrahim Ali)
Gelaran 'Putera Katak' yang diberikan suatu ketika dahulu oleh musuh politik beliau ternyata menampakkan kebenaran yang terserlah. Mungkin kerana nafsu untuk menguasai kuasa teratas diarena politik negara membuatkan beliau tidak habis-habis bergelumang dengan isu yang berbelit-belit yang akhirnya menimbulkan rasa benci dikalangan masyarakat yang mengikuti perkembangan politik semasa. Sekejap lompat sana, sekejap lompat sini. Sekejap sokong sana, sekejap sokong sini. Sekejap cakap begitu, sekejap cakap begini. Tanpa dijangka PAS sebenarnya telah diperbodohkan sejak dari awal lagi demi 'survival' politik beliau.

Jika dulu beliau merupakan orang yang sangat teguh berdiri di belakang Tengku Razaliegh Hamzah tetapi dalam isu royalti minyak Kelantan lain pula jadinya, beliau seolah-olah bercakap diatas kapasiti jurucakap kepada seluruh rakyat Kelantan. Walhal beliau tidaklah arif tentang perkara tersebut. Media pula menjadi 'kuda tunggangan' baru kepada beliau untuk menunjukkan bahawa beliaulah pejuang yang berani bersuara dan tidak mengira apa-apa parti sekali pun beliau sanggup bersuara lantang demi kepentingan kebajikan rakyat. Baru-baru ini di dalam kolum ruangan pembaca sebuah akhbar harian, tulisan beliau kepada Ahli Parlimen Australia mengenai campurtangan dalam kes Dato' Seri Anwar memperlihatkan juga seolah-olah beliau sangat komited didalam urusan negara. Walhal beliau bukanlah siapa-siapa untuk menulis surat tersebut kerana negara telah pun mempunyai Menteri Penerangan yang lebih layak untuk berbuat demikian.

Saranan penulis agar Ibrahim Ali tidak perlu untuk 'menonjolkan' imej jaguh. Penulis rasakan orang seperti beliau hanya boleh didengar dengan 'telinga kanan dan keluar telinga kiri'. Penulis juga amat berharap agar satu hari nanti Ibrahim Ali tidak lagi suka melompat bukan hanya melompat parti tetapi juga tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur katak yang telah sinonim dengan diri beliau selama ini.

Kisah 2 (Reezal Merican)
Beliau merupakan tokoh yang agak kelam kerana GPMS bukanlah gah seperti badan-badan NGO lain. Akhir-akhir ini beliau sentiasa terkehadapan dalam isu yang melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Lim Guan Eng. Kenyataan beliau melalui media massa mempunyai unsur-unsur provokasi sehingga boleh menimbulkan huru-hara dikalangan masyarakat Pulau Mutiara itu. Apa tidaknya, setiap kali berlaku isu-isu tertentu di Pulau Pinang maka akan keluarlah kenyataan daripada beliau yang cukup tidak berpuas hati dengan pemerintahan Guan Eng.

Penulis dapat rasakan bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu bukanlah kenyataan rasional tetapi ianya lebih kepada kenyataan melulu tanpa soal selidik terlebih dahulu. Masyarakat Pulau Pinang seharusnya tidak menerima 'bulat-bulat' maklumat daripada media massa yang terlalu berat sebelah sejak daripada dulu lagi. Pada perkiraan penulis, Reezal tidaklah sehebat mana untuk menjadi jaguh kepada rakyat Pulau Pinang kerana beliau bukanlah mempunyai pengaruh yang terlalu besar.

Kisah 3 (Zulkifli Nordin)
Walaupun penulis sangat menghormati pendirian beliau yang begitu konsisten tetapi sejak kebelakangan ini kenyataan beliau dilihat terkeluar daripada sifat-sifat ahli politik yang bijak. Tidak dinafikan beliau merupakan salah seorang peguam yang hebat tetapi mungkin kerana kebijaksanaan beliau didalangi oleh rasa takbur itu telah menyebabkan beliau sering kali terlupa bahawa sebagai ahli politik beliau seharusnya bijak untuk menilai setiap kenyataan yang dikeluarkan. Isu penggunaan Kalimah Allah oleh penganut Kristian tidak boleh didorongi dengan perasaan amarah yang keterlaluan. Kita sedar bahawa setiap yang berlaku itu mempunyai hikmah disebaliknya. Mengapa tidak Zulkifli melenting dengan kebanjiran kelab-kelab malam, diko, pusat judi, kilang arak dan berbagai lagi tempat maksiat di negara kira? Tidakkah fenomena tersebut lebih berbahaya kepada umat Islam?

Kadang-kala Allah turunkan ujian untuk umatnya berfikir dan seterusnya mengambil tindakan yang paling bijak. Bukannya setiap kali ujian Allah diturunkan, maka setiap kali itulah berlaku porak-peranda bagi umat Islam. Jika itulah natijahnya maka celakalah Umat Islam tersebut. Zulkifli sepatutnya sedar bahawa media massa hanya menunggu peluang untuk memutar-belitkan setiap fakta demi kepentingan pihak tertentu. Tidak bolehkah isu yang melibatkan parti diselesaikan dalam parti itu sendiri? Malang sekali beliau juga turut 'menelanjangkan' parti yang dinaungi oleh beliau sendiri.

Kesudahannya, kita selaku masyarakat yang cintakan keharmonian, jangan sesekali kita bersama dengan 'jaguh taik ayam' yang boleh mengakhibatkan bau busuk terkena kepada kita juga. Sikap rasional perlu ada di dalam jiwa kita untuk sama-sama kita memikirkan dan menilai antara yang baik dan buruk.


No comments:

Powered By Blogger