Dreamstime

Royalty Free Images

Tuesday 13 April 2010

SAINS SUKAN: PSIKOLOGI SUKAN-TEORI PEMBALIKAN (REVERSAL)

Pengenalan

Teori reversal mempunyai perkaitan dengan tahap kebimbangan atlit. Menurut Mohammed(1992), kebimbangan boleh didefinisikan sebagai satu keadaan negatif yang dialami oleh manusia dan merupakan gabungan antara perasaan takut, seram, gentar, runsing, cemas, bimbang dan pelbagai emosi yang lain. Perasaan cemas dan bimbang ini akan terus berlaku apabila seseorang itu merasa kuatir akan kebolehan dan kepakarannya. Seseorang itu merasa ragu-ragu sama ada dia boleh atau mungkin dia tidak berupaya untuk melakukan sesuatu tugasan dengan baik.

Kebimbangan juga boleh diberikan pengertian sebagai satu perasaan yang terlalu subjektif hingga membawa kepada keadaan yang tidak selesa kepada sesiapa sahaja yang mengalaminya (Mahoney dan Mayers (1989). Selain daripada kebimbangan yang mempunyai kaitan dengan teori reversal, kebangkitan juga memainkan peranan penting dan juga mempunyai kaitan dengan teori ini. Landers (1980), memberikan pengertian bahawa, kebangkitan merupakan suatu usaha untuk membina motivasi yang dapat menghasilkan kesungguhan terhadap tahap tingkah laku.

Kebangkitan boleh didefinisikan sebagai satu tigkahlaku yang melibatkan tindakan fizikal dan fisiologikal oleh organisma iaitu manusia, melalui berbagai-bagai aktiviti yang berterusan sehinggalah kepada kewujudan perasaan emosi yang kuat terhadap keseronokan (Gould dan Krane, 1992; Malmo,1959).

Teori-teori Berkaitan

Pelbagai pendekatan atau hipotesis yang boleh menghurai serta menerangkan mengenai kebimbangan serta perkaitannya dengan prestasi sukan seseorang atlit. Antaranya ialah ‘Teori Drive’ (Dorongan) yang telah diperkenalkan oleh Hull (1943) dan telah diubah-suai oleh Spence (1996). Teori ini menyatakan prestasi wujud daripada kebangkitan dan maklumbalas yang betul dan tidak betul.

Pada tahun 1980, Yerkes dan Dodson memperkenalkan ‘Hipotesis Pembalikan U’ yang dinyatakan oleh Horn (1992) yang mana apabila kebangkitan berlaku secara berterusan, maka prestasi atlit akan meningkat serta juga akan mengalami penurunan secara beransur-ansur. Menurut Duffy (1932) pula, peningkatan ketegangan otot akan menyebabkan persembahan prestasi yang tidak memuaskan dan akhibat daripada tekanan ini, ianya akan mengurangkan tindak balas terhadap kelenturan otot dan tubuh badan.

Klavora (1977), mengaplikasikan ‘Teori Pembalikan U’ didalam kajiannya bagi mengenalpasti tahap prestasi atlit dikalangan pelajar lelaki yang bermain bola keranjang yang mana hasil kajian tersebut mendapati, kumpulan subjek yang mempunyai tahap kebimbangan trait dan tahap kebimbangan stet yang agak sederhana akan memperoleh paling banyak mata dan menunjukkan prestasi yang baik jika dibandingkan dengan mereka yang mempunyai kebimbangan yang agak tinggi.

Teori Reversal yang diperkenalkan oleh Smith dan Apter (1975) dan dipopularkan oleh pakar psikologi Eropah iaitu Kerr (1985,1987) telah mula diterima dan digunapakai oleh pengkaji-pengkaji seterusnya. Menurut Apter (1984), teori ini lebih memberi fokus terhadap hubungan antara kebimbangan dan kesan emosi sebagai rangka umum terhadap menjelaskan personaliti dan motivasi. Kebangkitan yang tinggi mungkin memberikan gambaran iaitu kegembiraan sesuatu yang menyenangkan manakala kebimbangan adalah sesuatu yang sebaliknya. Kedua-dua tingkah laku ini mempunyai kaitan yang rapat terhadap peningkatan atau penurunan tahap prestasi seseorang atlet atau individu itu.

Dalam teori pembalikan U, hubungan kebangkitan dan suasana Hedonic iaitu interpretasi seseorang hingga menjadikan mereka seronok atau tidak seronok seolah-olah dalam bentuk ‘X’. Bentuk ini menerangkan keadaan telic dan paratelic. Mod telic menggambarkan perwatakan yang begitu serius ataupun berorientasikan untuk mencapai matlamat atau goal manakala paratelic lebih kepada bermain-main atau berorientasikan permainan (Apter, 1984). Teori ini berpegang kepada suatu keadaan situasi iaitu dengan meningkatnya kebangkitan boleh dianggap sebagai sesuatu yang membimbangkan atau sesuatu yang menyeronokkan bergantung kepada ‘metamotivasional state’.

Dalam ‘telic metamotivasional’, seseorang individu itu akan berada dalam keadaan kebangkitan yang tinggi dan dianggap sebagai tahap kebimbangan tertinggi dan boleh memberi kesan negatif. Sementara dalam ‘paratelic motivasional state’, seseorang individu itu sendiri akan berada dalam situasi yang menggembirakan, berorientasikan permainan dan sebagainya yang membawa kesan positif. Martens (1987), melabelkan peringkat ini sebagai peringkat positif psikologi yang bertenaga.

Mod telic boleh dilabelkan sebagai peringkat memperoleh kebangkitan dan paratelic sebagai mengelakkan kepada kebangkitan. Menurut Kerr (1985), perubahan antara satu metamotivasional kepada metamotivasional yang lain dikenali sebagai pembalikan. Konsep pembalikan dalam psikologi ini lebih berdasarkan kebolehan individu mengubah tanggapan perasaannya. Menurut Kerr (1985), pengaplikasian teori ini dalam mengenal pasti kesan kebimbangan dalam sukan perlu dibuat bersama iaitu kebimbangan dan tekanan. Keputusannya boleh dibahagikan kepada empat sudut iaitu kebimbangan, kegembiraan, kebosanan dan ketenangan atau relaksasi.

Secara asas, interprestasi yang boleh dibuat oleh teori ini bukan sahaja kepada keadaan yang menyeronokkan atau tidak menyeronokkan sahaja. Menurut Martens (1987), untuk mengenal pasti hubungan antara prestasi dan kebimbangan, terdapat hubungan positif berbentuk garisan lurus antara atlet yang paratelic (positif tenaga mental) dan prestasi manakala telic (negatif tenaga mental) berkait dengan prestasi dalam garisan yang lurus negatif.

Penekanan Teori Reversal

Teori reversal memberi kesan kebangkitan terhadap prestasi persembahan semasa atlet, secara subjektif individu mesti mentafsir tahap kebimbangan ini. Kedua-dua tahap kebangkitan ini sama ada tinggi atau rendah boleh dilihat melalui pengalaman positif atau negatif seseorang atlit, ia juga bergantung kepada situasi dimana kebangkitan berlaku, juga dikenali sebagai ‘anxiety avoidance state’, ( Kerr, 1985 & 1990 ).

Berdasarkan skala teori reversal, subjek dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu ‘high arousal – positif feelings’, ‘high arousal – negative feelings’, ‘low arousal – positf feelings’ dan ‘low arousal – negative feelings’.

Walaupun begitu terdapat dua model dalam teori reversal ini iaitu ‘zone of optimal functioning’ ( ZOF ) dan ‘catastrophe model’. Menurut model ZOF ini, setiap individu mempunyai tahap optimum kebimbangan pra prestasi yang mengakibatkan atau menghasilkan prestasi memuncak, walau bagaimanapun jika kebimbangan prestasi wujud di luar ZOF, sama ada terlalu tinggi atau terlalu rendah, prestasi akan terganggu dan bertambah buruk ( Hanin, 1986 ). ZOF berfungsi mengukur kebimbangan dan prestasi secara berulang-ulang atau melalui ingatan semula tahap kebimbangan sebelum prestasi memuncak, atlet yang berada dibawah tahap kebimbangan rendah kebiasaannya mempamerkan persembahan tidak memberansangkan, atlet yang diatas tahap kebimbangan tinggi akan mempamerkan persembahan terbaik bila berada di tahap ‘heightened state of arousal’. Model catastrophe pula berkiatan dengan implikasi persembahan diantara kebangkitan fisiologi dan kebimbangan kognitif, peningkatan kebimbangan state akan memudahkan prestasi mencapai tahap optimum, model ini menggariskan dua implikasi penting iaitu kebimbangan kognitif dan kebangkitan fisiologi, kebangkitan fisiologi boleh mempengaruhi prestasi akibat interpretasi individu tentang simptom-simptom fisiologi, peningkatan kebimbangan kognitif memberi faedah kepada prestasi pada tahap yang rendah kebangkitan fisiologi tetapi memberi kesan buruk apabila kebangkitan fisiologi tinggi ( Hardy et al, 1996 ). Tetapi apabila kebimbangan kognitif ditahap rendah, perubahan dalam kebangkitan fisiologi boleh memberi kesan sama ada negatif atau positif keatas prestasi bergantung kepada beberapa banyak atau tinggi kebangkitan yang dialami ( Hardy et al, 1996 ).

Kesimpulan

Teori reversal ini membantu atlet didalam pelbagai situasi yang bertujuan untuk mencapai satu tahap prestasi yang lebih baik. Aplikasinya yang tidak terlalu sukar akan membolehkan seseorang atlet itu yang juga dibantu oleh jurulatih mencapai satu tahap prestasi yang maksimum. Melalui teori ini, jurulatih perlu bijak untuk menjadikan situasi latihan yang membosankan kepada situasi yang menyeronokkan. Mereka juga harus mempersiapkan diri serta bersedia didalam apa jua situasi yang dihadapi oleh para atlet yang dilatih samada dengan menggunakan pendekatan teori reversal ini atau pun teori-teori psikologi yang lain yang sesuai dengan masalah yang dihadapi oleh para atlet. Persediaan terhadap setiap situasi yang mungkin berlaku diharapkan sedikit-sebanyak tidak dapat tidak, boleh membantu memaksimakan tahap prestasi dikalangan atlet yang dilatih.


Rujukan

Murphy. S. M. (1995). Sport psychology interventions: Psychological
interventions: A life development model. Champaign, IL.: Human Kinetics.
Nideffer. R. M. (1981). The ethics practice of applied sport psychology.
MI: Mouvement Publications.

3 comments:

FiQa said...

Terima kasih di atas perkongsian ilmu. sangat berguna untuk exam...

:)

Hilmi Bin Ahmad @ Ayub said...

TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH..

Hj Khairul said...

Terima kasih...kawe wat nota nak exam esok

Powered By Blogger