Dreamstime

Royalty Free Images

Thursday 19 August 2010

CHUA SOI LEK: DARI SKANDAL SEKS KEPADA 'HERO' MCA


Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menjaga kedudukan Melayu untuk diberikan suatu kuota, antara lain bagi tujuan perniagaan. Namun isu politik negara sekali lagi 'ribut' dengan Resolusi Kongres Ekonomi Cina yang berlangsung di Kuala Lumpur mencadangkan supaya 30% ekuiti yang diberikan kepada Bumiputera dikurangkan secara berperingkat. Dalam pada itu Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam ucapannya mengajak kaum China untuk berkongsi ekonomi secara adil. Beliau juga menyatakan bahawa setiap pihak harus mendapat manfaat sewajarnya daripada pembangunan dan kekukuhan ekonomi negara ini.

Persoalannya adakah selama ini Kaum China ketinggalan jauh dari segi ekonomi berbanding kaum-kaum yang lain? Walhal sejak dulu hingga kini Kaum Cina merupakan kaum yang sangat berjaya dan menjadi kaum yang boleh dikatakan banyak membantu ekonomi negara kita. Apakah dengan adanya ekuiti untuk Kaum Melayu maka kaum-kaum lain dipinggirkan? Tidak sama sekali! Penyediaan 30% ekuiti untuk Kaum Melayu bukanlah menjadi platform atau agenda meminggirkan kaum-kaum yang lain bahkan jauh sekali untuk tujuan diskriminasi.

Perlu difahami bahawa peruntukan perlembagaan mengenai Perkara 153 ialah untuk mengiktiraf kedudukan Melayu selaku kaum Bumiputera. Sangat bahaya sekiranya isu peruntukan perlembagaan terus menerus dimanupulasi oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan diri dan juga kaum mereka tanpa memikirkan sensitiviti kaum lain. Chua Soi Lek sepatutnya sedar akan hakikat dan sejarah yang telah termaktub mengenai perlembagaan negara kita. Layakkah seorang pemimpin yang dulunya terlibat dengan krisis moral (skandal seks) untuk bercakap mengenai perlembagaan? Ditambah pula percakapan beliau itu boleh menyemarakkan api perkauman di negara kita. Lebih parah lagi ianya boleh mengakhibatkan Peristiwa 13 Mei berulang kembali sekiranya tidak ada apa-apa usaha dan tindakan pihak tertentu untuk menghentikan agenda provokasi jahat ini.

Penulis musykil dan bingung dengan perlantikan Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA sedangkan beliau dengan jelas terlibat dengan krisis moral yang sepatutnya 'dinyahkan' terus dalam dunia kepimpinan parti mahupun negara. Agak menghairankan apabila manusia sebegini dianggap pula sebagai 'Hero' kerana keberanian mengakui penglibatan beliau dalam skandal seks tersebut sebelum siasatan mengenainya dimulakan. Akhirnya beliau ditabalkan menjadi 'Orang No 1 MCA'. Kini beliau mula bersuara lantang dengan memperdagangkan isu ekuiti Bumiputera. Masyarakat Melayu seantero Malaysia sangat tersentak dengan kenyataan beliau yang juga seolah-olah mencabar peruntukan perlembagaan sedia ada.

Apa yang penulis harapkan agar Kerajaan Barisan Nasional tidak memandang remeh isu tuntutan Resolusi Kongres Ekonomi Cina ini. Pemimpin-pemimpin Melayu harus bangun dan mempertahankan kedudukan orang Melayu di negara ini. Mereka tidak boleh terlalu berdiplomasi kerana jelas tuntutan sedemikian bertentangan dengan perinsip dan perlembagaan berkaitan kedudukan Melayu. Sudah tiba masanya orang Melayu perlu bangkit, berusaha dan bersaing secara sihat meningkatkan taraf ekonomi setanding dengan kaum-kaum yang lain. Jika tidak, sudah pasti kaum Melayu akan terus ketinggalan bukan hanya dalam aspek ekonomi sahaja bahkan meliputi aspek sosial, politik dan keseluruhannya. Kita tidak mahu suatu hari nanti, negara kita semakin maju tetapi Kaum Melayu hidup melarat dan merempat di Tanah Air sendiri.

No comments:

Powered By Blogger