Dreamstime

Royalty Free Images

Thursday 26 August 2010

TINDAKAN MELAMPAU BENTENG DEMOKRASI RAKYAT INDONESIA


JAKARTA 25 Ogos - Semua lokasi berkepentingan Malaysia di Jakarta dikawal polis berikutan terdapat maklumat Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) akan melancarkan gerakan mengusir rakyat Malaysia atau Sweeping Malaysian hari ini. Petang Isnin lalu, 37 anggota Bendera berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia dan membawa bersama lima bungkus najis manusia kerana membantah penahanan tiga anggota penguat kuasa marin Indonesia oleh Polis Marin Malaysia pada 13 Ogos lalu. Salah seorang daripada mereka sempat melempar bungkusan najis itu masuk ke dalam pintu pagar kedutaan besar, manakala yang lainnya meletakkan kotoran itu ke atas bendera Malaysia di jalan dan memijaknya. (Petikan Artikel Akhbar Utusan Malaysia 25 Ogos 2010).

Bagi penulis, tindakan melampau segelintir daripada rakyat Indonesia itu boleh merosakkan hubungan diplomatik dan hubungan dua hala antara Malaysia-Indonesia yang telah sekian lama terjalin. Tindakan sedemikian juga boleh menimbulkan rasa tidak puas hati seluruh rakyat Malaysia akhibat penghinaan yang dilakukan. Dibimbangi ia akan menjadi semakin parah sekiranya tidak ditangani dengan bijak oleh kedua-dua negara.

Sumber lain menyatakan bahawa terdapat unsur-unsur provokasi oleh media massa di Indonesia dengan mensensasikan berita yang tidak benar bagi menanam rasa benci rakyat Indonesia terhadap rakyat Malaysia. Daripada maklumat polis, dijangka satu demonstrasi besar-besaran membabitkan pelbagai badan bukan kerajaan akan diadakan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia esok yang disertai kira-kira 1,000 orang.

Penulis sangat bimbang jika situasi ini tidak dapat dibendung, ia akan menyemarakkan api kemarahan kedua-dua pihak. Syabas diucapkan kepada pihak berkuasa Indonesia yang mengambil tindakan pantas dengan menempatkan kawalan keselamatan di Kedutaan Besar Malaysia, Pejabat Petronas dan Bank CIMB Niaga. Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar mengingatkan pelajar Malaysia supaya keluar rumah dalam berkumpulan dan segera menghubungi beliau atau pemimpin pelajar jika diancam oleh mana-mana pihak.

Harapan kita agar suasana genting itu akan menemui jalan penyelesaian dengan seberapa segera mungkin. Media Massa Malaysia dan Indonesia harus memainkan peranan untuk memberi penerangan dari masa ke semasa kepada rakyat agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menggugat kestabilan negara masing-masing disamping menjaga hubungan baik kedua-dua buah negara asia itu. Dengan keadaan yang agak emosional itu diharapkan seluruh rakyat Malaysia mahu pun rakyat Indonesia supaya menggunakan pendekatan secara rasional untuk kepentingan bersama.

No comments:

Powered By Blogger