Dreamstime

Royalty Free Images

Wednesday 4 August 2010

PENTINGKAH PENDIDIKAN JASMANI & KESIHATAN?


Beberapa hari yang lalu seorang pelajar bertanyakan soalan yang tak pernah penulis dengar sebelum ini. Pertanyaan dengan nada yang sinis dan bersahaja membuatkan penulis terdiam seketika. Oleh kerana masa tidak mengizinkan, penulis memberitahu pelajar itu untuk dijawab pertanyaannya pada sesi kelas akan datang.

Dipendekkan cerita, kelas pada minggu berikutnya bermula dan seperti yang dijanjikan oleh penulis, persoalan yang ditanya oleh pelajar pada minggu lepas diberi keutamaan dalam sesi kelas kali ini.

Apa pentingnya Pendidikan Jasmani & Kesihatan (PJK)?

PJK merangkumi hampir semua mata pelajaran yang lain diperingkat sekolah rendah dan menengah. Dalam subjek PJK ada perkara yang berkaitan Sukan (asas bola sepak, badminton, olahraga dan lain-lain), Sejarah (sejarah sukan dan lain-lain), Biologi (sistem tubuh badan manusia dan lain-lain), Fisiologi (fungsi kardiovaskular, peredaran darah, pembentukan asid laktik dan lain-lain), Fizik (pergerakan manusia, teori pendelum dan lain-lain), Matematik (pengiraan BMI, kadar nadi dan lain-lain), Pendidikan Moral (kekeluargaan, penyalahgunaan dadah, kebersihan diri dan lain-lain), Psikologi (emosi remaja, pengurusan stres dan lain-lain) dan yang paling penting adalah Pendidikan Kesihatan (pemakanan berkhasiat, kecergasan fizikal dan pelbagai aspek kesihatan yang lain).

Secara keseluruhannya, itulah Pendidikan Jasmani & Kesihatan. Mungkin tafsiran atau persepsi masyarakat dan sesetengah daripada kita berpendapat bahawa Subjek PJK hanyalah tertumpu kepada sukan dan permainan semata-mata bahkan ada yang menganggap Subjek PJK hanyalah subjek sampingan sebagai melengkapkan koata subjek dalam sistem pendidikan negara sahaja. Kenyataan sedemikian adalah bersifat kolot tanpa maklumat dan fakta yang tepat. Pokok pangkalnya, Subjek PJK menekankan pelbagai aspek bermula daripada perkara yang asas sehinggalah kepada penjagaan kesihatan yang mana ianya merupakan satu perkara yang paling penting dalam kehidupan semua manusia.

Justeru, walaupun Subjek PJK tidak diserapkan ke dalam sistem peperiksaan besar di negara kita seperti UPSR, PMR dan SPM misalnya, subjek ini masih perlu diletakkan sebaris dengan subjek-subjek yang lain kerana kepentingan kesihatan melebihi semua perkara lain. Penulis bertanyakan kepada pelajar tentang dua situasi iaitu pertama, mana yang lebih penting di antara 'memiliki harta kekayaan tetapi sering keluar masuk hospital disebabkan pelbagai penyakit' dan situasi kedua 'hidup sederhana tetapi sihat sepanjang masa'. Keseluruhan pelajar bersetuju dengan situasi ke dua.

Di abad ini kebanyakan kita sedar tentang peri pentingnya menjaga kesihatan tetapi ramai yang tidak tahu bagaimana untuk menjaga kesihatan diri mereka sendiri. Ada di antara kita yang terlalu mempercayai iklan mengenai kaedah mudah menguruskan badan dan sebagainya dalam masa yang sangat singkat malahan ada juga yang membuat teori sendiri dengan menelan pil-pil, mengikat perut, menyapu 'lotion' dan lain-lain untuk kelihatan kurus dan menawan. Inilah akhibatnya apabila kita langsung tidak mempunyai ilmu tentang penjagaan kesihatan.

Tidak dinafikan 'suppliment', pil, ubat-ubatan yang lain boleh mengurangkan kadar lemak ke atas seseorang itu tetapi harus diingat bahawa segalanya itu hanyalah sebagai bantuan sampingan sahaja. Perkara yang paling utama adalah kita perlu aktif dengan bersenam, bersukan dan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal yang lain supaya kita dapat memperolehi kesihatan fizikal yang menyeluruh bukan hanya tertumpu kepada mengurangkan lemak dalam badan semata-mata bahkan pembentukan tulang yang kuat, pembinaan otot yang pejal, ketahanan kardiovaskular dan lain-lain merupakan aspek yang sangat penting terhadap manusia. Falsafahnya sangat mudah. Selagi kita hidup, selagi kita makan, selagi itulah kita perlu melakukan aktiviti fizikal seperti yang dinyatakan untuk kehidupan yang lebih sihat dan bermakna.

Berbalik kepada pengajaran di dalam kelas tadi, setelah panjang lebar penulis memberi penerangan secara 'detail' tentang Subjek PJK, kesemua pelajar menunjukkan reaksi yang sangat positif. Sebagai kesimpulan, "kita perlu bertanya sekiranya tidak tahu", "selepas kita tahu setelah bertanya, kita perlu amalkan", "jangan sesekali kita malas bertanya kerana akan menyebabkab kita tidak tahu seterusnya buat-buat tahu dan akhirnya kita jadi haru, orang jadi keliru, semua jadi buntu".

No comments:

Powered By Blogger