Dreamstime

Royalty Free Images

Tuesday 18 January 2011

PEROSAK ORGANISASI!


Penulis sangat tertarik untuk menulis mengenai gelagat manusia yang ada pada hari ini. Setelah sekian lama menyepi daripada menulis artikel di blog ini, terdetik difikiran penulis untuk membuat sedikit coretan mengenai golongan-golongan yang merosakkan satu-satu organisasi tidak kiralah organisasi kecil mahu pun organisasi yang besar. Tulisan ini berkait-rapat dengan perilaku manusia yang berada dalam organisasi bermula daripada seorang yang bergelar ketua sehinggalah kepada mereka yang bergelar kakitangan terbawah. Antara sifat-sifat golongan perosak organisasi termasuklah:-

1. Seorang ketua yang tidak adil - ketua yang tidak berlaku adil terhadap semua pekerjanya yang mana sering bertindak secara 'double standard', membanding-bandingkan pekerja atasan dan bawahan dan tidak bertindak sebagai pemberi semangat terhadap semua pekerjanya.

2. Pekerja yang mempunyai sifat dengki - pekerja yang sentiasa cemburu dengan kejayaan rakan sekerjanya sehingga sanggup membuat sesuatu perkara dengan menjatuhkan maruah orang lain seperti mengumpat, mengeji, menghina dan memfitnah.

3. Pekerja yang bermuka-muka - pekerja seperti ini seringkali bertindak bijak mengikut situasi yang mana sering menunjuk-nunjuk hasil kerjanya apabila berdepan dengan Bos tetapi bertindak sebaliknya apabila Bos tiada.

4. Pekerja yang suka membodek - sangat bahaya bagi seseorang ketua yang tidak tahu menilai antara pekerja yang suka membodek dengan pekerja yang ikhlas memberi pujian kerana pekerja dalam golongan ini akan menggunakan kesempatan bodekannya untuk mendapat kelebihan tertentu.

Jika disenaraikan keseluruhan sikap golongan perosak organisasi, penulis percaya masih banyak lagi untuk disenaraikan. Organisasi yang baik tidak akan terhasil sekiranya terdapat golongan seperti yang tersenarai di atas. Ironinya, memang sangat sukar untuk menghasilkan satu pasukan yang benar-benar mantap dalam sesebuah organisasi tetapi kita tidak harus mengandaikan bahawa ianya adalah satu misi mustahil untuk menghasilkan organisasi yang di dalamnya dinaungi oleh manusia yang tinggi nilai moralnya.

Pokok-pangkalnya, semua manusia yang berada di bawah satu bumbung organisasi merupakan golongan yang mempunyai skop tugasan yang sama penting walaupun mereka daripada golongan pekerja yang paling bawah. Ini kerana, kebergantungan memajukan sesebuah organisasi bukanlah hanya melibatkan golongan pengurusan atasan semata-mata bahkan golongan pengurusan atasan sangat-sangat memerlukan pekerja bawahan bagi melaksanakan tugasan mereka.

Perlu jelas bahawa, kitaran dalam organisasi saling berkait antara golongan pengurusan atasan dengan golongan pekerja bawahan. Harus juga diketahui bahawa jika organisasi itu mempunyai seorang ketua yang adil, barisan pengurusan & pentadbiran yang berdedikasi, golongan pekerja pertengahan yang berkomitmen tinggi dan golongan pekerja bawahan yang bermotivasi maka akan wujudlah satu organisasi TERHEBAT!

No comments:

Powered By Blogger