Dreamstime

Royalty Free Images

Thursday, 21 January 2010

IBU BAPA TOLOL PUNCA ANAK JADI BAHLOL!


Sesi menjernihkan keadaan antara pihak sekolah dengan penjaga kepada seorang pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini bertukar tegang apabila seorang ibu 'naik angin' dengan menampar seorang guru sekolah itu kelmarin. Petikan artikel daripada Akhbar Kosmo (21/1/10).

Kes-kes yang melibatkan ibu bapa tidak berpuas hati dengan guru telah acap kali kita dengar sehinggakan ada juga kes-kes yang sepatutnya boleh diselesaikan di meja rundingan terpaksa dipanjangkan ke mahkamah dek kerana sikap emosional yang menebal. Penulis yang juga merupakan seorang guru merasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman penulis sepanjang menjadi guru. Pengalaman penulis tidaklah terlalu luas tetapi berdasarkan pengalaman yang singkat ini, telah banyak penulis lalui perkara-perkara yang tidak pernah penulis jangka.

Jika dahulu iaitu pada zaman nenek moyang kita, guru dilabel sebagai orang yang sangat dihormati apatah lagi segala urusan bagi membentuk anak-anak menjadi orang yang benar-benar bergelar 'manusia' seolah-olah diletakkan hampir 100% ke atas bahu guru. Dalam masa yang sama ibu bapa akan meninggalkan pesan kepada guru agar melakukan apa sahaja terhadap anak mereka supaya satu masa kelak anak mereka akan menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Begitulah sikap ibu bapa 'dulu-dulu' yang begitu menghormati tanggungjawab seorang guru dan menaruh kepercayaan yang sangat tinggi terhadap golongan 'penyebar ilmu' ini. Pada ketika itu juga, anak-anak tidak berani untuk memberitahu ibu bapa mereka sekiranya mereka didenda, dirotan, ditampar dan dikenakan pelbagai hukuman lain kerana memikirkan ibu bapa mereka akan memarahi mereka kembali dan menganggap mereka telah melakukan kesalahan semasa di sekolah.

Setelah zaman berubah, manusia juga mula berubah. Sikap ibu bapa terhadap guru kini tidak lagi sama seperti dahulu. Akhibatnya sistem pendidikan negara sedikit demi sedikit terpaksa diubah mengikut acuan yang penuh dengan kepincangan. Hasilnya guru tidak boleh lagi sesuka hati merotan, mendenda, menghukum dan apatah lagi 'melempang' pelajar. Pernah terjadi kes dimana seorang bapa mengacu parang kepada seorang guru setelah mendapati anaknya ditampar oleh guru berkenaan. Guru tersebut terpaksa bertindak dengan menampar pelajar berkenaan setelah mendapati pelajar itu telah beberapa kali gagal menyiapkan kerja sekolah yang diberi ditambah pula dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah diberikan. Agak malang sekali seorang bapa sanggup mengambil tindakan sedemikian tanpa memikirkan implikasi yang bakal dihadapi selepas itu.

Ketika zaman kanak-kanak, penulis juga pernah dihukum, didenda, dilempang kerana melakukan pelbagai kesalahan. Pernah juga penulis ditarik telinga sehingga terluka dan berdarah dan apabila pulang ke rumah bapa penulis merotan penulis kerana menganggap penulis telah melakukan kesalahan semasa berada di sekolah. Bukanlah tujuan ingin menonjolkan kehebatan 'kedegilan' penulis ketika zaman kanak-kanak tetapi ianya hanya sebagai perbandingan watak ibu bapa dulu dan kini. Ibu bapa kini terlalu sayangkan anak mereka sehingga peranan guru tidak lagi dipercayai. Sedikit sahaja denda yang dikenakan kepada anak mereka maka ibu bapa akan menelefon pihak sekolah dan menyatakan rasa tidak puas hati. Samada kita sedar atau pun 'buat-buat' tidak sedar, anak-anak zaman ini semakin lama semakin jauh menyimpang dan rosak akhibat daripada sikap 'tolol' ibu bapa mereka memanjakan anak-anak 'semanja-manjanya' dan ada juga sesetengah ibu bapa yang mengeluarkan kenyataan 'jangan kau berani nak lempang anak aku sedangkan aku sendiri tak pernah jentik atau sentuh anak aku!'.

Oleh kerana tidak jentik, sentuh apatah lagi lempang itulah yang menyebabkan anak-anak kini jadi 'bahlol'! Pepatah 'sayangkan anak tangan-tangankan' perlu dilupuskan terus dan perlu ditukar kepada 'sayangkan anak guru dilempang'. Penulis pula ingin menukarkan pepatah 'bapa borek anak rintik' kepada 'bapa bahlol anak tolol' kerana ianya nampak lebih keras untuk menyedarkan segelintir ibu bapa kini yang tidak lagi menghormati peranan insan yang bergelar guru. Perlu diingat bahawa tanpa guru maka tiadalah seorang perdana menteri. Tanpa guru takkan ada seorang doktor, peguam, jurutera dan semuanya. Pengorbanan guru tidak akan ternilai sehingga akhir zaman.

No comments:

Powered By Blogger