Maka bermulalah satu episod sejarah debat dalam negara kita yang menyaksikan pertembungan di antara menteri penerangan, Shabery Chik (BN) menentang Mantan TPM, Anwar Ibrahim (PR). Rata-rata rakyat Malaysia menanti-nantikan debat yang sebegini kerana perkhabaran mengenainya telah lama digembar-gemburkan. serentak dengan itu pula, ramai dikalangan tokoh-tokoh dalam UMNO yang mahukan debat tersebut tidak diteruskan. Atas alasan dan sebab-musabab supaya tidak diteruskan debat tersebut tidak pula diketahui. Berbeza pula dipihak pembangkang yang bersungguh-sungguh mahu debat tersebut diteruskan dan diadakan di tempat yang terbuka serta di tayangkan secara langsung. Itulah perbedaan ketara antara pihak Kerajaan dan pembangkang yang masing-masing mempunyai pendirian yang nyata sekali tidak sama.
Pada mulanya saya menjangkakan satu debat yang cukup gah berikutan Shabery begitu berani sekali tampil untuk berdebat secara langsung dengan Anwar berkaitan isu yang sangat sensitif pada ketika ini iaitu berkaitan kenaikan harga minyak. Kedua-dua ahli panel pula masing-masing berhujah dengan beberapa fakta yang agak menarik yang selama ini kita tidak tahu dan tidak pula pernah mengambil tahu. Bermula dengan persoalan untung petronas dari tahun ke tahun sehinggalah kepada perjanjian dengan IPP yang nyata sekali membuka mata hati kita untuk terus mendengar hujah-hujah daripada kedua-dua belah pihak.
Yang paling mencuit hati saya apabila soalan yang dikemukakan oleh Datuk Nordin Kardi (UUM) kepada Anwar yang soalannya lebih kurang berbunyi begini,'Saudara Anwar kata nak berdebat mengenai minyak tetapi banyak bercerita mengenai IPP'. Belum pun sempat beliau menghabiskan soalan, Anwar mencelah dengan menyatakan IPP itu ada hubungannya dengan gas dan juga secara tidak langsung berkaitan dengan isu PETRONAS. Kelihatan pada ketika itu, Datuk Nordin seperti terpinga-pinga untuk meneruskan soalannya. Tetapi beliau berhujah panjang sebelum menanyakan soalan yang saya kira tidak menampakkan keintelektualan yang ada pada beliau. Dengan selamba Anwar mengucapkan terima kasih secara sinis kerana 'hujahan' oleh Datuk Nordin. Terfikir juga saya sejenak kerana dalam soalan tersebut menampakkan seolah-olah Datuk Nordin secara terang-terangan ingin mengenakan atau menghentam Anwar. Sebab itulah saya cukup menghormati saudara Anwar kerana beliau bijak menjawab soalan yang dikemukakan. Soalan kedua oleh Datuk Nordin kepada Shabery juga mempunyai nada sindiran kepada Anwar dan dijawab sinis juga oleh Syabery yang mengaitkan perkara-perkara yang bersifat peribadi.
Apa yang paling membuatkan saya menyampah dalam debat tersebut apabila Syabery yang mungkin telah kehabisan hujah, mula menyerang Anwar dengan hujahan yang menyentuh persoalan peribadi yang rasa tidak sepatutnya diungkit-ungkitkan dalam debat sebegini. Inilah yang berlaku apabila seseorang yang tidak memiliki kredibili berlagak seolah-olah beliau merupakan seorang wira ditambah pula dengan tepukan oleh tukang sorak murahan sepanjang debat tersebut berlangsung. Oleh kerana hujahan yang dangkal, tindakan menyerang secara peribadi dan keterbatasan masa, kita tidak sempat untuk mendengar penerangan secara menyeluruh apakah yang akan diperkatakan lagi oleh Anwar.
Sebab itulah juga saya merasakan bahawa, tujuan utama Shabery menyahut cabaran untuk berdebat dengan Anwar bukan kerana beliau mempunyai hujah dan fakta yang kukuh untuk dihujahkan tetapi ianya lebih kepada persediaan 'senjata sulit' beliau untuk menghentam Anwar secara peribadi dengan mengungkit sejarah lampau yang saya kira tidak relevan dalam perbahasan seperti ini. Tidakkah ianya akan menampakkan lagi kedangkalan seorang menteri yang sepatutnya bersedia dengan fakta-fakta yang kukuh dan tepat untuk diperdebatkan. Namun, ketokohan Anwar semakin terserlah apabila beliau dengan secara bijak menjawab setiap tohmahan yang dilempar.
Saya juga berkesempatan melihat dan mendengar Pasca Debat Anwar-Shabery melalui saluran yang TV yang sama oleh beberapa panel jemputan dan sekali lagi saya tersentak dengan komen seorang profesor juga dari UUM melalui perbualan telefon. Beliau juga secara terang-terangan mampunyai agenda menghentam Anwar. Lalu saya mula berfikir panjang, apakah tokoh-tokoh akademik yang ada di UUM semuanya anti-pembangkang? Maka, dapatlah saya membuat kesimpulan bahawa, universiti di Malaysia 'Tidak Sama Sekali Bebas Dari Politik Luar'.
Berbalik kepada komentar saya mengenai Debat Anwar-Shabery. Sebagai kesimpulannya, saya merumuskan bahawa Debat tersebut telah berjaya menyerlahkan lagi Ketokohan Anwar Ibrahim dan secara tidak langsung telah menyebabkan rakyat yang miskin akan terus-menerus mempersoalkan hak mereka yang selama ini semakin terhimpit dengan beban kenaikan minyak yang tinggi, kenaikan harga barang yang melampau dan kehidupan masa depan mereka yang samar-samar. Fikir-fikirkanlah...
No comments:
Post a Comment