Pastinya seluruh rakyat Malaysia amnya dan rakyat Pulau Pinang khasnya ternanti-nantikan debat di antara dua tokoh politik tanah air yang masing-masing merupakan seorang ketua menteri baru yang mewakili Pakatan Rakyat manakala seorang lagi pula merupakan mantan Ketua Menteri yang mewakili Barisan National. Debat yang diberi tajuk ‘Kisah sebenar di sebalik skandal tanah’ menyaksikan kedua-dua tokoh tersebut mempunyai hujah dan fakta yang tersendiri yang kadang-kadang membuat kita sebagai penonton masih agak samara-samar untuk untuk memahaminya secara lebih terperinci memandangkan keterbatasan masa. Dengan adanya debat yang sebegini selepas Debat Anwar – Shabery telah setidak-tidaknya menampakkan usaha murbni kerajaan pada hari ini bagi memulihkan demokrasi media-massa yang telah lama tidak dikecapi oleh pihak pembangkang di negara kita khususnya.
Berbalik kepada Debat Lim Guang Eng – Koh Tsu Koon, umum mengetahui bahawa skandal tanah di Pulau Pinang telah mencetuskan fenomena baru bagi rakyat Pulau Pinang yang telah didedahkan oleh pihak Pakatan Rakyat selepas memegang tampok pemerintahan negeri. Pendedahan demi pendedahan telah membuka mata banyak pihak bahawa krisis skandal tanah di negegi Pulau Mutiara itu berada pada tahap yang kritikal dan amat membimbangkan yang mana ianya melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit yang memungkinkan semua kerugian tersebut terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri. Guang Eng telah mendedahkan beberapa skandal yang terpaksa disiasat oleh kerajaan baru itu sendiri tanpa ada kerjasama daripada daripada kerajaan terdahulu. Persoalannya mengapakah kerajaan terdahulu tidak mahu memberikan butir-butir dan maklumat yang terperinci berkaitan isu tanah ini untuk memudahkan lagi siasatan jika dakwaan yang dilaporkan sebagai fitnah itu adalah sesuatu dakwaan yang tidak benar sama sekali. Sekiranya kedua-dua pihak memberikan kerjasama yang sewajarnya sejak dari awal lagi, kita merasakan bahawa perkara berkaitan dengan isu tanah ini dapat diselesaikan dengan mudah dan mereka yang terlibat serta didapati berkomplot di dalam mengaut keuntungan daripada tanah milik rakyat ini dapat dibawa ke muka pengadilan.
Apa yang menarik minat penulis adalah berkaitan skandal yang melibatkan Patrick Lim yang telah didedahkan oleh Guang Eng. Umum telah mengetahui siapakah Patrick Lim dan hubungan rapat beliau dengan Perdana Menteri. Tidak perlulah penulis huraikan dengan panjang lebar tentang perkara ini. Tsu Koon tidak pula memberikan jawapan mengenai perkara tersebut dan juga perkara mengenai Mantan Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Hilmi Yahya. Guang Eng mendedahkan bahawa mantan Timbalan Ketua Menteri itu telah mengakui kesilapan yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu dalam isu tanah ini. Hujah yang diberikan oleh kedua-dua tokoh pada malam itu banyak mengulangi isu yang sama iaitu isu yang berkaitan dengan tuntutan sebuah syarikat kuari yang masih lagi dalam perbicaraan mahkamah dan memungkinkan kerugian RM40 juta yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri pada ketika ini sekiranya tewas dalam perbicaraan tersebut.
Walau apa pun perkara yang didedahkan dan juga hujah yang diberikan, kita sebagai rakyat perlulah bijak menilai semua aspek, hujah serta fakta dalam debat tersebut secara rasional dan profesional. Debat sebegini seharusnya diteruskan dari masa ke semasa supaya masyarakat kita hari ini dapat menlai sendiri apa yang betul dan apa yang tidak betul yang secara ‘direct’ keluar daripada mulut pemimpin-pemimpin yang ada di negara kita. Bukanlah hendak mencari siapa menang dan siapa kalah tetapi lebih kepada hendak mencari kebenaran daripada setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini yang kadang-kala penuh dengan seribu persoalan dan misteri. Bagi penulis, kedua-dua tokoh tersebut sememangnya hebat dalam memberikan hujah-hujah serta mengaitkan dengan fakta-fakta. Mungkin sedikit kelemahan penguasaan Bahasa Melayu dalam beberapa istilah yang digunakan perlu dimantapkan lagi memandangkan debat tersebut telah meletakkan syarat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan dalam debat tersebut. Akhir kata syabas diucapkan kepada Lim Guang Eng dan Koh Tsu Koon.
No comments:
Post a Comment