- Setelah sekian lama penulis tidak mencoretkan sebarang nukilan di dalam blog ini, penulis merasa agak ketinggalan dari segi menyampaikan maklumat kepada pembaca dan pelawat blog ini. Kesibukan kerja membataskan tulang empat kerat ini untuk terus melontarkan idea-idea bernas dan buah mulut yang mungkin sedikit-sebanyak dapat dikongsi dan dihayati. Bila teringatkan tentang kerja maka terdetik dihati penulis bahawa kerja itu merupakan satu ibadat. Ada juga sesetengah daripada kita menganggap bahawa kerja itu sekadar mencari rezeki untuk memperoleh wang atau gaji untukterus hidup.
- Apa pun istilah mengenai kerja itu tidak perlulah dipaksikan kepada persepsi manusia semata-mata. Ini kerana persepsi setiap manusia itu berbeda-beda. Sampai kiamat pun persepsi manusia tidak akan habis. Budaya kerja itu sendiri tidak pula boleh dijadikan satu kuasa mencari rezeki sahaja bahkan lebih daripada itu. Oleh sebab itulah juga Islam menganggap kerja itu satu ibadat dan tidak pula Islam kata kerja itu hanya sekadar untuk hidup, makan dan minum.
- Bagi penulis yang saban hari bekerja melayan kerenah anak-anak di sebuah tempat yang bernama MRSM merasakan bahawa sangat besar pengorbanan sebagai seorang yang bergelar guru. Pagi, petang, siang dan malam tidak pernah difikirkan. Yang paling utama ialah bagi mendidik anak bangsa kita yang satu hari nanti kita tidak mahu mereka menjadi seorang yang bergelar penagih dadah, mat rempit, bohsia dan pelbagai istilah hina yang lain. Inilah salah satu bentuk keikhlasan yang paling minima bagi penulis setelah mengambil keputusan nekad untuk menjadi seorang guru. Pokok pangkalnya, walau apa pun pekerjaan kita, tanamkan didalam sanubari kita 'sepohon keikhlasan kerana Allah' setiap apa yang kita lakukan. Semoga dengan keikhlasan itu akan dilimpahkan kurnia olehNya sehingga ke akhirat. Amin...
No comments:
Post a Comment