
Apa yang pasti, seluruh media termasuklah media cetak begitu 'menggila' memuji skuad negara. Pujian itu seolah-olah pasukan kita telah mencapai kemenangan yang paling besar di dalam dunia. Penulis tidak sesekali ingin menyindir apatah lagi menidakkan kehebatan skuad negara yang beraksi pada malam itu tetapi penulis agak kurang setuju apabila sesetengah pihak beranggapan bahawa mutu bola sepak negara telah pulih.
Kita perlu sedar bahawa arena bola sepak negara kita terlalu jauh ketinggalan diperingkat dunia bahkan kita juga masih terkebelakang diperingkat asia tenggara. Dengan hanya membuat kesimpulan melalui perlawanan persahabatan menentang MU tidak boleh dijadikan kayu ukur sebenar mutu bola sepak negara telah pulih sepenuhnya. Itu hanyalah perlawanan persahabatan yang lebih kepada perlawanan untuk tujuan pertunjukan atau perlawanan hiburan semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Jika diteliti perlawanan tersebut, tidak seorang pun pemain MU meraikan gol jaringan setiap pemain mereka berbanding pemain kita yang tampak lebih bersungguh meraikan kedua-dua gol jaringan Amri Yahyah.
Sekali lagi penulis memohon beribu ampun kerana bukan tujuan penulis untuk merendahkan tahap pemain kita kerana bagi penulis, kita janganlah terlalu taksub mengatakan imej pasukan bola sepak negara kita telah pulih hasil daripada perlawanan tersebut. Penulis menyanjung tinggi semangat juang pemain-pemain kita dan syabas di ucapkan.
Walau apa pun, dalam bola sepak kita tidak sepatutnya melihat kekuatan pasukan lawan dan kita juga tidak sepatutnya melihat kelemahan yang ada pada pasukan lawan kerana apa yang lebih penting kita haruslah membina kekuatan pasukan kita dan memperbaiki kelemahan pasukan kita untuk pasukan lawan geruni kita suatu hari kelak.
No comments:
Post a Comment