Dreamstime

Royalty Free Images

Tuesday, 6 October 2009

MASYARAKAT MALAYSIA BERMENTALITI SAMPAH!


Rasa geram, marah dan macam-macam lagi dirasai penulis selepas menonton Buletin Utama hari ini mengenai lambakan sampah di beberapa tempat di sekitan Lembah Klang. Sampah sarap seolah-olah dijadikan 'koleksi istimewa' di beberapa kawasan samada di lorong-lorong perumahan dan juga di kawasan-kawasan yang terang-terangan terpacak papan tanda bertulis 'Di Larang Membuang Sampah'.

Inilah natijah yang memperlihatkan tahap kesedaran kebanyakan masyarakat kita pada hari tidak langsung mempunyai nilai sebagai masyarakat yang cintakan keindahan alam sekitar. Yang pastinya masyarakat di kota bukanlah terdiri daripada mereka yang bodoh dan bebal. Walau pun kerajaan telah lama mewar-warkan melalui pelbagai medium arus perdana tentang kepentingan menjaga kebersihan, masyarakat kita telah dengan sengaja tidak mahu peka malah hanya memandang enteng usaha murni kerajaan. Siapakah sebenarnya yang harus dipersalahkan?

Melalui tinjauan penulis sendiri, kebanyakan masyarakat pada hari ini menganggap bahawa penjagaan kebersihan hanyalah terletak di bahu organisasi yang bertanggungjawab sahaja seperti Alam Flora dan sebagainya manakala setiap sampah yang dibuang akan dikutip serta dibersihkan oleh organisasi yang dipertanggungjawabkan itu. Sumber Alam Flora pula menganggarkan kos untuk proses pelupusan sampah termasuk sampah-sampah haram mencecah sehingga RM 1 juta setiap bulan. Inilah harga yang terpaksa ditanggung semata-mata kerana 'sampah'!

Penulis beranggapan bahawa usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani pembuangan sampah-sampah haram masih lagi berada pada tahap yang kurang efektif memandangkan pemantauan serta hukuman terhadap pesalah tersebut dilihat agak longgar dan tidak dijalankan secara serius. Namun bukanlah kepincangan tersebut terbeban kepada pihak kerajaan semata-mata kerana mungkin dari segi sudut-sudut tertentu pelaksanaannya agak sukar untuk dilakukan.

Apa yang yang pasti masyarakat kitalah sebenarnya yang mempunyai tabiat buruk dan bengap tanpa memikirkan kesan buruk akhibat daripada perbuatan bebal mereka itu sendiri. Generasi demi generasi semakin terbawa-bawa amalan membuang sampah merata-rata kerana mungkin bagi mereka sampah-sampah kecil tidak memberi kesan yang besar terhadap permasalahan ini. Jika diteliti, perokok di negara kita umpamanya merupakan penyumbang utama kepada rentetan pembuangan sampah kerana hampir setiap tempat yang kita lalui pasti akan terjumpa dan terlihat puntung-puntung serta kotak-kotak rokok bertaburan di sana-sini. Sampah-sampah yang kecil inilah menjadi punca lambakan sampah lain yang boleh membuatkan tikus-tikus berkeliaran 'manja' dan kita berjalan sambil menutup hidung.

Penulis sangat bersetuju apabila beberapa langkah telah diambil bagi membendung gejala pembuangan sampah haram ini seperti penyediaan cctv di tempat-tempat tertentu serta pemeriksaan berkala pihak berkuasa. Mungkin satu masa nanti kerajaan dapat mengkaji beberapa hukuman lain terhadap pesalah yang yang membuang sampah secara haram dan tidak hanya mengeluarkan saman sahaja. Ini kerana denda wang ringgit masih gagal memberi kesan yang mendalam terhadap pesalah kerana bagi mereka duit boleh dicari. Penulis mengesyorkan agar satu masa nanti setiap pesalah yang membuang sampah secara haram ditangkap serta dipertontonkan kepada orang ramai dan disuruh merangkak sambil mengutip sampah seluruh bandaraya bagi memastikan mereka mempunyai rasa malu yang menebal untuk tidak mengulangi perbuatan buruk mereka.

Apa pun telahan serta rengekan kita, kita perlu bersama-sama menghapuskan budaya buruk yang telah lama terbelengu di dalam 'otak beku' masyarakat hari ini untuk melahirkan generasi baru yang lebih bertamadun dan tidak lagi kolot. 'Berat mata memandang berat lagi bau busuk sampah' merupakan satu ungkapan sinis yang harus difikirkan bersama. Kita sering melaungkan slogan Malaysia maju menjelang 2020 tetapi hakikatnya masyarakat kita masih lagi bergelumang dalam lingkungan 'mentaliti sampah'. Fikir-fikirkanlah...

No comments:

Powered By Blogger