Dreamstime

Royalty Free Images

Wednesday, 14 October 2009

SABAR DALAM MENGHADAPI FITNAH


Semalam penulis sempat berborak-borak dengan seorang kawan penulis yang kebetulan mempunyai masalah besar katanya sehinggakan masalah tersebut membuatkan dia begitu tertekan ditambah pula dengan bebanan kerja-kerja seharian yang tak pernah habis. Nasihat penulis kepadanya hanyalah luahan satu perkataan yang sangat mudah untuk diucapkan iaitu 'sabar'. Namun sebaliknya dikatakan penulis tidak memahami masalah yang dihadapinya itu. Penulis hanya mendiamkan diri dan memberi sedikit pandangan ikhlas untuk dia fikirkan sejenak apakah sebenarnya pengertian sabar itu.

Mulut manusia sampai kiamat pun kita tidak boleh tutup daripada menghina, mengeji, mengumpat, menghina dan lebih dasyat lagi sehingga menabur fitnah. Orang yang difitnah pasti akan merasai tekanan yang paling dasyat apatah lagi jika fitnah tersebut melibatkan kehidupan peribadi yang juga mengakhibatkan harga diri dan maruah mereka tercalar. Penulis sendiri pernah mengalami situasi difitnah oleh 'mulut-mulut laknat manusia' namun berkat kesabaran penulis, fitnah-fitnah yang dilemparkan itu lama-kelamaan terbukti tidak benar walaupun masih ada lagi 'mulut-mulut jahat' yang terus-menerus 'meludah fitnah' terhadap penulis. Apa pun penulis selalu doakan semoga pemfitnah-pemfitnah yang terlibat sentiasa diberi hidayah oleh Allah untuk kembali ke pangkal jalan.

Berbalik tentang kisah kawan penulis tadi. Tekanan yang dihadapinya itu telah menyebabkan dia begitu sedih dan daripada riak wajahnya penulis dapat jangkakan bahawa dia begitu kecewa dengan keadaan itu. Apa nak dikata... Penulis begitu mengharapkan agar satu hari nanti akan tamatlah riwayat fitnah yang mendatang terhadap dirinya agar dia kembali bersemangat untuk terus menjalani hidup seperti mana sebelum ini. Harus diingat bahawa sabar itu sangat hebat pengertiannya sehinggakan Agama Islam dapat diperluaskan ke serata dunia hasil daripada berkatnya kesabaran Nabi Muhammad. Jika pada masa itu Allah tidak mencampakkan naluri kesabaran dalam diri Nabi Muhammad, masakan kita dapat kecapi Ad-Din sehingga ke hari ini.

Kita tidaklah semulia Nabi Muhammad tetapi kita wajib percaya bahawa kesabaran itu merupakan senjata yang paling tajam bagi orang-orang mukmin. Sabar itu umpama air yang jernih yang mana ianya sangat bersih dan sangat murni. Sabar lawannya marah dan marah itu adalah api. Semarak-marak api, akan tewas juga dengan air. Apakah sabar boleh melawan fitnah? Sedarkah kita betapa besarnya dugaan yang Allah uji terhadap Rasullullah? Kita renungkan kembali kisah Nabi Muhammad yang hanya bersabar melawan fitnah-fitnah daripada golongan penentangnya dan akhirnya kemenangan berpihak kepada siapa? Doa orang yang difitnah tidak ada hijab dengan Allah maka kita perlu yakin dan percaya bahawa Allah akan sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar dan benar.

Ingatlah bahawa jika kita tewas dalam dugaan sekecil ini maka bagaimanakah sekiranya dugaan besar datang dan terus menimpa kita? Setiap masalah pasti boleh diselesaikan tetapi apakah dengan melarikan diri, kita dapat selesaikan segala masalah? Orang yang bersifat tidak yakin kepada diri sendiri sahaja yang takut berhadapan dengan masalah.

Akhir kata... jika hari ini kita dikeji maka, sabarlah. Jika esok kita dihina maka, sabarlah dan jika lusa kita difitnah maka, sabarlah. Sesungguhnya sabar itu senjata yang paling mujarab untuk melawan sifat-sifat manusia yang tercela. Yang pastinya 'kesabaran itu adalah kejayaan'.

No comments:

Powered By Blogger