Dreamstime

Royalty Free Images

Thursday 15 April 2010

SAINS SUKAN: TEKNIK KAUNSELING DAN KOMUNIKASI

Komunikasi

Seseorang kaunselor dalam sukan perlu memiliki keupayaan komunikasi yang baik . Ini kerana, disamping pengetahuan berkaitan sukan yang perlu ada bagi seseorang kaunselor itu, mereka juga perlu mahir didalam sesuatu sesi komunikasi samada ianya melibatkan komunikasi dengan atlet, jurulatih, keluarga atlet, guru atau pensyarah (atlet yang masih belajar), pihak media dan sebagainya. Sesuatu sesi kaunseling yang dijalankan tidak mungkin berjaya jika proses komunikasi tidak berlaku dengan berkesan. Terdapat 10 garis panduan berkaitan keberkesanan komunikasi dalam sukan.
1. Sentiasa bersikap jujur dalam apa juga situasi yang wujud samada ianya satu situasi yang sukar atau sebaliknya.
2. Perlu menjadi pendengar yang baik dan sentiasa bersedia mendengar pelbagai pendapat yang disuarakan oleh klien.
3. Bersikap konsisten terhadap semua jawapan, pendapat serta penyelesaian masalah yang telah dikemukan dengan menggunakan segala pengetahuan yang ada.
4. Bersikap empati atau menyelami perasaan yang dialami oleh atlet.
5. Tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh meyakitkan hati klien walaupun ianya melibatkan sesuatu perkara yang terlalu remeh.
6. Memberikan pujian serta kritikan yang sewajarnya terhadap tingkahlaku klien sahaja dan jangan sesekali melakukan kritikan terhadap personaliti seseorang klien itu.
7. Menghormati hak-hak klien serta tidak mencabuli sebarang integriti yang ada pada mereka.
8. Menggunakan kiu-kiu ‘nonverbal’ yang positif berkaitan pergerakan anggota badan, mata, posisi badan dan sentuhan kinestetik ketika sesi kaunseling dijalankan.
9. Kemahiran mengajar perlu sentiasa dipertingkatkan bagi membolehkan klien lebih mudah menerima nasihat dan sebagainya apabila berdepan dengan seorang kaunselor yang berwibawa.
10. Interaksi yang konsisten terhadap semua atlet dalam sesuatu pasukan agar lebih mudah mengenali serta mengenalpasti tingkahlaku mereka.

Apakah Itu Kaunseling?

Definisi kaunseling boleh ditakrifkan sebagai satu proses dalam membantu seseorang individu dalam mengenalpasti sesuatu masalah dan berusaha mencari penyelesaian kepada masalah tersebut. Ianya juga merupakan satu proses yang kadang-kala memerlukan jangka masa yang panjang serta mengambil kira sikap, perasaan dan tingkahlaku klien. Menurut Hackey & Nye (1973), proses kaunseling adalah penerimaan terhadap apa sahaja perasaan dan persepsi klien tanpa ada rasa prasangka atau prejudis terhadap klien serta tidak melibatkan penilaian secara luaran terhadap mereka. Secara relatifnya, seseorang kaunselor sukan itu tidaklah hanya terletak dibahu mereka yang bergelar kaunselor semata-mata, jurulatih juga boleh menjadi seorang kaunselor yang baik walaupun tidak mempunyai latihan atau teknik-teknik kaunseling. Antara tugas-tugas seorang kaunselor itu adalah:
1. Pengumpulan maklumat melalui kemahiran mendengar yang baik.
2. Membantu atlet menyelesaikan sesuatu masalah dengan pelbagai pendekatan penyelesaian yang paling relevan dan sesuai.
3. Khidmat nasihat serta memberi informasi berkaitan apa sahaja masalah yang dihadapi supaya segala kemungkinan tindakan negatif dilakukan oleh klien dapat dielakkan.

Apakah Itu Mentoring?

Berbeza dengan kaunseling, ‘mentoring’ termasuk perkongsian nilai-nilai serta model yang berkaitan dengan tingkahlaku. Menurut Bolton (1980), mentoring melibatkan perkongsian kuasa, perkongsian persaingan, perkongsian kendiri. Ianya lebih kepada memberi nasihat, tunjuk ajar dan kemahiran yang dirasakan sesuai dan terbaik. Sesuatu usaha yang gagal bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti proses mentoring akan menyebabkan satu ancaman yang tidak baik terhadap perkembangan seseorang atlet itu.

Keperluan Kaunseling Terhadap Atlet.

Tekanan dalam sukan boleh dikatakan tidak dapat dielakkan oleh sesiapa sahaja yang meyertainya. Tekanan tersebut akan wujud apabila mereka berdepan dengan apa sahaja situasi yang telah dijangka atau tidak dijangka. Bagi atlet yang sedang belajar, tumpuan terhadap kedua-dua bidang akademik dan sukan boleh menyebabkan mereka berada dalam situasi tekanan samada tekanan dalam sukan yang disertai dan tekanan dalam pelajaran. Oleh sebab itulah, atlet memerlukan kaunseling untuk mengorganisasikan jadual belajar dan latihan sukan supaya tumpuan dapat diberikan kepada kedua-dua bidang. Menurut Lanning (1982), atlet yang sedang belajar akan mempunyai masalah berkaitan dengan tumpuan, perstasi sukan dan pencapaian akademik. Dalam keadaan sebegini, jurulatih haruslah bijak memainkan peranan yang sewajarnya bagi memberikan kaunseling atau khidmat nasihat kepada atlet dan menyediakan sumber untuk kecemerlangan akademik selaras dengan kejayaan sebagai seorang atlet.

Keperluan Kaunseling Terhadap Pasukan

Adalah menjadi satu kemestian bagi seseorang jurulatih itu untuk mengambiltahu tahap penerimaan setiap atlet yang dilatih dalam sesuatu pasukan itu. Jika terdapat beberapa atlet yang bermasalah, ianya akan menyebabkan ketidakstabilan dalam pasukan tersebut. Kaunseling dalam pasukan adalah diperlukan bagi mengetahui maklumbalas samada berkaitan isu-isu personal atlet, perhubungan seseorang atlet dengan atlet ang lain, perhubungan atlet dengan jurulatih, ketidakpuashatian dan sebagainya. 3 persoalan yang perlu difokuskan dalam kaunseling terhadap pasukan:
1. Adakah atlet sentiasa bersama-sama dengan pasukan?
2. Adakah ahli pasukan mengangap diri mereka sebagai satu ahli pasukan?
3. Adakah atlet akan menghabiskan masa bersama semasa melakukan tugasan?

Asas Kemahiran Kaunseling Bagi Jurulatih.

Seseorang jurulatih itu perlu memiliki kemahiran kaunseling yang baik. Kemahiran kaunseling yang baik akan dapat memudahkan serta melancarkan sesuatu sesi kaunseling yang dijalankan. Terdapat 5 asas kemahiran kaunseling bagi jurulatih:
1. Kemahiran mendengar yang baik.
2. Menunjukkan minat terhadap apa yang diluahkan oleh atlet.
3. Sentiasa memberi sokongan kepada atlet bagi mengatasi sesuatu masalah yang dihadapi atau sokongan untuk mereka berubah kearah yang lebih positif.
4. Bersikap jujur bagi setiap nasihat atau pendekatan yang dilakukan.
5. Tidak mendedahkan masalah atau identiti atlet kepada pengetahuan orang lain dan sentiasa menjaga setiap rahsia sulit setelah diperbincangkan.

Teknik Kaunseling Berkaitan Temubual Jurulatih-Atlet

Menurut Ivey (1983), beliau mencadangkan 3 strategi yang perlu diamalkan oleh seseorang kaunselor/ jurulatih bagi membantu klien/atlet. 3 strategi tersebut adalah:
1. Bertanyakan soalan-soalan yang tepat
- Soalan yang tepat dan efektif adalah soalan yang membolehkan seseorang klien/atlet itu bercakap atau menjawab dengan bebas serta lebih terbuka.
- Soalan yang ditanya perlu lebih bersifat bersahaja tetapi menjurus kearah masalah yang dihadapi serta apa yang hendak diketahui daripada klien/atlet tersebut.

2. Konfrontasi
- Teknik konfrontasi perlu dilakukan dengan penuh hati-hati supaya klien/atlet tidak merasakan sesuatu tekanan, rasa bersalah atau berasa kekurangan terhadap diri mereka.
- Teknik konfrontasi yang efektif termasuklah penyediaan soalan-soalan yang tepat, kemahiran mendengar serta maklumbalas yang berkesan.
- Teknik ini tidak sesekali mengakibatkan klien/atlet merasa marah, tekanan kesedihan dan perasaan negatif yang lain setelah ianya dipraktikkan.

3. Kesimpulan/Ringkasan
- Permulaan sesi adalah melibatkan imbasan masalah-masalah yang wujud bagi mengingatkan atlet bahawa setiap masalah yang dihadapi boleh diatasi dengan baik.
- Diakhir sesi, melibatkan rumusan berkaitan keseluruhan perkara yang diperbincangkan dan kaunselor memberikan saranan atau cadangan untuk diikuti oleh klien/atlet bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

Kaunseling Pasukan Dalam Jangka Masa Pendek

Menurut Grayson (1978), kaunseling pasukan satu kumpulan adalah melibatkan pertemuan dalam kumpulan yang kecil untuk berkongsi pertimbangan dimana perkara yang akan dibincangkan adalah meliputi mencari punca masalah, membentuk kefahaman, pengetahuan tentang sesuatu isu dan berkongsi pemikiran diantara satu sama lain. Jurulatih akan menetapkan matlamat dan objektif jangka pendek dalam perjumpaan tersebut.

Proses kaunseling jangka pendek.

Sesuatu sesi perjumpaan pasukan yang bertujuan untuk berkongsi perasaan, perbincangan, menawarkan pendapat dan pertukaran maklumat mestilah mewujudkan satu suasana persekitaraan yang selamat bagi atlet. Sebarang bentuk dialog daripada ahli pasukan hendaklah diterima secara toleransi. Pendapat dan pandangan daripada setiap ahli haruslah dihormati dan dipersetujui oleh ahli pasukan lain. Segala masalah yang timbul hendaklah diselesaikan semasa perjumpaan. Setiap ahli juga tidak boleh mengkritik atau mengambil langkah tidak mengambil kisah terhadap keputusan atau pandangan ahli pasukan yang lain. Bagi seorang jurulatih, langkah pertama adalah memberikan pandangan berkenaan pemerhatiannya terhadap tingkahlaku dan tumpuan terhadap persediaan atlet. Jurulatih mestilah menghormati dan mendengar setiap pandangan atlet sebelum beralih kepada atlet seterusnya. Seterusnya jurulatih membuat kesimpulan mengikut pertimbangan yang sewajarnya tanpa melibatkan penilaian yang boleh mendatangkan ketidakpuashatian dikalangan atlet.

Merancang Perjumpaan Pasukan

Persoalan seperti Kepada siapa perjumpaan ini diadakan? Apa yang perlu dibincangkan? Persediaan terhadap perjumpaan tersebut dan apakah peranan ketua pasukan merupakan persoalan yang perlu diambilkira bagi mengadakan perjumpaan pasukan. See Anshel (1992) mengariskan beberapa cara untuk mengorganisasikan satu perjumpaan individu dan perjumpaan pasukan iaitu:-
1. Tujuan perjumpaan diadakan
2. Eksplorasi perjumpaan diadakan.
3. Mengekalkan peraturan yang ditetapkan oleh pasukan atau indiviu.
4. Pengisian dalam ucapan perjumpaan yang diadakan.
5. Bagaimana membuat penutupan sesi perjumpaan
6. Tindakan selepas sesi perjumpaan.

Kesimpulan

Kupasan kandungan bab ini merumuskan bahawa teknik kaunseling merupakan satu aspek yang sangat penting bukan hanya melibatkan klien/atlet dan jurulatih sahaja bahkan kaunselor itu sendiri. Teknik kaunseling yang berkesan adalah melalui komunikasi yang efektif serta pengetahuan ilmiah yang luas. Sesuatu sesi kaunseling itu tidak mungkin berjaya sekiranya interaksi yang dijalankan tidak berlaku dengan baik. Seorang kaunselor yang berwibawa adalah mereka yang benar-benar berusaha kearah memantapkan penyediaan kendiri dari segi pertambahan ilmu, pengalaman, pembelajaran, pengajaran, kemahiran komunikasi dan lain-lain kriteria yang boleh menyerlahkan kewibawaan mereka untuk lebih mudah dipercayai dan diterima oleh sesiapa sahaja yang menerima khidmat kaunseling daripada mereka.

No comments:

Powered By Blogger