Dreamstime

Royalty Free Images

Wednesday 25 May 2011

HOBI BERFOTOGRAFI



Setiap manusia mempunyai hobi dan minat yang tersendiri. Begitu juga dengan penulis yang dulunya hanya meminati sukan sahaja tetapi telah mula berjinak-jinak mengenali keindahan dunia fotografi. Awal tahun lalu, penulis membeli sebuah kamera DSLR Nikon D90 sebagai persediaan hantaran perkahwinan. Berbekalkan ilmu yang kosong tentang DSLR, kamera tersebut hanya digunakan sekali-sekala sahaja kerana pada ketika itu penulis belum mengetahui kepelbagaian penggunaan DSLR.

Selepas mempelajari sedikit demi sedikit ilmu tentang fotografi yang juga didorongi oleh isteri tercinta, maka minat untuk mendalami dunia fotografi mulai timbul. Bermula pertengahan tahun lalu, penulis mula 'mengHOBIkan' bidang fotografi dengan mempelajari kemahiran, teknik dan pengetahuan lain daripada kawan-kawan yang juga digelar sebagai 'otai' dalam bidang ini. Disamping itu, penulis berkesempatan menghadiri kursus-kursus kecil dan juga mencari bahan-bahan luaran daripada sumber internet, majalah dan pelbagai sumber lain. Ini kerana penulis merasakan ilmu fotografi ini mencakupi keseluruhan aspek yang diperlukan seperti kemahiran, teknik, variasi, kreativiti, kecintaan, proses 'editing' sehinggalah kepada penghasilan foto-foto yang bermutu dan mempunyai 'sentimental value' yang tinggi daripada kacamata diri sendiri mahupun orang lain.

Pada hakikatnya, kemahiran berfotografi merupakan satu kemahiran yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan diri seseorang itu. Pengamatan yang tajam bukan hanya dilihat dengan mata kasar sahaja bahkan sesuatu hasil fotografi itu juga dinilai dengan daya kreativiti yang tinggi disertai dengan 'inner sense' yang mungkin berbeza bagi setiap individu. Walau apa pun, seni dalam fotografi haruslah diolah dengan bijak, seboleh-bolehnya unsur-unsur sensitiviti tertentu perlu dijaga agar fokus sebenar ke arah mengindahkan seni tersebut tidak tersasar.

Benarkah fotografi juga perlu menitikberatkan sensitiviti tertentu? Jawapannya boleh jadi ya dan boleh jadi tidak. Kenapa? Kerana bagi setiap individu, penerimaan hasil sesuatu fotografi itu adalah berbeza. Lain individu lainlah penerimaannya. Jika dilihat daripada kacamata seni, memanglah semua hasil fotografi itu dikatakan seni berdasarkan kreativiti seseorang itu tetapi jika dikaitkan dengan agama, keterbatasan hasil sesuatu fotografi itu perlu dititikberatkan. Dalam masa yang sama, kita harus bijak memikirkan peluang terbaik untuk menghasilkan foto disamping berpegang kepada etika seorang 'photografer' yang baik. Selepas kita mahir dengan langkah pertama, kita bolehlah bergerak untuk ke langkah seterusnya agar kita akan sentiasa mendapat peluang yang lebih baik dan bukan hanya gilakan 'gejet gempak' tambahan semata-mata tetapi hasil fotografi hanyalah bertaraf 'cap ayam'.

1 comment:

amad_ikram said...

kemah min..sedak2...

Powered By Blogger