Dreamstime

Royalty Free Images

Tuesday 13 December 2011

TAHNIAH UNTUK DIRI SENDIRI


Sungguh lama penulis tidak meng'update' blog kerana kesibukan dan juga oleh kerana ketiadaan idea untuk menulis. Kali ini penulis ingin menulis artikel bagi mengucapkan tahniah kepada diri sendiri. Dalam pada kita tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada orang lain, tidak menjadi kesalahan untuk meletakkan penghormatan terhadap pencapaian diri sendiri. Bukanlah penulis berniat untuk merasa bongkak atau apa sahaja sifat negatif yang tercela tetapi hanya sekadar ucapan bagi menaikkan semangat untuk lebih bermotivasi, berkeyakinan untuk lebih maju ke hadapan.

Hari ini penulis mendapat dua berita gembira. Pertama, baru-baru ini penulis, isteri dan juga anak tersayang telah menyertai program NikonClub Walkabout yang diadakan di sekitar Kampung Cina, Pasar Payang Terengganu. Aktiviti fotografi secara santai yang sangat seronok bukan hanya sekadar aktiviti biasa sahaja malah ianya memberi manfaat yang sangat berguna kerana dapat bertemu dengan kenalan baru yang sama-sama meminati bidang fotografi, diselang-seli dengan pelbagai aktiviti yang menarik disamping dapat berkongsi idea, ilmu berkaitan bidang tersebut. Kegembiraan penulis bermula apabila hari ini terlihat salah satu 'post' di dalam Facebook iaitu keratan akhbar Sinar Harian Edisi Terengganu yang memuatkan gambar aktiviti pada 03 Dec yang lalu (lihat gambar di atas penulis, isteri & anak berada di tengah-tengah).


Kedua, penulis telah lama tidak menjengok laman Nikon Club Malaysia. Hari ini barulah terfikir untuk melihat-lihat laman tersebut. Sekali lagi penulis merasa gembira setelah melihat carta 'NCM  Top Ten Photographers Leaderboard' untuk bulan November. Penulis berada di 'ranking' yang kelima. Setelah lama bersusah-payah untuk menempatkan diri dalam carta tersebut, akhirnya membuahkan hasil juga. Alhamdulillah...

Maka dikesempatan inilah penulis mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah untuk diri sendiri di atas dua khabar gembira yang tidaklah seberapa itu. Tetapi bagi penulis, pengiktirafan itu sangat bermakna kerana satu lagi coretan sejarah peribadi yang tidak sesiapa pun boleh menidakkannya. Terima kasih juga kepada isteri tercinta yang sangat menyokong 'hobi' penulis. Isterilah orang pertama yang menjadi sifu kepada penulis di dalam bidang DSLR ini yang akhirnya membuatkan penulis sentiasa bekerja keras untuk terus belajar, mendalami dan memahami bidang ini secara lebih serius.

Akhir coretan daripada penulis, jika kita ingin menjadi manusia yang hebat maka kita jangan hanya sekadar berdiri sahaja. Kita perlulah mengorak langkah satu demi satu ke arah yang lebih maju. Jangan cepat sangat untuk berlari kerana dibimbangi akan jatuh dan rebah tersungkur dan terus mati. Biarlah kita mulakan dengan berjalan perlahan, berlari anak-anak dan akhirnya berlari laju. Insyaallah jika diizinkan Allah kita boleh melakukan apa sahaja, boleh menjadi siapa sahaja, asalkan kita jangan lupa bahawa walau apa pun kita buat, walau kemana pun kita pergi, Allah jualah tempat naungan kita.

Kepada kawan-kawan, pelawat blog dan sesiapa sahaja yang mempunyai kelapangan bolehlah melawat hasil karya penulis yang tidak seberapa di:

No comments:

Powered By Blogger