Desawarsa ini manusia hidup saling bersaing untuk berada di tampuk kehebatan yang paling atas. Kita akan semakin terkebelakang sekiranya gagal menempatkan diri dalam persaingan tersebut. Di zaman yang serba canggih ini, tanpa kita sedari manusia semakin hanyut dengan pelbagai habuan gajet hasil daripada ciptaan manusia itu sendiri yang serba-serbi hebat. Pernahkah kita terfikir kenapa begitu cepat dan pesat ciptaan itu? Itulah apa yang dikatakan kemajuan. Semua manusia berhak untuk hidup lebih maju meski pun dia hanyalah bergelar seorang petani mahu pun nelayan atau sesiapa sahaja. Namun kemajuan seseorang itu sangat subjektif untuk dihuraikan.
Majunya seseorang itu bukan hanya setakat dia berjaya memperoleh sijil, diploma, ijazah dan apa sahaja pengiktifan lain. Bagi penulis, manusia itu boleh dikatakan maju apabila hasil ciptaan atau apa sahaja bawaannya boleh memberi manfaat kepada orang lain tanpa putus-putus. Misalnya ciptaan Mendiang Steven Paul Jobs atau lebih dikenali dengan nama Steve Jobs menerusi ciptaan barangan berjenama Apple yang sehingga kini digilai seantero masyarakat dunia.
Kita tidak perlulah berangan untuk menjadi Steve Job tetapi kita harus bercita-cita untuk menjadi manusia yang lebih hebat daripada beliau. Bagaimana? Tepuk dada tanyalah keyakinan dan kemampuan diri. Kadang-kadang kita sentiasa berfikiran sangat pasif. Tengok sahaja kejayaan orang lain, kita hanya mampu berkata,"eleh dia boleh lah sebab itu...ini..".
Ada seorang kenalan lama yang juga sahabat rapat penulis ketika masih belajar dahulu, dia merupakan seorang pekerja di salah sebuah syarikat swasta. Kami yang sama-sama tamat belajar, masing-masing mencari haluan sendiri. Lain orang lain pula caranya. Penulis mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dengan harapan agar lebih terjamin masa depan manakala sahabat penulis terus bekerja. Selang beberapa tahun, penulis tamat pengajian dan menjadi seorang pendidik. Sahabat penulis dengan hanya berkelulusan diploma kini mempunyai syarikatnya sendiri hasil daripada pengalaman kerjanya ketika bersama syarikat tempat dia bekerja. Penulis sentiasa mendoakan kejayaannya..Aminn.
Bukanlah bermakna kita tidak perlu belajar tinggi-tinggi tapi secara moralnya, walau apa pun pencapaian kita, sentiasalah bergerak ke hadapan dengan berpaksikan apa sahaja pengalaman yang kita ada untuk menggapai hidup yang lebih maju. Rugilah sekiranya kita sedikit pun tidak ada cita-cita untuk maju dalam hidup. Yakinlah bahawa Allah akan membuka pintu rezeki kepada sesiapa sahaja yang sentiasa berusaha. Jangan sesekali putus asa menjadi halangan.
Halangan terakhir kita sebelum kita sampai kepada impian atau matlamat hidup kita adalah PUTUS ASA. Manusia akan tewas tersungkur sekiranya tidak dapat menempuhi halangan terakhir itu. Penetapan matlamat hidup itu penting tetapi berjaya mencapai matlamat yang diimpikan adalah lebih penting. Begitu juga dengan kemajuan diri kita. Maju itu penting tetapi kemajuan yang boleh memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara adalah lebih penting.
Masih ingatkah kita dengan peribahasa 'perigi mencari timba'? walaupun ianya satu kiasan yang merujuk kepada soal pencarian jodoh tetapi penulis mempunyai definasi tersendiri tentang peribahasa tersebut. Perigi sudah tersedia mana mungkin perigi pula akan memanggil timba untuk mengambil air darinya. Begitulah juga dalam kehidupan kita. Allah telah membuka ruang rezeki yang tidak terkira banyaknya. Mana mungkin rezeki itu datang kepada kita jika hanya menunggu tanpa melakukan sesuatu untuk mendapatkan rezeki tersebut. Tidak mungkin sama sekali nasi yang terhidang akan masuk ke mulut kita tanpa tangan yang bergerak untuk menyuapnya.
Cabaran adalah risiko. Tidak ada satu perkara pun di dunia ini yang tidak ada cabaran. Bayi kecil pun perlu mengharungi cabaran untuk bergerak, merangkak, brejalan dan seterusnya berlari. Cabaran boleh bertukar menjadi risiko. Seorang peniaga misalnya perlu melalui cabaran bagi meningkatkan ekonomi perniagaannya. Sekiranya cabaran yang dilalui begitu getir dan tidak dapat ditangani maka kerugian akan menimpa. Itulah yang dikatakan risiko. Tidak semua orang sanggup menanggung risiko tetapi harus diingat bahawa orang yang berani menanggung risiko selalunya orang itulah yang akan menjadi orang yang paling berjaya kerana halangan PUTUS ASA dapat ditangani dengan bijaksana tanpa sebarang aksi emosional yang bobrok.
Sebagai kesimpulannya, tetapkan matlamat diri untuk hidup lebih maju. Tinggalkan segala perkara yang boleh memundurkan langkah kita. Berfikir, berikhtiar dan bertindaklah dengan yakin kerana selagi usaha kita tidak melanggar batas syariat, Insyaallah Yang Maha Pemurah akan memudahkan perjalanan kita untuk menjadi manusia yang paling MAJU di dunia dan akhirat..Aminn.
No comments:
Post a Comment